Mangsa kebakaran tagih janji pemimpin Umno

- Advertisement -

KOTA BHARU: Mangsa kebakaran di Kampung Bechah Kura, Peringat, Majet Awang Ali, 47 masih lagi menunggu janji anggota Parlimen Ketereh yang mahu membina rumah baharu kepada keluarganya.

- Advertisement -

Pada kejadian malang 24 Januari lepas, sebahagian rumah mangsa hangus terbakar, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah kini bersama isteri dan enam anak terpaksa berteduh di bahagian dapur dengan membina atap menggunakan sisa zink terbakar.

Majet juga telah menyerah segala dokumen diperlukan wakil Tan Sri Annuar Musa yang datang bagi membolehkan rumah baharu dibina.

Sehingga kini lebih dua minggu kejadian itu berlaku mangsa tidak mendapat perkembangan status rumah baru yang dijanjikan anggota Parlimen Ketereh.

Bagaimanapun selepas kejadian itu Majet menerima sumbangan Tabung Serambi Mekah sebanyak RM1,000 disampaikan Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof.

“Saya difahamkan mangsa sehingga sekarang belum dihubungi wakil anggota Parlimen Ketereh untuk memastikan pembinaan semula rumah mangsa.

“Saya juga dimaklumkan mangsa pemimpin Umno terbabit berjanji untuk membina semula rumah sehingga teduh dan bukan siap sepenuhnya.

“Manakala bakinya hendaklah disiapkan mangsa sendiri,” kata Dr Yusnan di sini.

Beliau juga berkata, memandangkan pemimpin Umno telah berjanji membina rumah kepada mangsa, beliau tidak mahu berebut untuk mengikhtiarkan pembinaan semula rumah terbabit.

“Ini memandangkan janji telah dibuat lebih awal oleh anggota Parlimen Ketereh. Lagi pun beliau mempunyai sumber kewangan yang banyak,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau bimbang politik janji pilihan raya ditabur pemimpin Umno di segenap kampung menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tidak lama lagi.

“Saya bimbang janji manis untuk kempen pilihan raya sahaja kerana penduduk di Ketereh memberitahu mereka banyak dijanjikan dengan pelbagai habuan sekarang,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap anggota Parlimen Ketereh memastikan janji yang dibuat dikota memandangkan mangsa sekeluarga hidup dalam keadaan daif. -HARAKAHDAILY 7/2/2018

- Advertisement -