Tangani segera masalah nelayan Pantai Teluk Bahang

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah yang dihadapi oleh nelayan-nelayan pantai Teluk Bahang ketika ini.

- Advertisement -

Dalam tinjauan yang dibuat selepas menerima aduan dari nelayan terbabit, SAM mendapati keadaan pencemaran sisa konkrit yang berlaku di kawasan pantai dan laut di sini begitu teruk serta membahayakan keselamatan nelayan. Ketulan batu dan cerucuk yang terdapat di kawasan ini boleh mendatangkan kecederaan bukan sahaja kepada nelayan tetapi juga orang awam yang berkunjung ke tempat tersebut.

Longgokan sisa buangan ini di tepi pantai turut menyebabkan perahu dan bot nelayan terdedah kepada ombak kuat dan menjejaskannya ketika berlabuh di kawasan tersebut. Pada 22 Disember 2017 lalu SAM telah menghantar surat kepada pihak kerajaan, jabatan serta agensi yang berkenaan mengenai isu ini tetapi sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Antara pihak kerajaan persekutuan dan negeri yang terlibat yang dihubungi SAM ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Exco Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow dan Biro Pengaduan Awam.

SAM kesal walau pun masalah ini sudah berlarutan sejak lebih 7 tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan tegas yang diambil ke atas pihak yang mencetuskan masalah tersebut. SAM bimbang jika keadaan ini dibiarkan bukan sahaja alam sekitar kawasan berkenaan akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang malah perkara yang tidak diingini yang melibatkan keselamatan nelayan tempatan juga mungkin berlaku.

Justeru itu SAM berharap pihak kerajaan menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang didapati melanggar akta serta peraturan-peraturan yang terkandung dibawahnya demi menyelesaikan masalah ini.

SAM, JARING dan nelayan-nelayan pantai yang terlibat akan terus menyuarakan bantahan dan melancarkan kempen tandatangan jika masalah ini masih berlaku dan gagal diatasi oleh pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/1/2018

- Advertisement -