PAS terkehadapan selesaikan kemelut rakyat

- Advertisement -
KEMAMAN: Kerajaan yang diterajui BN kini sedang mengalami masalah integriti dan kelemahan tadbir urus yang kritikal hingga tidak berupaya menangani isu rakyat di Terengganu. 
 
Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim menyenaraikan masalah Kerajaan BN Terengganu antaranya isu bas ‘Amphicoach’, penafian royalti, Perindustrian Telok Kalong yang malap dan corak perbelanjaan boros. 
 
“(Berbeza) PAS terbukti mampu selesaikan masalah. Kita dah terbit 15 manifesto dan bersedia untuk melaksanakannya. Malah, ada yang telah disambut oleh Umno hasil tawaran manifesto oleh PAS,” katanya ketika Pelancaran UPU Gong Pauh di Chukai, di sini semalam.
 
Menurutnya, PAS juga telah memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), pelancaran Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Dokumen Hijau yang menyenaraikan solusi terhadap pelbagai masalah negara
 
Hal itu, tegas Ustaz Hishamuddin yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, menunjukkan bahawa parti Islam itu sedang merangka kekuatan paling berwibawa dalam menuju pilihan raya akan datang.
 
“Susun semula gerak kerja. Kita sangat memerlukan jentera dari bawah yang melipat-gandakan lagi gerak kerja. Selebihnya kita serahkan kebergantungan kita pada Allah,” katanya.
 
Turut hadir Adun Chukai, Hanafiah Mat; Bendahari PAS Kawasan Kemaman, Johan Ismail dan Ketua UPU Gong Pauh, Mahadi Mahmud. – HARAKAHDAILY 24/1/2018
- Advertisement -