Gesa ‘guru pembangkang’ berhenti adalah ugutan naif

- Advertisement -
LAJNAH Pendidikan PAS Negeri Johor ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Dato Seri Mahadzir Khalid yang telah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan bagi warga pendidik di seluruh Malaysia baru-baru ini.
 
Ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Bin Khalid yang bernada ugutan terhadap warga pendidik dan mahu mengambil tindakan disiplin terhadap guru menyokong parti pembangkang, menunjukkan taraf seorang menteri seolah-olah memiliki sikap tidak bertamadun dan hilang nilai profesionalisme dalam diri.
 
Kenyataan seperti ini menggambarkan sikap yang cukup terdesak serta 
menggambarkan Umno  berada di ambang ketakutan dan bimbang akan kehilangan sokongan guru dalam PRU 14.
 
Pendidik menggesa supaya Menteri Pendidikan Malaysia dan KPM berhenti mengugut guru atau melampiaskan ‘dendam politik’ terhadap warga pendidik yang berdedikasi dan telah  banyak menabur jasa mendidik anak bangsa dengan cemerlang. Guru adalah golongan cerdik pandai yang ditugaskan mendidik anak bangsa bukan seperti lembu dicucuk hidung dan hanya menurut arahan tanpa berfikir.
 
Harus diingat, guru adalah rakyat Malaysia yang boleh menyokong atau memilih mana-mana parti politik yang sah dan berdaftar sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Jangan mengongkong minda dan jiwa warga pendidik dengan penjajahan alaf baru yang merugikan negara.
 
Lajnah Pendidikan PAS Negeri Johor ingin menegaskan bahawa kenyataan naif seperti ini akan menyebabkan warga pendidik semakin bertambah benci dengan Umno dan bukan sebaliknya.
 
 
NORMALA SUDIRMAN
Pengerusi Lajnah Pendidikan 
Badan Perhubungan Negeri Johor – HARAKAHDAILY 28/1/2018
- Advertisement -