PAS dan masyarakat Cina

- Advertisement -

BERIKUT adalah temubual Tuan Guru Presiden PAS bersama wartawan China Press yang disiarkan pada 8 Februari 2018. 

- Advertisement -

China Press: Menjelang PRU 14, adakah pengundi Cina penting untuk PAS? ada sebarang strategi untuk meyakinkan masyarakat Cina? Apa persepsi salah dengan PAS?
 
Presiden PAS: Masyarakat Cina tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat majmuk. PAS menganggap wajib diberi perhatian dan PAS berpegang konsep Islam adalah adil untuk semua.  PAS membawa pendekatan ta’awun iaitu bekerjasama dalam perkara baik dan tidak bekerjasama dalam perkara keburukan. Kerjasama bukan bermakna bergabung. Bila PAS kerjasama dengan Umno seperti contoh dalam isu Palestin, Rohingya dan RUU 355, maka tidak bermakna PAS bergabung atau masuk Umno. Maka PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang dengan syarat menghormati Islam sebagai agama persekutuan, tidak menghalang atau menentang pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh, serta menghormati hubungan antara kaum dengan memberi hak mengikut perlembagaan, iaitu Islam adalah agama persekutuan, dalam masa yang sama hak kebebasan yang adil kepada agama lain dan penganutnya. 
 
Terkini, PAS ada cabang Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam kalangan bukan Islam, mereka akan menjadi calon PAS di kerusi-kerusi terpilih. PAS juga membentuk Gagasan Sejahtera, di dalamnya ada Parti Ikatan dan Parti Cinta Malaysia, dalamnya ada orang bukan Islam bekerjasama dengan PAS. Mereka bukan Islam tapi menghormati hak orang Islam dan agama-agama lain yang dijamin dalam perlembagaan. Ini berbeza dengan sikap DAP apabila PAS memutuskan hubungan kerjasama politik kerana DAP bersikap menghalang dan menentang usaha PAS untuk meninggikan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang hanya diperuntukkan khusus untuk orang Islam sahaja. DAP dan rakan-rakannya mengambil satu sikap yang salah melanggar konsep perlembagaan kerana menyentuh hak-hak orang Islam yang tidak ada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam. 
 
Dari sudut politik Islam dan sejarahnya, ketua negara hendaklah dilantik dari kaum majoriti yang berpengaruh, maka dalam konteks Malaysia adalah penganut Islam dan Bumiputera Melayu yang beriman dan budiman bermatlamatkan melaksanakan Islam secara menyeluruh yang adil untuk semua. Adapun Menteri Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri boleh dilantik dari penganut Islam atau bukan Islam mengikut bidang kuasa tertentu yang dibenarkan. 
 
Oleh demikian, PAS mengharapkan undi kaum Cina dan undi bukan Islam yang lain untuk mengundi PAS dan Gagasan Sejahtera dengan jaminan keadilan dan kemakmuran serta hak masyarakat majmuk tidak dipinggirkan sebagaimana PAS telah berjaya membuktikan melalui pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan sejak 1990 hingga sekarang, Kerajaan Terengganu 1999-2004 dan Kerajaan Kedah 2008-2013 yang dinobatkan kerajaan paling bersih tanpa rasuah dan diskriminasi kaum. Ketika krisis perkauman 13 Mei 1969, negeri kubu PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak berlaku kerana pada waktu itu pimpinan PAS menjaga dan memberi jaminan keselamatan kepada orang bukan Islam.  
 
China Press: Salah satu pandangan dari masyarakat Cina merasakan PAS akan bekerjasama dengan Umno, adakah persepsi ini tak betul?
 
Presiden PAS: Kita perlu membezakan di antara bekerjasama dengan Umno dan masuk Umno. Ini beza. Sepertimana saya sebutkan tadi, kerjasama PAS dengan Umno bukan bermaksud PAS masuk Umno. PAS boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja di luar gabungan atau pakatan. Kerana PAS mengamalkan konsep ta’awun (kerjasama dalam perkara kebaikan dan kebajikan, bukan kerjasama dalam perkara buruk dan kejahatan). PAS sudah ada Gagasan Sejahtera dan PAS akan melawan BN termasuk Umno dan PH dalam PRU 14. 
 
China Press: Adakah kerana DAP menyebabkan masyarakat Cina salah faham dengan PAS, dan rasa PAS merupakan satu parti yang agresif?

