Karnival Dakwah Kuala Nerus perkenal budaya Islam

- Advertisement -
KUALA TERENGGANU: PAS Kawasan Kuala Nerus buat julung kalinya mengadakan Karnival Dakwah Kuala Nerus 2018 bagi menarik minat golongan masyarakat kepada budaya Islam.
 
Karnival Dakwah itu akan diadakan selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Februari ini di Padang Bola Buloh Gading, Teluk Pasu, Kuala Nerus.
 
Pengarah Programnya, Dr Alias Razak berkata PAS merupakan sebuah parti yang merangkumi tiga aspek iaitu dakwah, tarbiah dan siasah.
 
Justeru, katanya dalam aspek dakwah PAS cuba menarik minat serta memperkenalkan kebaikan Islam kepada golongan non-Muslim yang hidup dalam satu komuniti ini.
 
Menurutnya, kesyumulan Islam sebenar telah banyak diselewengkan hingga menimbulkan persepsi negatif terhadap agama itu.
 
“Itu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin bertujuan untuk menyerang PAS yang membawa dasar Islam dan mesej Islam. Tapi, dalam masa yang sama ianya telah memberi gambaran yang negatif tentang Islam terhadap non-Muslim. 
 
“Ini perkara yang amat membimbangkan kita. Oleh kerana, kita hidup dalam negara yang berbilang agama, berbilang kaum dan memang kita tidak boleh hendak menolak takdir suasana di Malaysia hari ini. 
 
“Kita kena terima keadaan itu dan sesuaikanlah supaya orang Islam juga memahami budaya agama lain. 
 
“Orang non-Muslim juga perlu memahami Islam yang sebenar dan bukan seperti yang digambarkan dan bukan melihat kepada amalan umat Islam hari ini yang banyak juga tersasar daripada ajaran sebenar (Islam),” ujarnya.
 
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Terengganu berkata demikian dalam satu sidang medianya di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar, di sini, hari ini. 
 
Katanya, tujuan lain penganjuran karnival dakwah itu bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam serta menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat non-Muslim.
 
Ini kerana, kata Dr Alias, bahawa dalam kawasan Parlimen Kuala Nerus terdapat tiga penempatan besar golongan non-Muslim tersebut.
 
“Di Kuala Nerus ini, ada tiga menempatan golongan non-muslim iaitu di Kampung Pulai Baru Bukit Berangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh, Taman Perumahan Sri Manir dalam Dun Teluk Pasu dan di Taman Semarak dalam Dun Bukit Tunggal.  
 
Kita tinggal dalam satu komuniti yang sama maka kita tidak mahulah timbulnya salah faham antara satu sama lain akibat persepsi yang tidak betul dan fitnah,” tegasnya.
 
Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal berharap agar masyarakat setempat yang terbabit sama-sama menjayakan usaha murni itu.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Setiausaha PAS II Terengganu, Ustaz Zakaria Dagang. -HARAKAHDAILY 31/1/12018
- Advertisement -