Projek telaga tiub bantu SMA Al-Masriyah

- Advertisement -
SIMPANG RENGGAM: Yayasan Amal Malaysia Negeri Johor sedang berusaha membantu pembinaan telaga tiub (tubewell) untuk membekalkan keperluan air bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Masriyah, di sini hari ini.
 
Kerja-kerja penggerudian yang sedang dilaksanakan itu merupakan kali ketiga, setelah dua kali usaha dilakukan beberapa tahun lalu menemui kegagalan memandangkan keadaan berbatu persekitaran sekolah itu.
 
Sehubungan itu, usaha diketuai Pengarah Projek, Salleh Farmin itu dibuat kali ini secara kolaborasi dengan syarikat dari Banting, Selangor diketuai Zainal Ali yang mempunyai kepakaran dalam kerja penggerudian berkaitan dan telah bermula sejak tiga hari lalu.
 
Beliau memaklumkan, kerja tersebut hanya akan tamat apabila sumber air bawah tanah ditemui di mana kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM20,000 di mana Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Johor, Fauzi Abd Jalil yakin kejayaan kali ini.
 
Beliau turut merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai projek tersebut yang juga dikenali sebagai “Water for Life” (W4life) antara projek utama NGO itu di mana turut dilaksanakan di pedalaman Sabah dan luar negara seperti Sudan, Uganda dan lain-lain.
 
Orang ramai yang berhasrat menghulur sumbangan boleh menghubungi mantan Setiausaha SMA Al-Masriyah, Mohd Jubri Selamat yang juga Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia- Johor di talian 016-722 6367.
 
Transaksi juga boleh dibuat langsung ke akaun Yayasan Amal Malaysia akaun nombor 13053010003149 (Bank Islam), 5530 1012 2090 (Maybank), 8600 296 190 (CIMB Islamik) atau 1301 0002 4997 15 (Bank Muamalat). – HARAKAHDAILY 21/1/2018
 
- Advertisement -