Keindahan ‘ideologi’ politik Islam

- Advertisement -

ARTIKEL ini sebagai menjawab salah faham daripada inti pati pada Dialog Presiden PAS bersama NGO India pada 4 Februari 2018 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.

- Advertisement -

Tidak sunyi dari serangan

Sejak PAS ditubuhkan, parti tertua negara ini tidak pernah sunyi dengan serangan musuh politik. Bermacam-macam peluru cuba dibenam ke dalam jasad PAS. Ada juga anggota PAS yang tersungkur dengan peluru-peluru tersebut, keluar menubuhkan wadah baru atau bersama wadah musuh. Tetapi tuhan takdirkan PAS tidak pernah terkorban dengan serangan itu. Malah mereka pula yang menanggung rugi kerana sentiasa kehabisan peluru.

Kali ini mereka beroleh peluru baru untuk membantai PAS iaitu isu dua kabinet. Sudah menjadi kerja mereka, kalau tak cari salah PAS maka tidak ada maknalah mereka terlibat dalam ruang politik. Berkecimpung dalam politik Malaysia bermaksud wajib serang PAS.

Kenapa mereka tidak kemuka cadangan solusi untuk membantu negara? Sebab bagi mereka politik bukan untuk mencari solusi, tapi untuk menghentam orang sahaja. Bila orang yang dihentam jatuh, merekalah yang akan naik.

Apa mereka nak buat bila naik? Tak penting. Biarlah apa nak jadi pada negara. Yang penting dapat kuasa.

Sambutan India kepada PAS

Ucapan Presiden PAS yang diputar belit itu adalah sebahagian dari pengisian PAS dengan komuniti India di Hotel Seri Malaysia Pulau Pinang pagi 4 Februari lalu. Sambutan yang diterima sangat hebat. Dewan penuh. Penonton live facebook mencecah 14000 orang, atau mungkin lebih jika dikira secara unik. Sesi soal jawab meriah dengan berbagai respon yang mengharapkan PAS mampu membawa perubahan untuk kaum mereka.

Walaupun Pulau Pinang dikenali sebagai kubu kuat DAP, sambutan kaum India memberikan signal bahawa DAP dalam bahaya. Seandainya PAS mampu menjadi platform atau faktor penyatu kepada semua pihak yang tidak berpuas hati dengan urus tadbir pincang DAP termasuk bangsa Cina sendiri, tidak mustahil maruah DAP akan terlondeh di satu-satunya negeri harapan mereka.

Dua Kabinet rekaan media

Berhubung dua Kabinet, tidak ada satu pun ayat yang keluar dari mulut Tuan Guru menyebut terma tersebut. Kenyataan beliau yang dikelirukan adalah dari penjelasannya tentang kandungan kitab _Ahkam Sultaniah_ yang ditulis oleh Imam Mawardi. Beliau menjelaskan bahawa Islam membahagikan peranan Badan Eksekutif iaitu Kabinet atau Jemaah Menteri kepada dua bentuk iaitu Wizarah Tafwidh dan Wizarah Tanfiz. Wizarah Tafwidh adalah Menteri yang berkuasa menentukan dasar umum dan polisi yang berkait dengan kedaulatan dan hala tuju depan negara. Wizarah Tanfiz pula adalah Menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan pelaksanaan (eksekutif) terhadap dasar-dasar kerajaan dan undang-undang negara.

Ia bukan sistem Kabinet baharu yang perlu dibentuk. Kerajaan yang dibentuk oleh BN selama ini sudah mengamalkan pembahagian sedemikian tetapi bukan atas dasar agama, sebaliknya lebih kepada kedudukan kaum. Ada Kementerian yang perlu orang Melayu pegang, ada Kementerian yang wajar diberikan kepada Cina dan begitu juga India, dan wakil etnik Sabah dan Sarawak. Bukan sesuatu yang pelik.

Kesemua Menteri samada Tafwidh atau Tanfiz berada di dalam satu kabinet yang sama dikenali sebagai Jemaah Menteri. Sebarang perkara yang memerlukan keputusan bersama akan turut melibatkan Menteri bukan Islam. Keputusan Menteri adalah tanggungjawab bersama (collective responsibility) setiap anggota Kabinet.

Bukan Islam jadi Menteri

Tujuan perbincangan ini dimasukkan dalam Ahkam Sultaniah adalah bagi memberikan tempat kepada bukan Islam untuk terlibat dalam pemerintahan negara iaitu pada kumpulan Wizarah Tanfiz, sesuai dengan waqi‘ beliau dalam masyarakat berbilang agama di Iraq. Dari segi prinsip, pemisahan ini perlu agar kita jelas di mana batas-batas penglibatan bukan Islam di dalam sesebuah pemerintahan bagi menjamin ideologi negara.

