Gesa baiki jalan raya rosak dalam K. Lumpur

khairil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya segera bertindak menangani isu jalan raya rosak di sekitar ibu negara ekoran pembangunan yang tidak dikawal selia sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada warga kota.

- Advertisement -

Timbalan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya memandang serius rungutan warga kota berhubung kualiti jalan raya yang semakin teruk hingga menyebabkan warga kota terpaksa menanggung kos penyelenggaraan tinggi pada kenderaan di samping meningkatnya risiko kemalangan.

“Rakyat memahami hasrat kerajaan menyediakan fasiliti awam yang lebih baik pada masa hadapan. Namun projek pembinaan MRT, penyelenggaraan sistem pembentungan oleh Indah Water Konsortium, projek naik taraf paip SYABAS serta penyelenggaraan kabel bawah tanah oleh TM Malaysia dan TNB telah menyebabkan banyak jalan dalam bandar rosak.

“Jalan berlubang, jalan tar baru bertampal-tampal yang tidak rata dan mendap, adalah antara cabaran harian warga kota seperti di kawasan Kampung Datuk Keramat, Jalan Semarak, Lembah Pantai, Kepong, Wangsa Maju, Batu, Pudu dan banyak lagi,” utara beliau.

Katanya, keadaan jalan raya ‘bertaraf setinggan’ ini akan memburukkan imej negara kerana pelancong juga merupakan pengguna jalan raya apabila berkunjung di Kuala Lumpur.

Tambahnya, tiada erti cukai taksiran perumahan dinaikkan kepada 10 peratus dan 25 peratus bagi komersil pada tahun 2014 apabila ianya dilihat tidak langsung memberi manfaat jelas kepada pembayar cukai.

Tegas beliau lagi, DBKL juga perlu menyemak kembali keperluan utama penduduk di sini terutamanya projek pembinaan jalan basikal yang menelan peruntukan hampir RM4 juta di mana sebenarnya tidak menjadi keperluan utama warga kota.

“Jalan basikal ini adalah sekadar memenuhi hobi hujung minggu Datuk Bandar dan bukannya satu keperluan yang mendesak. Umum mengetahui Datuk Bandar Kuala Lumpur memang suka berbasikal dan mahu rakyat menyertainya. Malah sanggup berbelanja besar untuk membina laluan basikal di tengah kota serta menarik syarikat applikasi OBike beroperasi di Kuala Lumpur.

“Walaupun laporan akhbar Harian Metro bahawa DBKL peruntukkan RM 4 bilion untuk bina laluan basikal tidak benar, tetapi peruntukan pembangunan DBKL bagi 2018 sebanyak RM1.146 bilion adalah satu jumlah yang besar.

“Sebahagian kecil peruntukan ini wajar disalurkan bagi memperbaiki jalan-jalan yang rosak itu pada kadar segera berbanding menghabiskan RM4 juta untuk bina laluan basikal,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa DBKL menguatkuasakan peraturan pembangunan dengan memastian setiap syarikat atau agensi yang melakukan sebarang projek menjejaskan sistem jalan raya di pusat bandar, hendaklah menganti atau memperbaiki sebarang kerosakan dilakukan dengan segera dan berkualiti agar tidak menyusahkan rakyat. -HARAKAHDAILY 2/2/2018

- Advertisement -