Presiden PAS: Masyarakat Cina mesti menolak parti yang agresif terhadap Melayu seperti DAP kerana mengancam hubungan kaum di negara ini. Banyak faktor yang mempengaruhi salah faham masyarakat Cina terhadap PAS terutamanya kefahaman tentang Islam itu sendiri.  

Pertama, parti-parti Cina saling bersaing untuk mendapatkan undi Cina sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan bersifat rasis, tidak menghormati hak orang Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk yang dijamin dalam perlembagaan. Mereka saling menunjukkan sikap anti Islam dan syariatnya walaupun sudah berulang kali diberi penjelasan. Walau hujah mereka rapuh tapi tetap membutakan mata dan hati untuk melihat kebenaran. 
 
Jika mereka mendakwa PAS memperjuangkan hudud (undang jenayah Islam) kerana politik, kita juga boleh mendakwa mereka menentang hudud juga kerana politik dan bersaing untuk meraih undi bukan Islam, sedangkan hakikatnya PAS memperjuangkannya kerana hudud adalah salah satu daripada ajaran Islam yang sejak sekian lama seawal penubuhan PAS hingga kini tidak berhenti bercakap soal ini dan PAS bersikap telus dan terbuka mengisytiharkannya kepada rakyat tanpa berselindung kerana menghormati semangat demokrasi yang diamalkan termasuk ketika PAS bersama DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR)
 
Saya bimbang jikalau ada NGO-NGO yang menyokong dan memberi dana kepada mereka. Saya pernah dijemput oleh sebuah NGO untuk memberi penerangan tentang RUU 355 tapi tidak dibenarkan sesi soal jawab dan dialog bersama saya dan masa juga disingkatkan. Kenapa begitu takut? PAS mengambil pendekatan terbuka dan bersedia berdialog dengan mana-mana parti, NGO atau individu daripada masyarakat Cina mahupun kaum lain.
 
Seterusnya saya lihat media juga mainkan peranan mencetuskan isu sampingan atau terpencil untuk dijadikan bahan menaikkan sentimen perkauman yang boleh diselesaikan dengan cara harmoni dan bijaksana. Oleh sebab itu, PAS menerima Malaysia sebuah masyarakat majmuk dengan meraikan kehadiran kaum Cina dan India yang dibawa penjajah, menunjukkan masyarakat Islam terbuka dan berlapang dada.

Namun saya ingatkan jangan diambil kesempatan atas kemurahan kami, sebaiknya kita hidup berkonsepkan masyarakat majmuk yang Madani, saling membantu untuk membangunkan negara yang aman dan sejahtera. Orang Melayu ada kepakarannya, orang Cina pun ada, orang India dan lain-lain kaum pun ada. Maka semua kaum saling bertukar dan berkongsi kepakaran kerana mustahil dapat hidup keseorangan. 
 
China Press: Apakah pandangan terhadap Pakatan Harapan yang sekarang diketuai oleh bekas PM? Apakah perasan yang Tun M selalu serang PAS? Adakah kerana rasa PAS akan mengancam mereka?
 
Presiden PAS: Mereka serang kerana mereka gagal tundukkan PAS. Hanya PAS yang tidak terpengaruh dengan perangkap Tun Mahathir dan DAP yang mahu menghapuskan PAS di persada politik, kita dapat menghidu sejak dari awal khususnya selepas DAP menang banyak kerusi. Ketika itu DAP bersikap lantang dan tidak menghormati hak orang Islam dan sering kali memainkan isu perkauman untuk menimbulkan ketegangan kaum yang tidak dibenarkan oleh Islam. Walaupun Pengerusi PH adalah Tun Mahathir tapi hakikatnya DAP yang berkuasa di belakang tabir. 
 
China Press: Selepas Tuan Guru Nik Aziz meninggal, memandangkan hubungan PAS dengan Pakatan Harapan semakin teruk? Kenapa?
 
Presiden PAS :Sebelum Tuan Guru Nik Aziz meninggal, beliau sudah menghidu sikap DAP dan banyak kali berbincang dengan saya yang tidak diketahui oleh orang ramai. Bahkan sikapnya konsisten bahawa DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu jangan melanggari sempadan sehingga mengacau prinsip perjuangan parti masing-masing. Sebenarnya Tuan Guru Nik Aziz sendiri sudah menyatakan tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang makin terbuka menunjukkan perkara-perkara yang negatif terhadap hubungan agama dan kaum. 
 
