Mahfuz: Tak perlu ‘bajet’ bagus, fikrah pun tak jelas

- Advertisement -
MEMBACA kenyataan-kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena merangkap bekas Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru keluar dari PAS pada 31 Disember 2017 lalu, Datuk Mahfuz Omar, yang tersiar di dalam media sejak kebelakangan ini, nampak semacam beliau sedang berusaha kuat memprojeksikan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang baik, di dalam erti kata tidak menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau.
 
Memang Datuk Mahfuz tidak patut terasa hati dengan kata-kata ibarat seperti “orang yang sudah lama mati cuma baru nak tanam” atau “harumanis bila dah busuk dia jatuh sendiri”, apatah lagi untuk menjawabnya. Kerana ia hanyalah kata-kata ibarat yang kebetulannya pula sangat sesuai dengan diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri terhadap lawan-lawan politik beliau mahupun kepada PAS selama ini.
 
Saya sendiri kerapkali bersikap kritikal terhadap Datuk Mahfuz sejak beliau masih menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat lagi kerana, pada hemat saya, pembawaan beliau yang suka menggunakan bahasa yang kasar ke atas lawan-lawan politik beliau, sama ada di dalam ucapan lisan mahupun di dalam kenyataan bertulis beliau, selain daripada banyaknya insiden keterbabasan dari segi fakta, tidak sesuai dengan imej PAS sebagai sebuah parti politik Islam.
 
Antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai pembawaan Datuk Mahfuz ini ialah kenyataan beliau yang dilaporkan oleh KiniTV pada 29 Julai 2014 yang, sewaktu mengulas penstrukturan semula kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak, mengkritik keras kabinet Najib itu dengan menggunakan bahasa kasar, tanpa hujah ilmiah, dengan menyifatkannya sebagai “kabinet yang hanya layak menjaga tandas awam”.
 
Tidak cukup dengan itu, sewaktu beliau masih menjadi ahli PAS sekalipun, beliau kerapkali menggunakan bahasa kasar yang tidak selayaknya digunakan oleh seorang ahli parti terhadap parti yang dianggotainya, dengan umpamanya menyebut, pada 25 Disember 2016, PAS sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai kerana kononnya mengamalkan “strategi yang cuba ‘makan keliling’” dan “budaya politik tak tentu hala”.
 
Lebih jauh daripada ini, Datuk Mahfuz juga bagi saya tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas, di mana antara contoh yang segera muncul dalam fikiran saya mengenai perkara ini ialah tindakan Datuk Mahfuz mengeluarkan kenyataan atas nama Ketua Penerangan PAS Pusat pada 10 Disember 2014 yang menyokong surat terbuka Kumpulan G25 sedangkan surat terbuka ini menyeru penilaian semula Undang-undang Jenayah Syariah di Malaysia.
 
Bahawa Datuk Mahfuz tidak mempunyai fikrah perjuangan yang jelas juga tergambar di dalam satu ucapan beliau di Kuala Kedah pada 30 April 2017 lalu yang mewajarkan kerjasama antara PAS dengan parti-parti yang pernah mengkhianati PAS selama ini asal sahaja“kerjasama dengan pengkhianat itu boleh menjamin kemenangan kepada PAS”, di mana ucapan ini melayakkan beliau untuk dinobatkan sebagai Machiavelli baru Malaysia.
 
Tahap dan fikrah perjuangan Datuk Mahfuz terkini, seperti tercatat dalam page beliau pada 10 Januari lalu, hanyalah: “KEDAH TEMPAH SEJARAH ALMARHUM SULTAN ABDUL HALIM 2 KALI MENJADI YANG DIPERTUAN AGONG DAN TUN MAHATHIR AKAN BAKAL 2 KALI MENJADI PERDANA MENTERI. Syabas dan tahniah orang Kedah. Saya bangga jadi anak Kedah kerana Umno bakal dihumban oleh gabungan bekas Presiden dan 2 Timbalan Presiden Umno bersama rakan-rakan pembangkang yang lain”.
 
Sebab itulah, pada hemat saya, Datuk Mahfuz berlagak baik ini sebenarnya bukan sangat kerana beliau tidak mahu menjawab kata-kata ibarat yang diberikan kepada beliau, tetapi kerana beliau sebenarnya tidak mampu untuk menjawabnya kerana kata-kata ibarat ini memang sangat tepat mengena diri beliau ekoran keperibadian beliau dan lebih-lebih lagi perlakuan beliau sendiri selama ini sehingga menyebabkan ia tidak boleh dijawab. – HARAKAHDAILY 15/1/2018
- Advertisement -