Mengikut Kabinet yang ada sekarang, hanya beberapa portfolio yang berada di bawah klasifikasi Wizarah Tafwidh seperti Menteri Ekonomi, Pertahanan, Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Luar dan Pendidikan. Adapun yang lain, kebanyakannya bersifat Wizarah Tanfiz. Ini bermakna Islam membuka ruang yang besar di dalam kepada bukan Islam untuk turut bersama di dalam pentadbiran sekiranya mereka memiliki merit yang sepatutnya sebagai seorang Menteri.

Senang cerita, apa yang Presiden PAS cuba sampaikan adalah bagi menjelaskan bahawa Islam membenarkan orang bukan Islam terlibat dalam pentadbiran. Tidak sama dengan sistem teokrasi ataupun negara Mullah, negara Taliban atau Islamic State yang dibawa IS yang tidak menepati fikah Islam. Malangnya musuh politik PAS pantas memainkan isu kononnya PAS telah melakukan diskriminasi terhadap penganut agama lain.

Keterbukaan Islam dari idealogi lain

Jika difahamai secara lebih murni, Islam merupakan satu-satunya ‘ideologi’ perjuangan yang membenarkan penganut ideologi lain bersama di dalam pentadbiran negara. Mengikut amalan negara-negara maju lain, jika Parti Liberal memerintah, semua Kabinet akan dipilih dari mereka yang berideologi Liberal bagi memastikan Liberalisme menjadi ideologi negara. Jika Konservatif memerintah, seluruh menteri Kabinet adalah pejuang Konservatisme. Begitulah dengan Komunisme, Sosialisme dan Fasisme.

Jika ada yang sedikit terbuka seperti di UK, paling tinggi pihak berlainan ideologi hanya berada di tahap ketua jabatan sahaja. Tidak di peringkat Kabinet, melainkan jika pembentukan kerajaan berlaku dengan gabungan beberapa parti.

Inilah apa yang cuba dijelaskan oleh Tuan Guru Presiden berkenaan akidah negara. Akidah merujuk kepada ideologi dalam bahasa arab.

Policy Maker dan Decision Maker

Seperkara yang mungkin tidak disedari adalah, pemisahan antara wizarah tafwidh dan tanfiz hanya berlaku di dalam Badan Eksekutif. Di badan Legislatif iaitu Parlimen, Islam turut membenarkan bukan Islam terlibat dalam mesyuarat bahkan mempunyai suara dalam menggubal atau meminda undang-undang dan perlembagaan. Rasulullah S.A.W telah menunjukkan perkara ini apabila kalangan Yahudi yang minoriti turut dijemput sebagai ‘panel penggubal’ piagam Madinah selain dari musyrikin Arab sendiri.

Begitu juga di Badan Kehakiman, oleh kerana Islam menerima amalan dua kepelbagaian set undang-undang sebagaimana yang sudah diamalkan di dalam negara menerusi sistem federalisme, Islam turut membenarkan hakim dilantik dari kalangan bukan Islam bagi kes-kes yang tidak melibatkan orang Islam. Bagi jawatan peguam dan pengamal undang-undang lain juga, tidak ada masalah bagi bukan Islam terlibat.

Audiens jelas, orang luar pula keliru!?

Sekiranya kita berada di dalam dialog tersebut, tentu sekali kita akan jelas bagaimana rahmatnya ‘ideologi’ Islam yang dibawa oleh PAS untuk semua kaum dan agama. Walaupun sesi soal jawab rancak dengan persoalan, tetapi tidak ada satupun soalan yang ditimbulkan berkenaan wizarah itu. Menunjukkan mereka tidak ada masalah dari sudut itu. Polemik ini timbul selepas laporan media disebarkan oleh portal-portal yang tidak bertanggungjawab.

Malangnya yang menimbulkan kekeliruan adalah orang Islam sendiri. Lebih menyedihkan, ia dijaja oleh kalangan agamawan dari parti PKR, PAN dan juga yang mendakwa diri sebagai ahli akademik Islam dan pendakwah bebas tetapi sentiasa bias ke atas PAS. Mustahil mereka yang sudah ditahap PhD tidak pernah membaca Ahkam Sultaniah yang begitu masyhur itu. Mustahil mereka tidak faham apa itu tabayyun bila didatangi sebarang berita.

Martabat bahasa Ibunda

Suka untuk saya kongsikan, antara perkara menarik yang dijelaskan oleh Tuan Guru Presiden di dalam dialog adalah nasib pendidikan kaum India. Mereka mengeluh dengan tahap pendidikan kaum mereka yang masih lemah kerana SJK India hanya di tahap Sekolah Rendah sahaja. Menyebabkan ramai generasi India tidak mampu kedepan kerana tidak menguasai bahasa kaum lain.

