Medan utama persaingan kuasa dunia

- Advertisement -

RANTAU Asia Barat dan Afrika Utara telah mencatat sejarah tersendiri apabila kekal sebagai kawasan paling menyaksikan persaingan sengit di dunia, mengatasi rantau-rantau lain sepanjang berdekad lalu.

- Advertisement -

Sejak pembahagian menurut peta baharu Sykes-Picot, penubuhan Israel, hingga ke perang yang dicetus oleh kebangkitan Arab Spring, rantau Asia Barat dan Afrika Utara tidak pernah sunyi daripada krisis.

Pertembungan Turki dengan Arab, Arab dengan Parsi, sekular dengan Islamis, dan sebagainya, terus menjadi satu ciri utama persaingan di rantau penting dunia Islam ini, yang dipanaskan lagi oleh percaturan kuasa-kuasa besar yang bersaing.

Selama ini, sejak kejatuhan Soviet, hanya Amerika Syarikat yang mendominasi rantau ini, tetapi kini Rusia melalui kuasa politik, China melalui kuasa ekonomi merancakkan lagi politik serantau di sebelah sini.

Lima pertembungan ini kekal menjadi ciri utama rantau ini, rantau utama persaingan kuasa-kuasa dunia, dan semakin menghampirkan rantau ini kepada satu konflik berskala besar.

Arab Saudi dengan Iran

Takdir geografi telah meletakkan Arab Saudi dengan Iran berseberangan dalam perkiraan di rantau ini, lebih-lebih lagi selepas Iran dikuasai Syiah pada 1979, dan Saudi kekal dalam orbit AS. Persaingan kedua-dua negara meliputi kuasa melibatkan wilayah – paling utama Teluk Parsi yang dinamakan Teluk Arab oleh negara-negara Arab – aliran agama dan ideologi politik, dan segala isu yang berkaitan. Riyadh berjaya menguasai kepimpinan dunia Islam Sunni melalui kedudukan Makkah dan Madinah, dan sehingga kini dapat menyatukan banyak negara Islam di bawah satu agenda dipimpinnya. Walau bagaimanapun, Saudi semakin tercabar oleh Iran yang meningkatkan pengaruh selepas 1979 dan sekitar sedekad kebelakangan ini, pada masa sama Saudi merasakan semakin resah dengan perkembangan serantau.

Israel dengan Palestin

Israel menerima sokongan kuat kuasa besar dunia AS, manakala Palestin terpecah kepada dua kumpulan besar, Fatah dan Hamas. Sejak penubuhan Israel pada 1948, wilayah dikuasainya bertambah dan kini semakin menghampiri satu impian ‘Israel Raya’ dan pada masa sama mula membina hubungan baik dengan beberapa negara Arab. Sejak tahun lalu, Palestin berdepan cabaran yang semakin getir, apabila Gaza yang dikepung semakin lemah dan Hamas yang menguasainya terpaksa berkompromi dengan Fatah dan Mesir yang berhubungan baik dengan Israel. Akibat perkembangan sepanjang kebangkitan Arab, perjuangan pembebasan Palestin semakin terpinggir akibat hab di Syria yang digugat, pada masa sama AS meningkatkan sokongan kepada Israel.

Kurdistan lawan Turki, Parsi, Arab

Perjuangan kemerdekaan Kurdistan mencapai kemuncaknya pada tahun 2017, apabila Wilayah Autonomi Kurdistan di Iraq melaksanakan referendum untuk merdeka. Kurdistan Iraq juga semakin bertindak sebagai sebuah negara berdaulat walaupun tidak diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana negara. Ekoran kebangkitan dan perang di Syria, Kurdi Syria yang berhubungan baik dengan militan berhaluan kiri Parti Pekerja Kurdistan, PKK, telah menguasai beberapa kawasan di sepanjang sempadan Syria-Turki, memperlihatkan potensi satu wilayah Kurdistan yang bersambung dan membina sebuah Kurdistan meliputi Iraq dan Syria hingga ke Laut Mediterranean. Kurdi juga menerima sokongan dan bantuan daripada AS, dengan alasan untuk memerangi ISIS.

Arab Saudi-UAE dengan Turki-Qatar

Dua pakatan ini selama ini telah menunjukkan perbezaan yang ketara dalam banyak isu di rantau Asia Barat dan Afrika Utara. Walaupun kesemuanya sekutu rapat Washington, perkembangan sejak setahun dua lalu terutamanya telah meletakkan Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi bertembung hebat dengan Qatar, pendukung utama Ikhwan Muslimin. Tahun lalu, Turki menunjukkan kesediaannya membantu Qatar, dan menjadikan persaingannya dengan Saudi dan Emiriyah semakin terbuka. Kedua-dua Emiriyah dan Turki juga bersaing dalam melaksanakan projeksi kuasa di seluruh rantau Asia Barat hingga ke Tanduk Afrika. Terbaru, ekoran episod cubaan rampasan kuasa di Turki dan kepungan terhadap Qatar, persaingan ini menjadi semakin sengit.

Militan dengan Syria

Sejak 2011, kumpulan-kumpulan militan dan pemberontak telah terlibat dalam perang terhadap kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad. Didukung oleh Arab Saudi, Qatar, dan Turki – dan kuasa besar AS – kumpulan-kumpulan militan ini muncul sebagai kuasa penting di Syria pada masa ini, hasil gerakan mereka sejak tujuh tahun lalu. Walaupun kuasa yang menyokong ada yang telah menarik atau mengurangkan sokongan, Turki pada masa ini kelihatan meningkatkan semula sokongan untuk menguasai wilayah sempadan Syria-Turki. Melalui operasi memerangi militan Kurdi YPG di Syria, Turki menggunakan kumpulan-kumpulan militan yang disokong untuk membantu kempen. Kumpulan-kumpulan ini kini kembali berusaha membina kedudukan di Syria.-HARAKAHDAILY 8/2/2018

- Advertisement -