PAS parti politik pertama terima tuntutan UMMAH

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: PAS menjadi parti politik pertama bersedia memberi komitmen kepada senarai tuntutan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bertujuan memastikan kekuasaan Melayu Islam terutamanya agama Islam terus dimartabatkan di negara ini.
 
Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, penyerahan tuntutan tersebut telah diserahkan kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dengan senang hati menerima tuntutan UMMAH.
 
“Beliau menyatakan kesediaan untuk beri komitmen terhadap semua tuntutan kita. Saya difahamkan beliau akan membuat kenyataan rasmi untuk menyatakan sokongan padu beliau terhadap tuntutan yang kita nyatakan dalam UMMAH,” katanya pada sidang media di Jalan Raja Laut, di sini semalam
 
Jelasnya, UMMAH masih menunggu tarikh dan jawapan daripada parti-parti politik lain iaitu Ikatan, Umno, PAN, PKR dan PPBM untuk menerima tuntutan UMMAH yang telah diputuskan selepas Konvensyen Kebangkitan Ummah pada 13 Januari lalu.
 
“Kita juga sedang merancang untuk mengadakan jelajah di seluruh negara sebenarnya dan sebahagiannya sudah kita tentukan tarikh-tarikhnya daripada Utara sampai ke Selatan untuk kita jelaskan tuntutan ini, kenapa pentingnya tuntutan ini kepada umat Islam dan orang Melayu.
 
“Sebenarnya tuntutan ini tidak melibatkan agama lain mahupun kaum lain kerana kita sendiri ada hak. Insha-Allah jelajah kita akan berjalan sikit masa lagi yang kita ambil dalam masa sebulan setengah,” katanya.
 
Sebanyak tujuh bidang kritikal telah disenaraikan dalam tuntutan Ummah iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, dakwah, perundangan, tanah rezab Melayu dan belia. 
 
Antara tuntutan tersebut adalah mengembalikan tanah rezab Melayu yang telah diambil pihak tidak berkenaan sebanyak 7 juta hektar dan menerapkan nilai-nilai Islam di dalam institusi pendidikan.
 
Selain tuntutan itu juga mahu 60 peratus tuntutan hak ekonomi orang Melayu menjadi sebahagian daripada manifesto parti-parti politik yang mahukan sokongan UMMAH pada pilihan raya nanti.
 
“Semua tuntutan itu kalau kita lihat, kita tidak pun mengambil apa-apa hak daripada bangsa lain mahupun agama lain cuma kita hanya menuntut bahawa hak agama kita dapat diperkasakan demi nak menjaga kelestarian hubungan kaum, kelestarian umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini.
 
“Jadi kita bukan menuntut hak orang lain untuk diberikan kepada kita tetapi apa yang kita buat ini tidak lebih daripada apa yang ada dalam kerangka perlembagaan yang telah kita setujui dan faham,” katanya.
 
Tambah beliau, hingga setakat ini pihaknya masih menunggu jawapan maklum balas daripada parti-parti politik berteraskan Islam-Melayu dan parti Berjasa akan menyusul selepas ini iaitu pada 27 Januari ini. – HARAKAHDAILY 23/1/2018
- Advertisement -