PKINK rintis program kebajikan

- Advertisement -
KOTA BHARU: Kelantan merintis lagi program berkebajikan apabila melaksanakan almari makanan food cupboard dengan mengagih keperluan harian secara percuma kepada penduduk miskin.
 
Program itu dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di 17 masjid di Kelantan bermula Ramadan lepas. 
 
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata, pihaknya menghantar makanan ke masjid terbabit secara berkala. 
 
Katanya, pegawai PKINK akan pergi menambah secara berkala dalam almari yang disediakan di masjid terlibat. 
 
“Keperluan asas yang disediakan termasuk beras, minyak, gula di mana ia mencakupi enam keperluan harian. 
 
“Penduduk miskin yang tinggal berdekatan masjid boleh pergi mengambil secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya di sini.
 
Di antara masjid terlibat dengan program itu termasuk Masjid As Salam di Pengkalan Chepa. 
 
Dr Wan Zawawi berkata, sehingga sekarang PKINK membelanjakan kira-kira RM50,000 bagi membekalkan keperluan asas di masjid yang terlibat. 
 
Setiap cupboard belanja menyediakan keperluan harian yang dihantar sekitar RM400. 
 
Apabila bekalan itu habis kita akan pergi hantar bekalan baru pula. 
 
Penduduk kampung di kawasan itu boleh pergi mengambil bekalan makanan asas tersebut dengan diselaraskan imam. 
 
“Pihak masjid boleh membahagi kepada sesiapa sahaja orang miskin yang  memerlukan bantuan,” ujarnya. 
 
Menurutnya juga penduduk miskin tidak perlu mendaftar untuk mendapat bantuan tersebut. 
 
“Konsepnya orang susah pergi ambil. Kalau mana-mana keluarga yang merasakan keperluan asas di rumah mereka tidak mencukupi mereka boleh mengambilnya,” kata beliau. -HARAKAHDAILY  10/2/2018
- Advertisement -