Cakna PAS bersambut permohonan keahlian

- Advertisement -
KOTA BELUD: Ziarah PAS Kawasan Kota Belud menyantuni warga miskin menjadi detik bersejarah apabila menerima permohonan keahlian PAS dari keluarga yang menetap di Kampung Batu Enam, di sini hari ini.
 
Terdahulu, keluarga 11 beranak itu meluahkan kekesalan terhadap wakil rakyat BN kawasan itu atas ketidakprihatinannya terhadap nasib penduduk.
 
“Susah sungguh kita hidup pada hari ini. Kita orang miskin kena GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), anak-anak kecil pun kena GST. Bertahun-tahun kita undi mereka (BN), tapi tiada senang yang kita dapat,” luah Juliana Ibrahim, ibu 9 anak itu.
 
Beliau dan suaminya, Husin Idung turut berkongsi pengalaman pahit apabila rumah mereka dilanda banjir, selain detik cemas sebahagian keluarganya di Kampung Lentigi terputus bekalan makanan.
 
Dengan nada sebak, beliau melahirkan kenangan terpaksa bergantung kepada air hujan untuk minum setelah terputus jalan hubungan dan bekalan makanan ketika kejadian itu.
 
Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Ustaz Awang Laiman Ikin meredakan kepiluan keluarga itu dengan nasihat supaya terus bersabar dan membuat perubahan dengan kuasa undi.
 
Pada pertemuan singkat itu, sumbangan berupa barangan dapur diserahkan Yang DiPertua PAS Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling dan Ketua Pemuda PAS Kota Belud, Adzmin Awang. – HARAKAHDAILY 23/1/2018
- Advertisement -