Presiden bugar kebangkitan PAS P. Pinang

- Advertisement -
PERMATANG PAUH: PAS Negeri Pulau Pinang menerima suntikan semangat penuh bersejarah dengan kehadiran Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kelmarin.
 
Lebih bersejarah apabila beliau mengisytiharkan dihadapan sekitar 5,000 hadirin bahawa PAS akan kembali bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang pernah dimenangi tahun 1979.
 
Pengumuman itu ternyata membugar kebangkitan para pendukung PAS di negeri Pulau Mutiara itu yang diperkukuhkan beliau dengan susur galur sejarah sebagai negeri kelahiran PAS.
 
“Permatang Pauh sangat bersejarah kepada PAS. Saya nak isytihar pada malam ini, PAS nak bertanding di Permatang Pauh. PAS dah ambil (menang) pada tahun 1979, hendak ambil balik.
 
“Terpulang kepada pengundi-pengundi kawasan ini, berusaha dengan gigih memenangkan PAS, insya-Allah,” amanat beliau disambut laungan takbir di Kubang Semang itu.
 
Bersempena kehadiran beliau itu juga, pelbagai program lain diadakan antaranya Muslimat Prihatin dan Konvoi Alternatif Riding Club yang turut mendapat kerjasama Polis Trafik.
 
Terdahulu Tuan Guru mengisi Dialog Presiden PAS Bersama NGO India yang dihadiri sekitar 100 NGO India di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.
 
Beliau mengemuka dan menjawab pelbagai persoalan antaranya melibatkan bahasa, hak dan kebajikan, percukaian, hudud, kemajmukan dan kuasa eksekutif bukan Islam. -HARAKAHDAILY 6/2/2018
- Advertisement -