Perbincangan ‘Hadanah’ (penjagaan anak)

- Advertisement -
MASALAH ini telah menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama sejak zaman dahulu, kerana negara Islam sangat berpengalaman mentadbir masyarakat majmuk. Secara khusus apabila berlakunya perceraian dan masalah hadanah (penjagaan) oleh ibu yang bukan Islam.
 
Para ulama Mazhab Syafie dan Hanbali dengan tegas mengamalkan konsep berkebajikan dengan mewajibkan pihak Islam hendaklah diberi hak menjaga anak kerana melihat pengawasan Islam terhadap kepentingan anak adalah menyeluruh. 
 
Bukan sahaja dalam aspek agama dan menyusu anak secara zahirnya, bahkan juga dalam aspek pemakanan yang halal kerana semua makanan yang haram adalah mendatangkan mudarat kepada jasad, roh dan akal kanak-kanak yang dijaga, tanpa menafikan naluri kesayangan ibu terhadap anak secara zahirnya, tetapi tidak ada kawalan terhadap pemakanan yang halal, kerana agama lain tidak mengharamkannya. Di samping itu, aspek akhlak yang berbeza dalam menilai baik dan buruk secara fitrah juga diberi perhatian. 
 
Islam juga memberi jaminan wajibnya ke atas anak menunaikan kewajipan terhadap ibu bapa yang tidak beragama Islam, walaupun anak itu tetap memilih agama Islam. Hukum ini dinyatakan oleh firman Allah:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ١٤ وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٥
[لقمان: 14-15]
 
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku (Allah) dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka (kedua ibu bapa yang tidak Islam itu) di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (15)”
(Surah Luqman: 14-15)
 
Mengikut pembacaan saya, ayat yang disebut secara nas seperti ini tidak ada dalam kitab suci agama yang lain daripada Islam. Oleh itu, tidak boleh ada kebimbangan oleh kalangan bukan Islam terputusnya hubungan keluarga dengan sebab menganut Islam.
 
Adapun Mazhab Hanafi dan Maliki mengizinkan ibu bukan Islam menjaga anak, tetapi dengan syarat jaminan yang sebenar dapat memelihara kesucian akhlak dan fitrah anaknya serta tidak juga memberi makanan yang haram seperti daging babi, meminum arak dan sebagainya. 
 
Pandangan ini berdasarkan kepada negara dan masyarakat yang dilaksanakan Islam sepenuhnya sehingga dapat mengawasi anak tersebut dengan menjaga sensitiviti bapa dan masyarakat yang menganut Islam. Masalahnya, adakah aspek ini dapat dijaga dalam masyarakat yang telah meletakkan Islam tidak ada pengawasannya yang sempurna?
 
Sepatutnya badan kehakiman yang membuat keputusan hendaklah mengambil kira kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, serta bidang kuasa negeri terhadap urusan agama Islam dan peranan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama Islam yang menjadi komponen penting dalam negara kita dengan nasihat para Mufti atau Majlis Fatwa masing-masing. Pada masa yang sama, hendaklah menjaga batas hak agama lain yang mensyaratkan menjaga batas keharmonian masyarakat majmuk. 
 
Kerajaan juga hendaklah berani dan tegas terhadap kalangan yang lebih menjaga kepentingan politik perkauman dan fanatik agamanya untuk pilihan raya tanpa mengambil kira aspek yang lain, sehingga melampau apabila mencabar Ketua Polis Negara yang tidak bertanding dalam pilihan raya, tetapi menunaikan kewajipan menjaga keharmonian. Kalangan yang mencabar juga tanpa peduli kepada kebijaksanaan secara ilmu kemanusiaan dan undang-undang yang menghormati semua pihak.
 
“Sejahtera Bersama Islam”
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS 
 
Bertarikh: 20 Jamadil Awal 1439 / 6 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 6/2/2018
 
- Advertisement -