Penduduk tagih janji projek kilang silika

KUALA TERENGGANU: Ketika projek perlombongan silika dilulus kerajaan negeri empat tahun lalu, penduduk dijanjikan dibina sebuah kilang kaca.
 
Bekas Ketua Kampung Bari Besar Setiu, Hasan Basri berkata, pegawai kerajaan dan pemaju ketika itu bertemu pemduduk kampung berkaitan cadangan membina kilang di Kampung Saujana atau Bari Besar.
 
Bagaimanapun katanya, terdapat dakwaan pasir yang dilombong di situ dibawa ke Melaka dengan menggunakan lori besar.
 
“Bahkan tidak kurang tiga kali kapal berlabuh di jeti khas di pantai kampung tersebut bagi memunggah Silika mentah.
 
“Lori yang mengangkut pasir silika hantar ke jeti untuk dihantar ke kapal. Sedangkan projek lombong silika diuar-uarkan kerajaan negeri memberi manfaat kepada penduduk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
 
Menurutnya juga cadangan membina kilang tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang. 
 
Pada 8 September 2014 Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif Abdul Rahman melakukan pecah tanah projek pembinaan kilang memproses silika di Bari.
 
Sedangkan mantan menteri besar, Dato Seri Ahmad Said sebelum ini memberitahu kerajaan negeri tidak membenarkan silika di Setiu dan Marang dibawa keluar.
 
Menurutnya industri tersebut mampu menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 
 
Tapak projek silika seluas 1,800 hektar di Setiu dan Marang terletak dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). -HARAKAHDAILY 31/1/2018