Awasi pusat kitar semula jual-beli barang curi

SIMPANG RENGGAM: Pihak berkuasa terutama Polis dan Majlis Daerah diminta bertindak, memantau serta melaksanakan pemeriksaan di premis-premis pusat kitar semula yang dikhuatiri menjadi tumpuan jualan barang curi.
 
Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Simpang Renggam, Mohd Jubri Selamat mengesahkan, terdapat banyak laporan kejadian curi melibatkan barangan besi seperti penutup longkang, tiang pagar, palang jalan dan seumpama.
 
Menurutnya, dari rekod-rekod kes yang ada ia melibatkan perlakuan oleh penagih dadah atau bekas penjenayah, sekali gus menunjukkan kegagalan BN selaku pemerintah menangani masalah ini.
 
“Pusat-pusat kitar semula juga perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak memberi barang disyaki curi dan sebaliknya segera melaporkan ke pihak polis jika terdapat cubaan urusniaga mencurigakan.
 
“Di sini, pusat kitar semula beroperasi 24 jam yang tentunya ‘memudahkan’ pencuri menjual barang dicuri. Ketegasan tindakan pihak berkuasa perlu untuk menyelamatkan dan mengelak lebih banyak kesusahan awam.
 
“Tidak dinafi, pusat-pusat seperti ini memudahkan pencarian rezeki golongan tertentu menjual barangan lusuh. Tetapi perlu juga dikenali pihak yang ambil kesempatan dari kegiatan curi.
 
“Bak kata pepatah, “Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”, kalau tak adabpembeli, manakan ada penjual”. Bebaskan negara dari segala jenis jenayah,” ujar beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Simpang Renggam.
 
Beliau mengulas isu tersebut setelah menerima aduan dari usahawan siswazah, Mohd Wafid Wafiyuddin yang telah tiga kali menjadi mangsa kecurian dan membuat aduan ke PAR itu kelmarin.
 
Kelengkapan projek fertigasi usahawan muda itu dicuri dan sebelum ini juga kabel elektrik sepanjang 200 meter serta kepingan besi alas mini excavator miliknya juga telah dicuri.
 
“Mana-mana pusat kitar semula yang membeli dan menyimpan barang curi perlu dikenakan tindakan undang-undang dan dibatalkan lesen perniagaan,” ujar Wafid mahukan keadilan. – HARAKAHDAILY 18/1/2018