Apabila fitnah jadi modal pelaris berita

- Advertisement -
MEDIA mempunyai peranan yang penting kerana ia merupakan medium penyebaran maklumat yang mampu membentuk pemikiran masyarakat. Ia boleh jadi positif dan boleh juga jadi negatif. Ia boleh memutihkan yang kotor dan boleh menghitamkan yang suci.
 
Saban hari, PAS senantiasa diserang daripada segenap sudut dan penjuru. Antara yang galak menyiar cereka fitnah dan berita spin terhadap PAS ialah portal berita web yang pro Pakatan Harapan (PH). Lihatlah teknik pemberitaan di portal web Malaysiakini, The Malaysian Insight, The Malaymail Online dan Free Malaysia Today. 
 
Hampir sama sahaja, semua portal utama ini sememangnya menjadikan PAS sebagai sasaran utama mereka. Kenyataan Tuan Guru Presiden PAS memang dinantikan oleh mereka kerana ia boleh diputar sesedap rasa agar persepsi negatif terhadap PAS terpasak di minda pembaca awam.
 
Di samping itu, institusi yang berkait dengan Islam seperti JAKIM, Mufti, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri turut menjadi mangsa sasaran serangan mereka yang berideologikan liberal dan anti proses Islamisasi.
 
Oleh sebab PAS tidak bersama PH, media pro PH menjadikan PAS sebagai musuh yang sebaris dengan Umno-BN. Oh, mungkin tuan empunya portal media pro PH ini sudah berkursus dan mendapat latihan daripada pemilik Utusan, Berita Harian, RTM dan TV3 yang sememangnya terbukti berkepakaran dalam membuat berita memburukkan pembangkang dan menaikkan imej Kerajaan BN.
 
Terbaru, pada Ahad lepas Tuan Guru Presiden PAS mengadakan sesi dialog terbuka dengan NGO India di Pulau Pinang. Beliau turut mengulas mengenai idea Kerajaan Teknokrat iaitu mereka yang bukan Ahli Parlimen tapi pakar boleh menjadi Menteri Kabinet. Tuan Guru turut menyebut berkenaan konsep Islam yang membahagikan kementerian, kepada dua iaitu wazaratul tanfiz dan wazaratul tafwid.
 
Namun, media The Malaysian Insight (TMI) sengaja memutar-belit apa yang Tuan Guru Presiden PAS sebut dengan menyiarkan berita yang bertajuk “Muslims to draft policies, non-Muslims to implement them, under PAS rule” dan “Bolehkah PAS tadbir Malaysia ikut garis kaum dan agama?”.
 
Rentetan daripada berita spin itu, Lim Guan Eng pun bersuara membantah dengan menuduh PAS mahu menjadikan orang Islam sebagai tauke manakala orang bukan Islam sebagai kuli. Ustaz Wan Ji PKR yang merupakan budak suruhan Guan Eng pula menuduh idea PAS itu bermodelkan pemerintahan Taliban. Apa jua skrip yang Tetuan DAP sebut, itulah yang akan dipertahankan oleh khadamnya yang berbayar.
 
TMI meneruskan agenda jahat tersebut dengan menyiarkan pula 
berita bertajuk; “Lawmakers denounce Hadi’s ‘dangerous’ two-cabinet plan for Malaysia”, “Hadi’s two-tier cabinet unrealistic, restricts non-Muslims, say analysts” dan “Hadi’s two-cabinet idea unIslamic and discriminatory, observers say”.
 
Lihat, modus operandi perancangan mereka. Buat berita spin dan palsu, kemudian minta pemimpin PH dan penganalisis pro PH respon untuk menambah perisa menyerang PAS.
 
Pada awal pagi ini, lidah rasmi PAS portal web Harakahdaily menyiarkan berita yang bertajuk “Bukan Dua Kabinet” bagi memperjelaskan apa yang sebenarnya diucapkan oleh Tuan Guru Presiden PAS.
 
Walaupun sudah diperjelaskan dengan sedemikian rupa, portal TMI ini dengan angkuhnya enggan mengaku kesilapan. Mereka terbitkan pula berita yang bertajuk “Salah Petik atau Suara Hati Hadi”. Sungguh biadab TMI ini. Siapakah gerangan editor TMI yang sering menerbitkan berita tetapi merahsiakan nama wartawan yang menulisnya. Bukankah itu pengecut dan tidak bertanggungjawab namanya.?
 
Berita palsu TMI ini turut ditegur oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim yang menyiarkan kenyataan media bertajuk “Berita 2 kabinet ialah berita palsu yang perlu ditolak”. Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin juga menerbitkan kenyataan media yang bertajuk “Hayati Maksud Sebenar Cadangan Kerajaan Teknokrat”.
 
Pada zaman perang media moden ini, betapa pentingnya kita semua menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum terlalu cepat mempercayai dan menyebarnya. Kita usahlah terikut rentak musuh dan terjerat dengan perangkap mereka. 
 
Jangan begitu cepat membuat kesimpulan dengan hanya sekadar membaca tajuk berita sahaja tanpa membaca isi keseluruhannya. Dalam keadaan sekarang, usahlah kita bermimpi untuk melihat berita yang betul dan memuji PAS disiarkan oleh portal Malaysiakini, The Malaysian Insight, The Malaymail Online dan Free Malaysia Today. 
 
Kitalah yang sepatutnya berperanan di segenap lapangan untuk memperjelaskan apa yang kabur dan menerangkan apa yang benar apabila sesuatu fitnah tersebar.
 
Catatan oleh:
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Pusat Penyelidikan PAS
06 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 6/2/2018
- Advertisement -