Amalnita giat bantu golongan memerlukan

- Advertisement -
PORT DICKSON: Amalnita Negeri Sembilan giat membantu golongan memerlukan menerusi pelbagai usaha dalam meringankan beban mereka yang berhadapan pelbagai ujian dan kesulitan hidup.
 
Antara menerima perhatian NGO itu adalah pasangan suami isteri bersama tiga anaknya yang kini kehilangan punca pendapatan akibat kecederaan dialami setelah mereka terlibat dalam kemalangan motosikal dua bulan lalu.
 
Zainizan Othman, 41 dan Nor Mazita Omar, 40 tahun mengalami cedera parah serta terpaksa menjalani pembedahan memasukkan besi di kaki, selain masih menerima rawatan susulan di Hospital Port Dickson.
 
Keadaan tersebut menyebabkan anak kedua pasangan itu terpaksa berhenti sekolah dan bekerja di gerai untuk mencari pendapatan keluarga yang kini tinggal menyewa di Batu 4, di sini.
 
Sehubungan itu, Amalnita telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan dapur, serta menjelaskan yuran anak Zainizan dan Mazita yang masih bersekolah, semalam.
 
Terdahulu, Amalnita telah menyantuni warga emas, Liah Kalil, 74 menyampaikan sumbangan bekalan susu khas untuk merawat keadaan kesihatan dialaminya, kelmarin.
 
Dia yang kematian suami sejak tahun 2011 lalu, kini tidak mampu mengangkat tangannya akibat keadaan kesihatan itu dan tinggal bersama anak angkatnya di Taman Sikamat Utama, Seremban.
 
Beliau turut meluahkan keresahan atas baki hutang pinjaman TEKUN berjumlah RM3,000 yang gagal dilangsaikan setelah perniagaannya merosot dan akhirnya ditutup.
 
Keadaan itu menurut Liah, berlaku setelah gerai jualan makanannya di Jalan Rasah dirobohkan untuk projek Jalan Lingkaran Tengah dan terpaksa berpindah ke tempat baharu.
 
Katanya, walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200 sebulan, namun ianya tidak mencukupi di mana berharap hutang TEKUN itu dapat dilupuskan.
 
Amalnita berharap masyarakat yang prihatin dan ingin bersama membantu golongan seperti ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun BIMB 05067010011212 atas nama Amalnita Negeri Sembilan.
 
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pengerusinya, Masita Mohamed Ali di talian 019-265 5059 atau Rozmal Malakan di nombor 012-226 7406. – HARAKAHDAILY 19/1/2018
 
- Advertisement -