MARA hak mutlak Umno?

- Advertisement -
KUALA  LUMPUR: Satu lagi penyalahgunaan kuasa dilakukan oleh Umno apabila menganggap Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai hak milik mutlak parti itu, bidas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof. 
 
Sedangkan kata beliau, MARA dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia, malangnya dijadikan kesempatan untuk ibu bapa mengambil surat tawaran di Dewan-dewan Umno. 
 
Perkara itu ujarnya, menunjukkan bahawa Umno telah menggunakan segala peluang dan kesempatan untuk terus menguasai orang Melayu dan memaksa mereka menyokong Unmo.
 
Sebelum ini maklumnya, Pengetua dan Guru Besar sekolah di Kelantan dipaksa berikrar supaya menyatakan sokongan untuk mengundi Umno-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
 
“Sekarang ini ibu bapa yang hendak menghantar anak belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dipaksa mengambil surat tawaran di Dewan Umno.
 
“Saya mengingatkan pihak Umno jangan cuba politikkan sistem pendidikan. Saya sangat kesal dengan tindakan daripada Kerajaan Pusat yang membiarkan perkara itu berlaku.
 
“Kita minta pihak kerajaan bertanggungjawab di atas arahan itu yang jelas dan nyata bercanggah dengan prinsip demokrasi negara,” tegasnya.
 
Beliau menegaskan hal tersebut menunjukkan bahawa Umno telah menggunakan institusi pendidikan untuk meneruskan kempen politik bagi pihak pemerintah. 
 
Tempelak Zailah, tindakan itu menunjukkan seolah-olah institusi pendidikan ditunggangi Umno-BN dan mereka menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka.- HARAKAHDAILY  29/1/2018
- Advertisement -