Beri PAS peluang di Mentakab

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS seharusnya diberi peluang untuk mewakili mandat rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab berasaskan rekod cemerlang dan konsisten dalam membawa suara rakyat sepanjang lebih 60 tahun penubuhannya.

- Advertisement -

Seruan itu dinyatakan Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS DUN Mentakab, Ustaz Abi Rerah Awang Chik dalam Program Tayangan Wayang Pacak DUN Mentakab di Dataran Taman Setia Jasa, di sini sebentar tadi.

Kata beliau, masyarakat Mentakab sewajarnya membuat penilaian terbaik dengan melihat ‘track record’ sumbangan dan tawaran PAS, terutamanya dalam membangun serta menyedia alternatif terbaik bagi meringankan beban semasa rakyat.

“Lihat sahaja sumbangan PAS dengan penubuhan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI). Ia telah membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pendidikan awal anak-anak dengan pendidikan berteraskan Islam,” ujar beliau yang juga Pengerusi Mentakab Sejahtera.

Menurutnya, masyarakat Mentakab seharusnya meletakkan keyakinan teguh kepada PAS sebagai pembawa mandat mereka ke peringkat yang lebih tinggi yakni pemerintahan negeri dan negara.

Hal itu jelasnya, dengan melihat kekentalan PAS dalam mempertahankan prinsip perjuangan walaupun terpaksa bergerak sendirian dan berhadapan pelbagai tekanan daripada banyak pihak dari segenap sudut.

“Di saat PAS ditekan dan diperlekeh daripada pelbagai pihak, PAS tetap membuktikan kekentalannya apabila Himpunan Fastaqim yang dianjurkan di seluruh negara mendapat sambutan yang sangat luar biasa.

“(Baik) daripada jentera dan masyarakat setempat yang mana tidak mampu untuk dilakukan oleh parti-parti yang lain. PAS juga berani mengisytiharkan keahlian semasa mereka berbanding parti-parti lain yang banyak bermain dengan politik dendam dan persepsi,” ujarnya

Turut hadir dalam program yang dihadiri masyarakat setempat itu adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Jauhari Ishak.- HARAKAHDAILY 24/1/2018

- Advertisement -