Rakyat tidak susah, tapi tidak mampu membeli

riduan1
- Advertisement -

SEMAKIN kerajaan menafikan bahawa keadaan ekonomi negara dan rakyat merosot, semakin banyak bukti mendedahkan sebaliknya. Kenyataan Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali Mydin menceritakan segala-galanya mengenai keperitan yang ditanggung oleh rakyat ketika ini. Beliau menjelaskan dalam satu wawancara terhadapnya, Malaysia mungkin menyaksikan pertumbuhan dalam negara yang kukuh tetapi pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit mereka.

- Advertisement -

Beliau membuktikan bahawa KDNK Malaysia meningkat sebanyak 5.6 peratus manakala jualan runcit menyusut sebanyak 1.2 peratus dan jualan hypermarket pula menguncup sebanyak 4.8 peratus. Menurutnya, harga barangan mengalami kenaikan antara 14 hingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun lalu. Beliau membuat kesimpulan bahawa rakyat sudah tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan mereka.

Kenyataan belaiu begitu jujur, benar dan berani mewakili segmen rakyat terbanyak terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kenyataan beliau berpijak di bumi nyata, di saat para pemimpin kerajaan beriya menafikan dengan mendatangkan fakta sebaliknya. Hakikatnya rakyat lebih mengetahui keadaan diri mereka. Faktanya membuktikan kuasa beli rakyat semakin kurang, dan rakyat terpaksa berjimat cermat, kerana rakyat semakin tidak mampu seperti dahulu. Sejumlah besar masyarakat terkekang oleh kenaikan harga barang yang di luar kemampuan mereka, menyebabkan mereka hanya hidup sekadarnya sahaja. Jika dalam perbelanjaan keperluan harian keluarga juga sudah dicatu, bagaimanakah boleh menggambarkan suasana keadaan rakyat yang menanggungnya?

Jika rakyat senang, tidak mungkin ramai yang bersungut dan mengeluh. Jika keadaan ekonomi rakyat stabil, rakyat tidak perlu bekerja lebih, ada yang buat dua hingga tiga kerja. Jika rakyat itu senang, mereka tidak perlu mengikat perut dan menangguhkan bayaran bil utiliti rumah serta bermasalah memiliki wang tunai kecemasan untuk diri dan keluarganya. Ini semua berdasarkan kajian beberapa bulan lalu terhadap rakyat dan menemui apa yang dinyatakan oleh Datuk Amer Ali Mydin. Ia adalah signifikan dan realistik dalam keadaan semasa.

Dakwaan bahawa rakyat berbelanja mewah, melancong dan mengerjakan umrah dijadikan sandaran bahawa rakyat tidak susah tidak menjadi asas yang kukuh bagi mewakili sejumlah besar rakyat di negara ini. Ia hanya mewakili segmen kecil kalangan mereka yang mampu berbanding golongan rakyat yang susah yang jauh lebih ramai. Kerajaan mahu memadamkan realiti sebenar dengan gambaran segelintir rakyat yang bernasib baik dan hidup dalam kesenangan.

Bayangkan, jika lebih ramai rakyat mampu, angka mereka yang berbelanja mewah, melancong atau mengerjakan umrah jauh lebih banyak daripada angka yang ditemui. Yang mereka tidak bertemu dengan angka golongan susah yang semakin membesar, miskin bandar, fakir, gelandangan, kalangan anak-anak terbiar dan ketinggalan dalam pelajaran, kalangan yang tidak mampu membeli barang keperluan diri mereka sehari-hari, dan pelbagai kesusahan yang menjerut rakyat di pelbagai ceruk bandar dan kampung.

 

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

- Advertisement -