Selepas ketiadaan Tuan Guru, DAP semakin lantang dan mendapat sokongan bekas pimpinan PAS yang ketika berada dalam PAS sudah buat kacau dan menjadi broker kepada rakan Pakatan untuk memaksa PAS menurut cakap mereka. Tapi PAS ada prinsip dan PAS masih kekal hingga hari ini kerana Islam yang menjadi dasarnya, di samping bersikap terbuka dan fleksibel dari sudut pendekatan. Kepimpinan PAS sekarang mewarisi perjuangan kepimpinan terdahulu khususnya Tuan Guru Nik Aziz yang meninggal di dalam PAS dan beliau tidak pernah pun keluar PAS dan konsisten bercakap tentang Islam di Parlimen mewakili PAS walaupun keseorangan diri. Ahli PAS diajar pemimpin boleh datang dan pergi, tapi bahtera Islam yang diperjuangkan terus berlayar walaupun dilanda ombak besar. 
 
China Press: Akhirnya, berkenaan Akta 355, macam mana nak yakinkan Akta tersebut tidak akan pengaruhi masyarakat bukan Islam?
 
Presiden PAS: Pertama, Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa Akta 355 adalah untuk orang Islam sahaja dan tidak terpakai ke atas golongan bukan Islam sebagaimana dalam Akta asal yang diluluskan sejak tahun 1965. Sepanjang tempoh 53 tahun ini, belum pernah ada seorang bukan Islam yang didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah Negeri-negeri di bawah Undang-undang Jenayah Syariah Negeri-negeri yang diwujudkan daripada Akta induk ini. 
 
Saya merasa harian mengapa masyarakat Cina boleh terpengaruh dengan Undang-undang Barat walaupun undang-undang itu mengalami kelemahan-kelemahan yang banyak seperti hukuman mati dan gantung yang lebih kejam daripada Qisas dan Hudud, hak pengampunan yang tidak ada pada keluarga dan mangsa kezaliman. Tetapi mereka tidak mahu mengkaji kebaikan yang ada dalam Undang-undang Islam. 
 
Kedua, bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad setakat kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Malah Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas bukan Islam. Hatta jika berlaku persetubuhan antara Islam dan bukan Islam, hanya yang Islam sahaja yang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Bahkan dia juga tidak boleh dituduh di Mahkamah Sivil atas tuduhan membantu orang lain melakukan kesalahan. 
 
Dalam kes yang lain pula, jika orang Islam merogol bukan Islam, siasatan dan pendakwaan bagi kes itu hanya boleh dilakukan oleh polis di bawah kesalahan Kanun Keseksaan. Dan Syariat Islam boleh menghukum orang Islam yang merogol orang bukan Islam dengan hukuman yang lebih adil dan keras daripada undang-undang sivil. 
 
Ketiga, selain jaminan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi hak bukan Islam, hukum Islam daripada nas al-Quran dan Hadis juga memberi jaminan hak perlindungan dan hak memilih tanpa paksaan kepada bukan Islam sebagaimana disebut dalam Al-Quran:

 فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ
[المائدة: 42]

Jika sekiranya orang bukan Islam datang kepada kamu, kamu boleh bawa mereka ke Mahkamah Islam dan kamu boleh biarkan mereka sendiri dengan mahkamah mereka 

(al-Maidah: 42)

Ia mengikut pilihan masyarakat bukan Islam itu sendiri. Maknanya bukan Perlembagaan Persekutuan sahaja tetapi al-Quran sendiri menyatakan demikian. 
 
Keempat, pindaan Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri, membunuh dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan dan bidang kuasa Mahkamah Sivil. Jadi pindaan RUU 355 hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam Enakmen Jenayah Negeri-Negeri. 
 
Kelima, walaupun kewujudan masyarakat majmuk di negara kita adalah ciptaan penjajah bagi menjayakan agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan cara terbaik.
 
Oleh hal yang demikian, kita memohon seluruh rakyat bukan beragama Islam tidak perlu berasa bimbang akan implikasi cadangan pindaan ini kerana tiada seorang warga bukan Islam yang akan disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah di bahawa Akta 355 ini.
 
Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi sahaja hilang kewarasan apabila mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan Akta 355 ini. – HARAKAHDAILY 8/2/2018

- Advertisement -