Ulama PAS Selangor diseru ke Festival MyAqsa

aqsa1
- Advertisement -

FESTIVAL MyAqsa yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Januari 2018 ini adalah satu program menghimpunkan ulama seluruh dunia Islam bagi membincangkan isu-isu BaitulMaqdis dan Palestin.

- Advertisement -

Festival ini adalah anjuran NGO Yayasan MyAqsa dengan kerjasama JAKIM ini akan berkampung di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya penuh dengan program merakyatkan isu Baitul Maqdis kepada seluruh masyarakat Malaysia supaya dekat di hati mereka.

Program ini bakal menerima kehadiran para ulama seperti Sheikh Yusof Al Qaradawi, Sheikh Ali Al Ghardaghi dan Sheikh Kamal Khatib serta ramai lagi di kalangan para ulama di Persidangan Meja Bulat Ulamak Sedunia bagi membincang hal terkini tentang Baitul Maqdis dan juga fatwa yang berkaitan dengannya.

YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS dan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia akan hadir bagi 2 acara kemuncak iaitu menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Meja Bulat Ulamak pada sesi acara tertutup dan juga pidato umum Malam Himpunan Munajat AqsaKu pada 27 Januari 2018 iaitu hari Sabtu jam 2.00 petang sehingga 11.00 malam yang terbuka kepada orang ramai.

Justeru itu, diseru seluruh Ketua-Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan Negeri Selangor dan ahli jawatankuasa UUK untuk mengambil peluang ini bagi menghadiri beramai-ramai bersama dengan delegasi para ulama pada program tersebut.

Kehadiran kita bakal melakarkan sejarah himpunan seluruh ulama dan ummah bersolidariti demi Islam dan pembebasan Al Quds.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
22 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 22/1/2018

aqsa1

- Advertisement -