Penerangan cerna HASRAT, Dokumen Hijau dan WINS

BATANG SADONG: Penerangan PAS Negeri Sarawak terus mempergiatkan siri penerangan berhubung gagasan dan agenda semasa PAS Sarawak dan PAS Pusat khususnya dalam kalangan ahli di Bumi Kenyalang itu.
 
Sehubungan itu Siri Jelajah Wawasan Induk Sejahtera (WINS) 2051, Dokumen Hijau dan Halatuju Strategik 10 Tahun PAS Sarawak (HASRAT) Peringkat Zon Selatan telah diadakan di Sadong Jaya, di sini hari ini.
 
Sesi pembentangan telah disampaikan sepenuhnya oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Sarawak, Khairul Ismail yang menyeru kebersamaan pendokong PAS Sarawak merealisasikannya.
 
Antara penegasan beliau untuk dihadam peserta adalah untuk memahami betapa dasar sejahtera dan berkebajikan di bawa PAS menerusi dokumen-dokumen berkenaan adalah garapan berpandukan al-Quran.
 
Beliau turut menyentuh kepentingan pembangunan insan yang menjadi penekanan utama dalam Islam berbanding pembangunan fizikal semata-mata dalam sebuah pemerintahan.
 
Siri jelajah tersebut telah menghimpunkan ahli-ahli PAS dari Kawasan Batang Sadong, Kawasan Petra Jaya, Kawasan Santubong dan Kawasan Kota Samarahan serta diraikan tuan rumah diketuai Yang DiPertua PAS Batang Sadong, Abdul Rahim Omar. – HARAKAHDAILY 28/1/2018