Dr MAZA kata pada siapa “Curi RM5 bilion”?

- Advertisement -
SEPERTI sedia dimaklumi, fungsi Mufti Perlis yang termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis 2006 hanyalah “membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak…” sahaja.
 
Bagaimanapun, seperti sedia dimaklumi juga, Mufti Perlis sekarang, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA), sangat suka melampaui bidang tugas beliau dengan selalu membicarakan persoalan politik negara, termasuk dengan menyindir pemimpin politik.
 
Terbaru, Dr MAZA dirakamkan oleh laman Facebook Promedia Tajdid hari ini, yang beritanya segera disambar oleh portal berita Malaysia Kini, sebagai menyindir orang yang “curi RM5 bilion” dan orang lain yang “cium tangan orang yang curi RM5 bilion” ini.
 
Walaupun jumlah “RM5 bilion” ini hanyalah satu contoh, dan walaupun tidak disebutkan dengan jelas siapa orang yang “curi RM5 bilion” dan siapa orang lain yang “cium tangan orang yang curi RM5 bilion” ini, senario semasa membuatkan sindiran ini mudah difahami.
 
Tidak dinafikan bahawa sindiran ini dibuat di dalam konteks untuk menjelaskan betapa pemilihan pemimpin sepatutnya dibuat di atas isu yang membabitkan kepentingan awam (public interest) dan bukannya isu yang membabitkan dosa peribadi (private sin) pemimpin.
 
Begitupun, pada hemat saya, sindiran yang dibuat oleh Dr MAZA ini sangat tidak wajar dan boleh mendatangkan fitnah sedangkan beliau sendiri pada ketika yang lain sangat tegar menegaskan supaya masyarakat tidak terbabit dengan penyebaran berita bersifat fitnah.
 
Apatah lagi bila pendapat Dr MAZA bahawa soal dosa peribadi (private sin) pemimpin tidak wajar didedahkan dan tidak wajar dijadikan pertimbangan dalam soal pemilihan pemimpin itu sendiri sudah berkali-kali dipertikaikan kerana kepentingan jawatan pemimpin ini.
 
Seingat saya, di negara kita mutakhir ini, pembelaan ke atas dosa peribadi (private sin) ini lebih dikaitkan dengan perjuangan G25, IRF serta pemimpin seperti Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bila Mufti Perlis juga menyokong maka bertambah gembiralah golongan ini.
 
Walau apa pun, semakin lantang dan berani juga nampaknya Mufti Perlis ini. Sampai golongan cybertrooper pun Dr MAZA kutuk sebagai “puak yang teruk”.
 
Transkrip ucapan Dr MAZA
 
“Allah Ta’ala tak suka kepada orang-orang yang menzahirkan perkataan yang buruk, melainkan orang-orang yang dizalimi. Asalnya kita tak cakap benda yang buruk tentang orang lain, melainkan kita rasa benda tu kita dizalimi. Yang dizalimi ini apa? Benda ni, terutama orang politiklah, dia tak boleh bawak benda yang membabitkan peribadi orang, melainkan benda yang membabitkan kemaslahatan umum seperti, kalaulah calon tu ka apa dia ada isu peribadi yang antara dia dengan Tuhan kita tak payah duk bawak pi jadi ceramahlah. Kalau kita nak habaq, “ni telah hilang RM50 juta RM500 bilion”, ah yang ni ada kaitan dengan awamlah. Tapi jangan kita pi bangkit benda “dia tuan-tuan dulu ni dengan mak dia”, come onlah, kalau nak cari benda tu semua kita ada, kita sedap cakap tentang urusan peribadi orang, kita sendiri banyak masalah, jangan cakap yang tu. Cakap benda yang membabitkan public interestlah, yang berkaitan dengan masyarakat. Ini apa, bila mai pilihan raya pi bawak keluaq, terutama ni apa, cybertrooper apa semua ni, teruk puak-puak ni. Benda urusan peribadi dia ka, hatta kalau dia apa benda-benda yang antara dia dengan Tuhan, bukan urusan dengan, ini private sin. Kita dalam masyarakat kita memang macam tu, dosa peribadi tu besar, dosa hak babitkan umum tu tak, kita biar. Kalau orang tu khalwat ka apa, masuk dalam suratkhabaq, ah yang tu 6 tahun tak habis. Tapi kalau curi RM5 bilion rilek je, balik, semua senyum, cium tangan lagi.” – HARAKAHDAILY 28/1/2018
- Advertisement -