Botol plastik punca kanser?

- Advertisement -

SEKURANG-kurangnya terdapat dua sebaran maya yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan botol/bekas plastik kerana menjadi punca kepada kanser. Amaran pertama adalah larangan dari menggunakan bekas plastik ketika menyediakan juadah minuman dan makanan. Begitu juga larangan memasukkan botol plastik dalam mikrowave kerana ia mengundang 52 jenis kanser. Sebaran kedua mengenai amaran dari seorang selebriti TV, Sheryl Crow yang kononnya pengidap kanser payudara supaya masyarakat tidak menggunakan botol plastik semasa meminum air, terutama sekali botol plastik air mineral yang terdedah atas dashboard kereta.

- Advertisement -

dr suhazeliSaya terus membuat sedikit selidikan mengenai perkara tersebut. Saya menemui kenyataan dalam laman Youtube.com dari Sheryl Crow. Beliau telah membuat penafian sejak 2009 lagi. Malah selebriti Sheryl Crow berkenaan tidak pun menghidap kanser payudara akibat dari meminum air dari botol plastik.[1] Sebaran maya yang tidak bertanggungjawab itu cuba mengaitkan penggunaan botol plastik kitar semula mengandungi dioxin. Dioxin adalah salah satu bahan kimia yang dilepaskan dari botol plastik apabila mengalami perubahan suhu ektrem sama ada terlalu panas atau sejuk, dan ia dikaitkan sebagai agen pencetus kanser (carcinogenic).

Selain tokoh selebriti, terdapat juga sebaran maya yang cuba memalitkan universiti tersohor seperti Johns Hopkin yang kononnya mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kanser dan penyebabnya. Penafian juga dibuat oleh Johns Hopkin.[2] Banyak lagi sebaran berita palsu lain yang disebarkan tanpa sebarang objektif dari para penyebar maklumat.

Dalam isu yang sama, laman web rasmi cancerresearchuk.org juga mengeluarkan kenyataan penafian.[3] Mereka menyatakan, terdapat kajian bahawa sejumlah kecil bahan kimia akan terperangkap dalam botol air minuman semasa proses pengilangan. Tetapi jumlahnya terlalu rendah. Kajian pengesahan telah dilakukan, botol plastik dipanaskan pada suhu 60⁰C (140⁰F) beberapa jam, paras bahan kimia yang terlepas ke dalam air dari dinding botol amat rendah dan selamat digunakan.

Botol plastik yang dijual biasanya dibuat dari plastik bernama polyethylene terephthalate (PET atau PETE). Ia senang digunakan kerana ringan, senang buang, boleh kitar semula walau digunakan berkali-kali.

Dua bahan yang kononnya dilepaskan dari PET ini jika berada dalam suhu sejuk; iaitu dioxin dan DEHA (diethylhydroxylamine). Namun dakwaan mengatakan DEHA ini dilepaskan dari PET adalah tidak benar, kerana DEHA tidak terlibat pun dalam campuran proses pembuatan botol plastik. Pun begitu pada Jun 2003, Makmal Pusat Swiss telah mengesahkan dalam kajian mereka bahawa DEHA tidak dijumpai dalam mana-mana botol plastik yang dikitar semula. Dengan itu WHO juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa kandungan DEHA (jika wujud pun) adalah terlalu kecil dan selamat diguanakan botol plastik.[4] Isu ini juga disokong oleh Persatuan Kanser Amerika dan International Agency for Research on Cancer (IARC). Mereka menegaskan sekali lagi lagi bahawa DEHA bukan agen kanser.

Bagi dioxin pula, Majlis Kimia Amerika mengesahkan tiada kajian yang mengaitkan dioxin dalam botol plastik penyebab kanser. Malahan, dakwaan dioxin sebagai agen kanser juga tiada asas saintifik. Ini kerana dioxin adalah satu bahan kimia yang hanya terurai dalam suhu yang terlalu ekstrem melebihi 700⁰F (371.1⁰C). Terlalu amat sukar keadaan suhu yang ektrem itu berlaku dalam sinaran panas dalam kereta.[4] Sudah tentu kereta itu sendiri sudah terbakar dan meletup.

Sekian ulasan ringkas petang Rabu dari suhazeli.com
fb.com/drsuhazeli
10.1.2018
Kuala Berang

Pautan:
[1] Penafian berkaitan Sheryl Crow hidap kanser. https://www.youtube.com/watch?v=YHKeRjoKMBI
[2] Penafian dari Johns Hopkin. http://www.hopkinsmedicine.org/kimmel_cancer_center/news_events/featured/cancer_update_email_it_is_a_hoax.html
[3] Kenyataan dari Cancerresearchuk. http://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer/cancer-controversies/plastic-bottles-and-cling-film
[4] Isu botol plastik yang dikitar semula. http://www.snopes.com/medical/toxins/plasticbottles.asp

- Advertisement -