NGO berfahaman sesat bebas tanpa sekatan?

- Advertisement -

BAGAIMANA pertubuhan satu NGO diluluskan sedangkan ianya berlawan arus dengan Islam?Bagaimana kerajaan tidak menyedari bahawa kewujudan Sister in Islam (SIS) adalah satu pertubuhan yang telah menjadi satu tempat tersasarnya akidah Islam?

- Advertisement -

Atau memang dalam kerajaan terdapat sokongan kepada NGO ini berdasarkan kununnya mempertahankan hak wanita atau wanita Islam teraniaya?

Ramai yang tidak tahu SIS sudah lama wujud dalam negara kita di mana ditubuhkan pada tahun 1990, apabila Dr Amina Wadud dan sekumpulan wanita sealiran dengannya merasakan wanita Islam tidak mendapat keadilan dari segi hukum Islam. Mereka bersepakat untuk menubuhkan sebuah NGO bagi memperjuangkan hak yang didakwa mereka.

SIS berfahaman dengan fahaman Sekular dan Liberalisme walaupun bertopengkan nama Islam pada organisasinya. SIS dicengkam dengan gaya berfikir cetusan ‘Enlightment‘ di Eropah beberapa kurun yang lalu.

Di tengah-tengah kedahagaan mereka berhubung dengan maklumat keislaman, mereka bertemu dengan watak yang lebih banyak mempersoalkan Islam dari mematuhi Islam.

SIS membawa fahaman Liberalisme di mana Sekularisme menyokong kewujudannya dengan berjayanya ajaran Sekularisme yang menyisihkan kehidupan agama kepada satu amalan peribadi, manakala kehidupan sosiopolitik dan ekonomi dibebaskan dari cengkaman agama (Kristian).

Keadaan ini terus terbawa-bawa oleh SIS yang mempersoalkan mengenai ketidakadilan di dalam menghadapi hukuman di Mahkamah Syariah, hak lelaki berkahwin lebih dari satu (poligami), lelaki boleh memukul isteri yang durhaka.

Lebih dari itu tidak mempercayai Islam sebagai ideologi politik yang boleh memerintah Negara, mempercayai agama hanya sebagai nilai yang boleh mengawal politik, tetapi undang-undang dan hukuman bukan keseluruhan dari Islam.

Menentang hudud, menentang menahan orang yang mahu murtad dan hukuman terhadapnya, menentang Negara Islam, menentang penentuan dan pengawalan nilai ke atas masyarakat.

Negara tidak seharusnya mengadakan undang-undang atau polisi mengenai seksualiti yang mendiskriminasi dan membezakan dari segi hukuman dan berpegang pada kebebasan beragama.

Atas sebab inilah, tidak sukar untuk memahami pemikiran SIS mengapa SIS lantang menyerang sistem nilai Islam, termasuklah undang-undang syariah dan penguatkuasaan hukum Islam.

Di sinilah SIS akan bertembung dengan sesiapa dan apa sahaja yang mahukan Islam, sebagai entiti peranan berwibawa, walaupun pihak tersebut adalah pihak PAS dan Jabatan Agama.

SIS adalah pejuang kebebasan individu yang membawa fahaman utilitarian dalam menentukan batasan ‘akhlak’ yang diizinkan. Utilitrian menganggap bahawa keseronokan maksima ‘maximum pleasure’ adalah pengukur moraliti.

Selagi ia menghasilkan keseronokan maksimum, maka seseorang bebas untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki. Fahaman ini menolak sebarang campur tangan mana-mana pihak menentukan bagaimana seseorang itu mahu dan boleh berseronok kerana kononnya ia adalah hak individu.

Mereka juga membawa pemikiran tuntutan persamaan hak ini di dalam sistem kekeluargaan. Mereka memperjuangkan kebebasan berkeluarga, maka kehidupan berumahtangga yang berdasarkan agama menjadi longgar. Kerana mengelak dari keterikatan, tanggungjawab dan beban yang ada dalam kehidupan berumahtangga, maka mereka memilih pasangan secara hidup bebas tanpa ikatan pernikahan dan fenomena anak luar nikah hasil dari penzinaan.

Sudah jelas mereka-mereka ada dalam kalangan PH dan Umno-BN. Jika dilihat isu-isu yang bertentangan dengan mereka, akan dilawan dan berusaha untuk menjadikan satu kemenangan bagi mereka.

Jika hal ini dibiarkan maka keparahan Islam dalam masyarakat kita akan menjadi satu bala bencana yang tidak dapat kita bendung. Fahaman SIS adalah satu fahaman dari penganut Kristian yang kita lihat dalam DAP.

Jadi dalam hal ini juga kerajaan harus mengambil serius dalam melibatkan akidah umat Islam. Bukan dengan mendiamkan diri Islam dipijak oleh bangsa lain. Tetapi jika dilihat dalam masyarakat Umno-BN mereka juga hidup bebas tanpa paksaan.

Moga Allah memberi petunjuk serta keampunan kepada mereka yang telah sesat agar dapat kembali ke jalan kebenaran. Neraka tu amat panas, tak terdaya kita untuk menahan kepanasannya, sekiranya sebesar titik jarum terbuka, apinya mampu membakar seluruh alam ini. Hukum al-Quran tidak boleh dipertikaikan oleh manusia.

Allah berikan kita akal jadi berakal untuk memilih pemimpin kita yang ada dasar al-Quran dan Sunnah. Bukan hanya memilih pemimpin yang bijak dari segi kemajuan tetapi memilih pemimpin boleh membawa rakyatnya ke jalan Allah.-HARAKAHDAILY 7/2/2018

SAL NASIR

- Advertisement -