Damping al-Quran kekuatan muslimah

- Advertisement -
MUSLIMAT adalah perkataan yang berasal dari bahasa Arab membawa maksud wanita Islam. Justeru, sesiapa sahaja yang bergelar muslimah mestilah mengamalkan tatacara kehidupan seperti seorang wanita Islam yang berprinsipkan aqidah hanya mengimani Allah sebagai Tuhan serta melaksanakan tuntutan dan menjauhi segala larangan-Nya.Tidak boleh seorang wanita Islam mempertikaikan apa-apa ketetapan Allah untuknya. Firman-Nya:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا
“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.”
(Surah al-Ahzab: 36)
 
Mendepani arus kemodenan dunia pada hari ini bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi bagi seorang yang bergelar muslimah. Hakikatnya seorang wanita adalah makhluk yang lemah dan sentiasa memerlukan perlindungan. Melihat kepada cabaran kehidupan yang semakin mengganas dari segi kebejatan sosial dan kelunturan nilai Islam dalam masyarakat kini, seorang muslimah memerlukan kekuatan daripada dalaman dan luaran.
 
Dia mestilah teguh berpaksikan ajaran Islam jika mahu selamat daripada kemelut masalah yang melanda masyarakat Islam Malaysia pada hari ini.
 
Mendampingi al-Quran
 
Bagi mendapatkan kekuatan dalaman, seorang muslimah mestilah sentiasa berdamping dengan al-Quran. Maksud berdamping di sini ialah sentiasa melazimi membaca al-Quran, mentadabbur maknanya serta mengamalkan isinya.Firman-Nya:
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
“Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” 
(Surah al-Baqarah: 2)
 
Bacalah al-Quran sehabis mampu, jika mampu sehari satu juzuk silakan, atau setengah juzuk, jika tidak mampu bacalah semuka atau paling kurang sepotong ayat-Nya dan ditadabbur akan makna kalam-Nya.
 
Bacaan al-Quran ini akan memberi kekuatan dalaman yang luar biasa bagi seorang muslimah terutamanya apabila dia membaca ayat-ayat yang menyentuh tentang azab, syurga, motivasi kepada para wanita agar tetap taat kepada-Nya.
 
Mereka yang jauh dari petunjuk wahyu al-Quran sangat mudah terkena godaan dunia, dan wanita ini sangat sinonim dengan mudah tergoda dengan nafsu keduniaan.
 
Mengamal isi al-Quran
 
Membaca dan mentadabbur al-Quran itu penting, tetapi mengamalkannya itu lebih utama dan penting. Seorang Muslimah mesti berusaha mengamalkan isi-isi al-Quran kerana itu adalah bukti kesempurnaan imannya.
 
Orang beriman apabila mendengar seruan Tuhannya,mereka segera menunaikan arahan tersebut. Perkara ini dapat dilihat melalui satu hadis tentang bagaimana wanita Ansar bergegas melaksanan perintah hijab apabila ayat berhijab diturunkan.
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” 
(Surah An-Nur: 31)
 
Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:
“Ketika kami bersama ‘Aishah R.A, kami menyebut-nyebut mengenai kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah S.A.W, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”
 
Inilah di antara rahsia membina kekuatan dalaman bagi seorang muslimah iaitu berdamping dengan al-Quran bahkan beramal dengan setiap ayat-ayat al-Quran dengan penuh keyakinan. Sekiranya semua wanita Islam menyedari akan perkara ini, nescaya masyarakat kita akan terjaga daripada masalah kebejatan sosial yang kian menular Muslimah adalah madrasah pertama bagi anak-anaknya, serta penjaga dalam kehidupan berumahtangga. Justeru, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, nescaya Allah akan memelihara muslimah dalam ketaatannya kepada Allah, Rasul serta suaminya. – HARAKAHDAILY 11/2/2018
- Advertisement -