Tarik darjah kebesaran hak mutlak Sultan

- Advertisement -
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan anugerah darjah kebesaran adalah hak atau privilege (keistimewaan) Sultan.
 
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata baginda boleh menganugerah kepada sesiapa dan boleh juga menarik daripada penerimanya.
 
“Kami tidak boleh membuat sebarang komen berhubung perkara itu kerana ia menjadi hak Sultan,” katanya sebagai mengulas penarikan darjah kebesaran bergelar Datuk kepada dua pemimpin PAN Kelantan.
 
Semalam Istana Kelantan menarik darjah kebesaran Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
 
Mereka sebelum ini menerima Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D. J. M. K.) (Al-Ismaili II).
 
Husam dan Wan Rahim dilapor mendakwa mereka menerima surat penarikan tersebut dari Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat petang semalam.
 
“Itu hak istimewa Sultan atau Yang di-Pertuan Agong dalam perlembagaan, kita tidak berani nak komen lanjut,” ujar Mohd Amar ketika ditemui pemberita selepas majlis pelantikan penghulu mukim dan tanpa mukim seluruh Kelantan hari ini. -HARAKAHDAILY 7/2/2018
- Advertisement -