Karnival Kesihatan hubungkan PAS ke pedalaman S’wak

- Advertisement -

SIBUTI: Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak telah menganjurkan Karnival Kesihatan 2.0 yang mengadakan khidmat di beberapa penempatan sekitar Dun Bekenu dan Lambir, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program yang turut digerakkan oleh Muslimat Medical Team (MusMedik) Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Pusat itu menumpu lawatan ke rumah-rumah panjang dan kampung sekitar itu.

Dengan kerjasama Jentera Pilihan Raya PAS Sarawak, pasukan tersebut mengadakan pemeriksaan kesihatan melibatkan gigi, mata, tekanan darah dan kandungan gula dalam darah secara percuma kepada penduduk.

Program turut menyuntik kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan dan pemeriksaan secara berkala walaupun penduduk berada di pedalaman dan jauh dari bandar serta kemudahan hospital.

Rata-rata penduduk tersebut mahu agar agenda kebajikan itu diperluaskan terutama kepada golongan tua, fakir miskin dan ibu tunggal, apatah lagi tidak mempunyai kenderaan untuk ke hospital.

Turut menjayakan karnival dua hari itu adalah Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee; Setiausaha PAS Sarawak, Muhtar Suhaili dan Ketua Pemuda PAS Sarawak, Arifiriazul Paijo.-HARAKAHDAILY 30/1/2018

- Advertisement -