Mercun dan bunga api haram: Kerajaan perlu tegas

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah berulang kali menggesa supaya penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap pengharaman mercun/bunga api sejak lebih 20 tahun tetapi malangnya gesaan ini tidak dipedulikan.

- Advertisement -

Sementara kita berjuang untuk menguatkuasakan undang-undang, lebih daripada 40,000 orang telah menandatangani petisyen menggesa undang-undang baharu untuk mengharamkan penggunaan bunga api oleh orang awam di United Kingdom (UK). Alasan mereka ialah bunga api menyebabkan “cemas, sedih dan bimbang” kepada “ramai orang dan haiwan”.

Pada masa ini, mereka yang melanggar undang-undang bunga api akan dikenakan denda £5,000 (RM27,125) atau penjara enam bulan di bawah undang-undang UK.

Situasinya begitu berbeza dengan Malaysia. Bunyi mercun dan bunga api masih boleh didengar setiap kali musim perayaan walaupun ia telah diharamkan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (EA 1957) sejak berdekad lalu.

Seksyen 4(2) Akta itu menyatakan bahawa “Sesiapa yang mengeluarkan, memiliki atau mengimport sebarang bahan letupan yang melanggar notis yang dikeluarkan di bawah seksyen ini, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, atau denda sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.”

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya pindaan dibuat ke atas Akta itu untuk memastikan bahawa mereka yang didapati bersalah mengeluar, memiliki atau mengimport bahan letupan dijatuhkan hukuman penjara mandatori dan merampas kenderaan yang ditemui bersama mercun dan bunga api.

Kami menggesa hukuman maksimum dikenakan ke atas pengimport, peruncit dan sesiapa sahaja yang memiliki atau bermain dengan mercun dan bunga api untuk menunjukkan bahawa Polis Diraja Malaysia dan Kastam benar-benar bertindak tegas. Jika tidak hukuman yang dikenakan itu dilihat sebagai tidak berkesan.

Mercun dan bunga api begitu mudah diperoleh di negara ini memandangkan dilaporkan pada 2016 ia diseludup ke negara ini melalui sempadan negara ini dengan “rasuah di pintu masuk rasmi”. Di samping dijual secara runcit, ia juga boleh dipesan melalui aplikasi mesej yang ditularkan.

Pada 2016, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras kepada ibu bapa yang ditangkap membeli atau membenarkan anak-anak mereka bermain dengan mercun akan berdepan hukuman penjara tujuh tahun. Kami ingin mengetahui jika hukuman ini dijalankan dan berapa ramai ibu bapa yang menjalani hukuman penjara pada tahun lepas.

Pelanggaran yang berleluasa EA1957 sejak beberapa dekad lepas menggambarkan kelemahan dalam melaksanakan apa yang sudah pun diluluskan oleh Parlimen. Kami tertanya-tanya bilakah mercun dan bunga api yang diharamkan di bawah EA1957 akan dikuatkuasakan dengan serius bukannya dilihat sebagai menggubal undang-undang dengan pelaksanaan yang tidak bersungguh-sungguh. – HARAKAHDAILY 24/1/2018

- Advertisement -