PAS memberikan komitmen untuk menangani masalah ini kerana PAS percaya, untuk mengilmukan sesuatu bangsa mesti dengan bahasa mereka sendiri. Perkara ini bertepatan dengan dapatan UNESCO yang menunjukkan bahawa pembelajaran dalam bahasa asing gagal mengilmukan sesuatu bangsa. Negara patut belajar dari sejarah Islam, dan juga mencontohi dasar pendidikan berkait dengan bahasa di Jepun, Jerman, Perancis, China dan lain-lain. Mereka maju dengan bahasa ibunda masing-masing.

Dialog Interfaith

Di dalam dialog ini, Presiden menyampaikan mesej akidah Islam dengan sangat harmoni. Beliau menerangkan konsep ketuhanan Islam yang menolak penyembahan patung-patung dan batu walaupun di hadapannya adalah penganut Hindu. Beliau turut berkongsi beberapa kaitan agama Islam syariat terdahulu dengan Hindu seperti asal usul Brahma, Shiva dan upacara bakar mayat. Beliau tidak sesekali bersikap apologetik menyembunyikan kebenaran Islam demi menjaga hati orang kafir.

Dalam waktu yang sama, beliau menjelaskan bahawa Islam tidak memaksa seseorang meninggalkan agama mereka. Islam mesti dianut dengan kerelaan dan kesedaran. Bahkan Islam menjaga hak-hak agama lain dengan membenarkan mereka mendirikan rumah-rumah ibadat dan mengamalkan upacara mereka selagi tidak melampaui hak asasi manusia.

Untuk maklumat semua, Kelantan telah memperkenalkan elaun untuk Sami-sami yang menjaga rumah ibadat di sana. Satu perkembangan yang baik dalam menggambarkan penghormatan PAS terhadap agama lain.

Demokrasi wasilah dakwah

Majlis tersebut benar-benar membuktikan PAS memanfaatkan wasilah politik bagi tujuan dakwah. Ruang demokrasi yang diberikan ini diolah bagi menguntungkan Islam bukan sekadar bagi mencapai matlamat kuasa sahaja.

Perkongsian Presiden PAS sama sepertimana siri-siri kuliah Dhuhanya di Rusila. Cuma lebih fokus kepada info-info yang wajar diketahui kaum India. Menunjukkan bahawa apa yang disampaikan di Masjid Rusila itu tidak hanya untuk orang yang biasa ikuti kuliah beliau sahaja, tetapi umum untuk semua. Tiada apa yang sensitif dan tidak perlu bimbang untuk berkongsi.

Ikuti rakaman asal

Banyak lagi perkara-perkara menarik yang boleh didapati dalam program tersebut. Sesiapa yang mengikutinya, pasti akan terpaku dan terpesona dengan keindahan Islam. Tidak hairanlah sepanjang program berlangsung, jumlah penonton sentiasa meningkat hingga mencecah 14000 orang pada masa kemuncak.

Saya cadangkan yang masih belum mengikutinya untuk berbuat demikian menerusi Facebook PAS Pulau Pinang. Baik bagi bukan Islam yang selama ini masih skeptikal dengan Islam dan baik juga bagi orang Islam yang merasa diri masih jahil tentang agama sendiri.

Klik link dibawah untuk redirect ke rakaman tersebut:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1678627502200591&id=209205819142774

Islam benar, penganutnya boleh salah

Untuk akhir, saya kongsikan satu lagi perkara menarik yang dinyatakan Presiden PAS. Untuk memahami agama ini, perlu melihat kepada inti pati ajaran Islam sendiri. Jangan melihat kepada penganutnya sahaja. Kerana manusia bersifat lemah dan sentiasa melakukan kesilapan.

Jangan melihat kepada rekod pemerintah yang mendakwa Islam sama ada dalam sejarah lalu atau di zaman moden, kerana mereka juga manusia. Tidak semestinya Islam itu bertepatan dengan setiap tindakan mereka. Rujukan utama Islam hanyalah al-Quran dan Sunnah. PAS memberi komitmen untuk sentiasa bergerak di arena politik selari tuntutan al-Quran dan Sunnah, tetapi tidak terikat dengan mana-mana amalan orang Islam lain. Hanya yang selari dengan tuntutan Islam sahaja dicontohi. Yang salah dijauhi.

Apatah lagi, pemerintah Islam yang ada sekarang hampir semuanya adalah mereka yang mendapat restu dari kuasa Barat yang tidak mahu Islam yang sebenar didaulatkan. Kalau ada kalangan Islam yang sebenar meraih tampuk kekuasaan, pasti Barat akan berusaha menggagalkannya seperti yang pernah berlaku di Algeria, Mesir dan Turki.

Ya. Tekanan antarabangsa. Kalau faham bab ini, pasti dapat membaca kenapa PAS mengambil pendekatan mempersadakan diri sebagai King Maker dan memperkenalkan konsep Kerajaan Teknokrat, bukannya untuk terus muncul sebagai kepimpinan tertinggi.

ALANG IBN SHUKRIMUN –        HARAKAHDAILY 8/2/2018

- Advertisement -