PAS Melaka gesa naiktaraf Mahkamah Syariah

- Advertisement -

MELAKA: PAS Melaka menyarankan kerajaan negeri menaiktaraf Mahkamah Syariah melalui pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Negeri.

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjayanya, Ustaz Kamaruddin Sidek bahawa tindakan itu penting bagi tujuan untuk menjaga kesucian agama Islam khususnya di Melaka dalam menghadapi cabaran mutakhir ini.

“Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak guru tadika M. Indira Gandhi kepada Islam oleh bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah.

“Saya berpendapat kerajaan negeri perlu mula bergerak ke arah itu segera demi masa depan kedudukan agama Islam yang diperakui sebagai agama persekutuan.

“Melaka rakyatnya adalah 64 peratus beragama Islam, jadi tak ada isu diskriminasi kaum atau agama, kalau Mahkamah Persekutuan boleh batalkan keputusan Mahkamah Rayuan, apatah lagi keputusan Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau menambah, keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku di dalam negara yang majoritinya Muslim dan kerajaan negeri perlu memikirkan isu ini untuk kepentingan agama jangka panjang.

“Saya melihat keputusan Mahkamah Sivil tiada roh keadilan dalam kes-kes sebegini, kalau di negara barat mahkamah mereka tidak membela kesucian Islam, dianggap logik kerana mengambil kira realiti dan populasi rakyatnya bukan Islam.

“Adil dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya tetapi adilnya sistem barat adalah membahagi sama rata, mana logiknya kalau kita beri duit sekolah sama rata kepada anak sekolah tadika, sekolah rendah dan menengah,” katanya.-HARAKAHDAILY 9/2/2018

- Advertisement -