Laporan portal berita ditokok tambah – UMMAH

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menafikan dua laporan awal daripada segelintir portal berita yang cuba memburuk-burukkan usaha murni NGO itu dalam hasratnya menyatupadukan suara umat Melayu-Islam di negara ini.
 
Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, pihaknya mendapati laporan berkenaan telah dipetik secara salah, serta ditokok tambah sehingga menyeleweng dari konteks yang dimaksudkan oleh para pembentang Konvensyen Kebangkitan Ummah pada Sabtu lepas.
 
Menurut beliau, pihaknya menegaskan laporan berkenaan tidak tepat sebagaimana yang diucapkan oleh Pengerusi Ummah, Ustaz Ismail Mina bahawa hanya orang Melayu berjuang menentang penjajah-penjajah serta mempertahankan Raja-raja Melayu.
 
“Beliau (Ustaz Ismail) langsung tidak menyebut bahawa ‘hanya’ orang Melayu sahaja yang berjuang atau menafikan sumbangan oleh para tentera dan polis bukan berbangsa Melayu selepas kemerdekaan dalam memerangi Komunis.
 
“Tindakan wartawan menokok tambah perkataan ‘only‘ (hanya) menyebabkan fitnah dan kezaliman terhadap Ustaz Ismail Mina. Lantaran itu, banyak rencana-rencana dan tulisan yang kemudiannya diterbitkan di pelbagai portal dalam talian menyerang Ustaz Ismail Mina secara salah dan tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Sementara itu, Aminuddin turut menegaskan, laporan bertentangan juga berlaku terhadap pembentangan oleh Dato’ Rauf Husin dalam Kluster Pendidikan daripada yang disebutkan oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di mana langsung tidak menyebut menuntut biasiswa kepada kaum lain dihentikan.
 
Demikian juga laporan berita terhadap pembentangan Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Ahmad Yazid Othman langsung tidak pernah mencadangkan agar penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi perlu dilaksanakan di firma yang dimiliki oleh kelompok minoriti sahaja.
 
“Ini adalah semata-mata fitnah jahat. Justeru, UMMAH menggesa semua pihak berhati-hati dalam menganggapi laporan oleh portal yang tidak bertanggungjawab dan mengamalkan prinsip tabayyun, memeriksa sebelum menyebarkan sesuatu yang tidak pasti,” serunya. – HARAKAHDAILY 17/1/2018 
- Advertisement -