Kemenangan yang tertangguh, menzahirkan sikap munafik

KETIKA Bani Israel berada di bawah kezaliman Firaun, mereka masih boleh bertahan dengan ujian itu. Lalu Allah S.W.T beri kemenangan kepada mereka dengan menyelamatkan mereka dalam peristiwa terbelahnya laut.
 
Peristiwa ini jelas berlaku depan mata mereka menjadi bukti kekuasaan Allah.
 
Ketika Bani Israel berjalan di padang pasir yang tandus, tiada sebarang makanan, mereka masih boleh bertahan dengan ujian itu.
 
Lalu Allah S.W.T beri kemenangan kepada mereka dengan turunnya makanan daripada syurga.
 
Peristiwa ini jelas berlaku depan mata mereka menjadi bukti kekuasaan Allah.
 
Ketika Bani Israel sampai di kaki Bukit Sinai, Nabi Musa A.S. minta mereka tunggu sementara Nabi Musa naik menghadap Allah selama sebulan, menunggu arahan seterusnya. 
 
Apabila diminta untuk bertahan dengan kemenangan yang tertangguh ini, Bani Israel mula tidak tahan dengan ujian ini.
 
Apabila Allah S.W.T tangguhkan kemenangan ini selama 10 hari tambahan (menjadi 40 hari), muncullah munafiq dalam kelompok itu. 
 
Mereka tidak mampu menahan ujian ditangguhkan kemenangan, dan akhirnya pada hari ke 40 mereka sudah pun terpesong dari prinsip perjuangan apabila menyembah patung anak lembu.
 
Muhasabah, ramai orang yang mampu bertahan dengan ujian kezaliman, kepayahan dan kelaparan. 
 
Namun, tidak ramai yang mampu bertahan dengan ujian ditangguhkan kemenangan. Para munafik sekalipun boleh bertahan sepanjang kesusahan, namun apabila kemenangan itu ditangguhkan, mereka pasti kalah dengan ujian itu. -HARAKAHDAILY 31/1/2018