Konvoi PAS Teraju Pahang ‘tawan’ Temerloh

- Advertisement -

TEMERLOH: Konvoi PAS Teraju Pahang yang bermula sejak 13 Januari lalu singgah di Parlimen Temerloh dalam sambutan hangat dan meriah daripada Jentera PAS Kawasan dan masyarakat setempat, di sini semalam.

- Advertisement -

Ketibaan konvoi tersebut dari Jerantut yang singgah di parlimen itu kelmarin, disambut dengan acara penyerahan baton konvoi oleh wakil PAS Kawasan Jerantut kepada PAS Kawasan Temerloh diiringi sekitar 20 pacuan empat roda dan motosikal.

Seterusnya, jelajah tersebut memulakan aturcara di Temerloh bermula dari Pekan Lanchang menuju ke Bandar Mentakab, seterusnya ke beberapa destinasi di sekitar Bandar Ikan Patin itu dan berakhir di Masjid Ubudiah.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Temerloh, Ustaz Zaharim Ishak, konvoi itu adalah bagi menyemarakkan gelombang Himpunan Fastaqim 12K yang akan berlangsung di Kompleks PAS Pahang, Kerdau pada Sabtu ini.

Selain itu katanya, jelajah itu dalam rangka menyampaikan masej ‘Tawaran PAS Untuk Pahang’ dalam PRU14 akan datang yang disemarakkan dengan kibaran bendera PAS dan Fastaqim serta edaran risalah dan stiker PAS Teraju Pahang kepada masyarakat sekitar.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Temerloh berkata, konvoi itu sebagai usaha memberi kefahaman dan keyakinan masyarakat untuk memberi peluang kepada PAS sebagai peneraju utama kepada politik negeri tersebut selepas PRU akan datang.

Majlis penutup konvoi diserikan dengan Forum Perdana anjuran Urusan Ulamak PAS Kawasan Temerloh dan berakhir dengan acara penyerahan baton konvoi daripada PAS Kawasan Temerloh kepada wakil PAS Kawasan Kuala Krau.

Konvoi itu seterusnya akan menjelah ke Parlimen Kuala Krau dan beberapa kawasan lagi sebelum berakhir di kemuncak Himpunan Fastaqim 12K Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 18/1/2018

- Advertisement -