Apa itu kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya?

- Advertisement -

RAMAI yang menyangka, Parlimen sudah pun tamat bersidang pada penghujung tahun 2017 dan hanya menanti masa untuk dibubarkan.

- Advertisement -

Rupa-rupanya, bermula 5 Mac 2018 Parlimen akan bersidang lagi untuk Penggal Keenam pula.

Ia agak luar biasa kerana kebiasaannya Parlimen bersidang sehingga penggal kelima sahaja, tidak pernah lagi bersidang sehingga penggal keenam.

Namun, ia tidaklah menjadi kesalahan kerana sesi Parlimen Ketiga Belas masih belum tamat tempoh kuasanya dan ia hanya akan terbubar secara automatik apabila genap 5 tahun iaitu 24 Jun 2018.

Agenda utama persidangan kali ini tidak lain dan tidak bukan semestinya “Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi Semenanjung dan Sabah”.

Kali terakhir urusan persempadanan ini dibuat pada tahun 2003 iaitu 15 tahun dahulu.

Perlembagaan Malaysia membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minima setiap 8 tahun sekali atau sekiranya berlaku pewujudan wilayah baru, atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

Apa itu Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya?

Urusan Kajian Semula Persempadanan merupakan suatu kajian dan semakan untuk melihat semula kesesuaian sempadan-sempadan Bahagian Pilihan Raya sedia ada bagi memudahkan urusan pentadbiran pilihan raya dan pendaftaran pemilih pada masa akan datang.

4Ketika zaman BN memerintah dengan mandat majoriti 2/3 dahulu, urusan persempadanan ini tidaklah susah kerana kerajaan dengan mudah dapat menambah bilangan kerusi Parlimen sekaligus meminda Perlembagaan.

Sejarah menunjukkan, urusan persempadanan sudah dibuat sebanyak 5 kali bagi Semenanjung (Tanah Melayu) iaitu pada tahun 1958, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Bagi Negeri Sabah, urusan persempadanannya hampir sama dengan Semenanjung iaitu pada tahun 1966, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Bagi Negeri Sarawak pula urusan persempadanan sudah enam kali iaitu pada tahun 1968, 1977, 1987, 1996, 2005 dan 2015.

Jumlah kerusi Parlimen Tanah Melayu pada asasnya ialah 104 kerusi pada tahun 1958 dan ia bertambah menjadi 154 kerusi pada tahun 1974 apabila dicampur dengan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

Kerusi Parlimen terus bertambah menjadi 180 kerusi pada persempadanan tahun 1984, 193 kerusi pada tahun 1994 dan 222 kerusi pada tahun 2003.

Ketika di penghujung era pentadbiran Tun Mahathir dahulu, persempadanan kali terakhir dibuat pada tahun 2003. Ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 08 April 2003 dan RUU Pindaan Perlembagaan diluluskan pada 24 Jun 2003.

Dalam keadaan negeri lain mendapat pertambahan bilangan kerusi Parlimen, terdapat 4 negeri yang dikategori sebagai “Malay-Belt States” yang telah dinafikan hak untuk mendapat kerusi yang baru.

Empat negeri tersebut merupakan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Apabila hari ini Tun Mahathir bising mengenai sikap berat-sebelah SPR, ia sebenarnya makin menzahirkan betapa hipokritnya Tun M.

Bukankah ketika dia menjadi PM dahulu, SPR diperguna untuk melakar sempadan bagi menguntungkan UMNO-BN agar terus kekal berkuasa?

Mengapa negeri Melayu seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang sering dianggap sebagai tempat suburnya kekuatan PAS dinafikan hak untuk mendapat pertambahan kerusi Parlimen?

Tidaklah dapat dinafikan lagi bahawa Persempadanan Bahagian Pilihan Raya kebiasaannya menjadi senjata talian hayat bagi BN untuk terus kekal berkuasa.

Namun, adakalanya senjata boleh juga makan tuan.

UMNO-BN kini amat bergantung harap kepada kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu-Islam untuk kekal berkuasa, ia kontra kepada keadaan yang berlaku pada PRU ke 10 tahun 1999 yang mana masyarakat bukan Melayu teguh menyokong BN ketika era Reformasi itu.

Bagi Urusan Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya yang terkini, tidak ada penambahan kerusi Parlimen yang baru, hanya sedikit perubahan nama Parlimen yang akan berlaku.

Semenjak PRU ke 12 tahun 2008, Kerajaan BN memerintah tanpa mandat majoriti 2/3 maka bilangan kerusi Parlimen tidaklah dapat ditambah kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan dipinda.

Persempadanan terbaru hanya melakar semula kedudukan sempadan antara kerusi.

Tatacara bagi melaksanakan urusan persempadan ini ada terkandung dalam Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Urusan persempadanan ini sudah hampir selesai kerana hanya Negeri Selangor sahaja yang masih dalam peringkat Syor Kedua manakala kesemua negeri lain sudah lengkap prosesnya.

Setelah lengkap, SPR akan menyerahkan Laporan Akhir kepada Perdana Menteri.

Kemudian, PM akan mengemukakan Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri kepada Dewan Rakyat.

Ia akan dibahaskan dan perlu diluluskan dengan undian simple majority (lebih daripada separuh) Ahli Dewan Rakyat.

Setelah diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara, PM akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda.

Sempadan Bahagian Pilihan Raya yang baru akan berkuatkuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuatkuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Parlimen Penggal Keenam akan bersidang bermula 5 Mac 2018 sehingga 5 April 2018. Kita boleh menjangkakan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja urusan persempadanan diluluskan di Dewan Rakyat atau setelah sidang tamat pada 5 April nanti.

Untuk rekod, Parlimen pernah dibubarkan oleh Tun Mahathir pada 10 November 1999 ketika Dewan masih lagi bersidang bajet. – HARAKAHDAILY 16/1/2018

Penulis ialah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS.

- Advertisement -