ARC Keningau bantu baik pulih rumah asnaf

- Advertisement -
KENINGAU: Alternative Riding Club (ARC) Keningau telah mengadakan siri program Jejak Asnaf 2.0 melibatkan 15 anggotanya di Kampung Sarikan, Nabawan, di sini semalam.
 
Diketuai Pengerusi ARC Keningau, Che Hafifi Che Mee, mereka telah bergotong-royong membantu membaiki rumah keluarga ibu tunggal Orang Kelainan Upaya yang mengalami pelbagai kerosakan.
 
Menerusi usaha itu, anggota kelab motosikal tersebut telah membuat pemasangan soket dan lampu, membina longkang saliran dan membaiki atap bocor serta memasang siling.
 
Ibu tunggal dari keluarga daif empat beranak itu turut menanggung anak mengalami lumpuh dan ibu yang uzur serta terdapat seorang masih bersekolah.
 
Kumpulan itu menghabiskan masa sehari mengadakan kerja-kerja pertukangan di rumah tersebut, selain turut memberi sumbangan barangan dapur kepada keluarga tersebut.
 
Dipantau Penasihat ARC Keningau, Abd Hisham Othman, inisiatif anggota kelab itu membuktikan aktiviti ARC bukan hanya berkonvoi, tetapi juga meluaskan amal kebajikan. – HARAKAHDAILY 28/1/2018
- Advertisement -