Khidmat kesihatan bantu rawat dan motivasikan pesakit

- Advertisement -
PAROI: Program Khidmat Kesihatan Percuma anjuran Yayasan Amal Malaysia dan Amalnita Negeri Sembilan telah berlangsung di kawasan perumahan Flat Senawang Jaya 1, di sini kelmarin.
 
Inisiatif NGO tersebut mendapat sokongan  daripada para pegawai perubatan dan kesihatan yang memberi khidmat sukarela mereka mewakili Papisma dan MusMedik. 
 
Antara khidmat kesihatan yang diberikan adalah pemeriksaan saringan kesihatan bagi penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan juga obesiti.
 
Doktor berkhidmat turut memberi penerangan mengenai pemakanan sihat serta menganjurkan pesakit membuat rujukan lanjut ke hospital berdasarkan saringan kesihatan yang dibuat.
 
Antara hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Negeri Sembilan, Rozmal Malakan dan Pengerusi Amalnita Negeri Sembilan, Masita Mohamed Ali serta Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Mohamad Hassan Tamby.
 
Menerusi program tersebut yang turut memberi khidmat pemeriksaan kesihatan statik (home visit), pesakit juga dikonsultasi ke arah amalan “mencegah lebih baik dari merawat” sebagai satu kesedaran. – HARAKAHDAILY 2/2/2018
- Advertisement -