Keselamatan ibu dan anak perlu jadi keutamaan

- Advertisement -

ALLAH berfirman:

- Advertisement -

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً   

“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

(al-Furqan: 74)

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah S.W.T kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Setiap pasangan berumahtangga sentiasa mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga.

Kebelakangan ini semakin banyak kes-kes melibatkan komplikasi akibat bersalin di rumah sehingga membahayakan nyawa ibu mahupun bayi yang dikandung. Terbaru, kejadian yang berlaku di Selatan Tanah Air wajar dijadikan pengajaran oleh kita apabila seorang bayi yang dilahirkan di rumah meninggal dunia. Tidak mahu mengulas panjang mengenai kes yang masih dalam peringkat siasatan, namun secara umum, kesedaran mengenainya perlu diberi perhatian.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berpandangan dalam semua keadaan, keselamatan ibu mengandung dan bayi dalam kandungan menjadi keutamaan. Hal ini bertepatan dengan Maqasid Syariah yang merupakan elemen penting dalam Islam:

1. Memelihara agama ( hifz ad-din )
2. Memelihara jiwa/ nyawa ( hifz al-nafs )
3. Memelihara akal ( hifz al-a’ql )
4. Memelihara keturunan ( hifz al-nasl )
5. Memelihara harta ( hifz al-mal )

Menyedari aspek memelihara nyawa juga merupakan salah satu keutamaan, walaupun proses kelahiran bayi merupakan satu proses fitrah bagi seorang wanita, usaha semua pihak diperlukan bagi mengelakkan komplikasi yang boleh membahayakan ibu dan anak.

Kesempatan ini, DMPM mengucapkan syabas buat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang komited dalam menambah baik sistem kesihatan negara. Selaras dengan Penunjuk Kesihatan Negara (Health Indicator), kadar kematian atau mortaliti perinatal dan nisbah mortaliti ibu bersalin menjadi salah satu kayu ukur penting tahap kesihatan sesebuah negara. Maka menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan tahap kesihatan yang baik bagi rakyat Malaysia umumnya dan kesihatan ibu mengandung serta bayi khususnya.

Statistik terkini menunjukkan kadar kematian bayi juga semakin menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya. Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Kadar kematian ibu mengandung juga menurun berbanding puluhan tahun lepas. Antara penyebab kematian ibu mengandung yang paling banyak adalah disebabkan darah beku dalam salur darah ke paru-paru. Kadar kematian juga menurun bagi sebab ini daripada 27.4 peratus pada tahun 2016 berbanding 23 peratus pada tahun 2015.

Di samping itu, pelbagai usaha juga perlu berjalan seiring termasuk dalam kalangan ibu bapa sendiri. Dunia tanpa sempadan kini, pelbagai maklumat boleh diperoleh hanya di hujung jari. Namun pencarian ilmu berkaitan kesihatan termasuk proses mengandung dan kelahiran juga harus berasaskan pendapat dan pandangan mereka yang pakar dan ahli dalam bidang tersebut. Segala kemusykilan serta persoalan perlu mengikut saluran yang betul untuk mengelakkan salah faham dan kemudharatan lebih besar.

Menyedari pelbagai komplikasi juga berpotensi berlaku semasa proses mengandung serta kelahiran bayi termasuk sawan, pendarahan selepas bersalin, masalah pada kandungan dan sebagainya, para ibu dinasihatkan mengikut saranan serta panduan yang diberikan anggota kesihatan bertugas. Selain itu, segala maklumat yang boleh menimbulkan keraguan malah boleh membahayakan ibu serta kandungan wajar dielakkan.

Akhir kata, pihak DMPM berharap semua pihak mampu berganding bahu bagi memastikan kesihatan wanita dan anak-anak di Malaysia terus meningkat baik.

“Sejahtera Bersama Islam”
“Muslimat Memacu Kemenangan”

DR ROSNI ADAM
Timbalan Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia- HARAKAHDAILY 10/2/2018

- Advertisement -