Isu lapuk masih jadi pujaan hati Umno

- Advertisement -

FITNAH kembali digerakkan oleh Umno. Kerana mahu menang PRU, maka mereka sanggup menggali semula fitnah lama. Ulangan yang dikatakan konon sebagai siri penganiayaan PAS yang kini kembali ke udara oleh setiap lapisan ahli Umno, tidak terkecuali Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. Seharusnya isu fitnah lapuk ini diserahkan kepada gurka-gurka pejuang siber Umno sahaja, tetapi mengejutkan saya kerana MB seperti kehabisan modal, terpaksa turun ke aras paling bawah, bergelumang fitnah bersama-sama askar Umno.

- Advertisement -

Sangat hairan kerana MB dilihat seperti tidak mengetahui bahawa tiada seorangpun pegawai dari kerajaan negeri pimpinan PAS ketika pelajar-pelajar tadika itu dihalau.

Bagaimanakah mereka boleh masuk membawa keluar kerusi atau apa-apa alatan dalam balai raya sedangkan dakwa mereka tadika dikunci? Dari manakah datangnya kerusi itu?

Dan Umno juga harus menyaman dakwaan Pengerusi Bersatu, Dato’ Razali Idris yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Marang ketika kejadian, bahawa dialah yang menjadi ‘master mind’ lakonan itu. Cerita Dato’ Razali, Umno merancang membeli kunci dan rantai, merantai pintu pagar balai raya dan menyebarkan gambar kepada umum bagi memfitnah PAS sebagai kerajaan yang zalim, membalas dendam, sehinggakan pelajar tadika juga menjadi mangsa mainan politik PAS. Maaf Dato’ Seri MB, fitnah Dato’ tidak terjual kali ini.

Berkaitan anak exco PAS menerima wang zakat juga adalah fitnah kepada agama. Fitnah dari kejahilan Umno yang tidak tahu hukum. Fahaman Umno, zakat dikira sebagai hak kepada orang miskin sahaja. Malang bagi orang Islam jika diberikan agama untuk mereka pegang kerana apa sahaja kehendak mereka, agama akan diubahsuai supaya kena dengan hasrat mereka.

Sedangkan zakat itu ada lapan golongan yang layak, tidak tertakluk kepada orang miskin sahaja, malah orang kaya seperti yang baru masuk Islam, orang kaya yang terputus bekalan mereka di tengah perjalanan, orang kaya yang sedang berjuang fi sabilillah, adalah antara yang termasuk di dalam lapan asnaf yang dibenarkan Allah. Tetapi apa cerita berkenaan anak Exco yang mendapat biasiswa pendidikan suatu ketika dahulu? Kenapa didiamkan? Bukankah exco ada banyak duit dan duit biasiswa itu duit rakyat?

Saya tidak dapat memastikan tuduhan berkenaan kerajaan negeri pimpinan PAS ketika 1999-2004 telah membatalkan bantuan yang diterima kepada orang Umno ini satu lawak ataupun sememangnya kejahilan MB dalam memahami isu. Saya merasa kasihan kepada beliau kerana mungkin beliau terlalu terdesak untuk mendapatkan kembali kerusi MB ataupun beliau terlalui naïf sehinggakan dipermain-mainkan oleh pegawai beliau dalam isu ini.

PAS telah mengadakan senarai pemutihan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak sedikit jumlah penerimanya adalah mereka yang sudah tidak layak, tetapi masih disenaraikan. Mungkin mereka itu ahli-ahli Umno seperti dakwaan MB? MB terlupa untuk memasukkan sedikit maklumat yang sangat penting iaitu masih terlalu ramai ketika itu penerima yang layak tetapi diketepikan semata-mata mereka adalah penyokong PAS. Tidak perlu kita mengimbau kembali ke tahun 1999 itu kerana sehingga sekarang, amalan itu masih berlaku terutamanya elaun imam dan bilal yang dianggap penyokong PAS, masih disekat.

Saya rasa cukuplah sekadar tulisan ringan ini bagi memudahkan rakyat faham dan hadam apa isu sebenarnya. Saya cukup hairan kerana pada zaman serba canggih ini, isu-isu lapuk ini masih menjadi pujaan hati Umno, bukan ahli biasa-biasa, sampai ke tahap MB pun sama. Saya mengambil kesempatan ini bagi rakyat Terengganu sama-sama melihat ke hadapan daripada melayan karenah golongan yang bakal jatuh insyaAllah pada PRU ini. Harapan tidak boleh diharap dengan menjanjikan Tun Mahathir sebagai PM setelah bertahun-tahun kerosakan sistem negara yang beliau lakukan. Umno pula sedang galak membaham segala benda. Hanya PAS insya Allah kekal dengan Islam yang menyelamatkan manusia. Undilah PAS demi kesejahteraan anak cucu kita.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Rabiulakhir 1439/14 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 14/1/2018

- Advertisement -