Masalah gerai durian Taman Chempaka perlu perhatian

- Advertisement -
SAYA telah menerima laporan tentang masalah yang disebabkan oleh gerai-gerai durian di Taman Chempaka.
 
Pada 2 Februari 2018 saya telah mengadakan lawatan ke Jalan Chempaka 3, Taman Chempaka.
 
Saya telah mendapati dua tong sampah Roro gerai-gerai tersebut yang diletakkan di atas jalan raya.
 
Ketika lawatan pada jam 8.30 pagi itu, saya dapati tong-tong itu dipenuhi bukan sahaja oleh kulit-kulit durian tetapi sampah domestik. Sampah-sampah itu berbau dan penuh dengan lalat dan langau. 
 
Oleh yang demikian, tidak hairan jika ketenangan penduduk tempatan terganggu dengan kehadiran gerai-gerai itu.
 
Dengan itu, saya menggesa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menimbang semula kelulusan untuk membenarkan gerai-gerai tersebut beroperasi di situ.
 
Sebelum ini terdapat aduan tentang halangan kepada lalulintas kerana kenderaan pelanggan gerai-gerai itu telah diletakkan di tepi-tepi jalan.
 
MPAJ pernah mencadangkan kawasan tersebut menjadi pusat penjualan buah-buahan tempatan tetapi tidak mendapat sokongan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).
 
Saya menggesa agar kesejahteraan penduduk tempatan dan keselamatan diberi keutamaan.
 
Pusat Khidmat saya akan mengadakan satu mesyuarat dengan MPAJ dan penduduk untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini.
 
Gerai-gerai tersebut sepatutnya diletakkan jauh dari penduduk. MPAJ perlu cari satu tapak baru untuk mereka.
 
YB DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ahli Dewan Negeri Chempaka
Selangor Darul Ehsan
3 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 3/2/2018
- Advertisement -