Peranan parti dan diri di medan siyasah

- Advertisement -
KATA Saidina Uthman Ibn Affan R.A:
 
إن الله يزع بالسلطان
ما لا يزع بالقرآن
“Allah Taala mengizinkan sesuatu tindakan dibuat oleh pemerintah dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran.”
 
Menegakkan kerajaan al-Quran
 
Terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah meletakkan kita dalam kumpulan Islam, yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang ditubuhkan oleh ulama kita pada tahun 1951 setelah diharamkan Hizbul Muslimin, diharamkan Sarekat Islam, diharamkan kumpulan Islam oleh penjajah, sama ada Inggeris di Malaysia ataupun Belanda di Indonesia. 
 
Ramai kalangan kita orang Islam yang tidak tahu bahawa ulama dan pemimpin yang menubuhkan kumpulan Islam ini ialah untuk menghidupkan suatu kewajipan yang besar di dalam agama Islam. Kewajipan mengadakan kerajaan yang memerintah dengan Al-Quranul Karim yang diajar oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. 
 
Kerana Nabi kita Muhammad S.A.W yang berjuang dalam masa 23 tahun, bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, zakat, haji, mengucap, berzikir, bertasbih. Mengajar semua perkara daripada halal dan haram makan minum, membersihkan diri, kencing berak kita, sehinggalah nikah kahwin, bercerai, berbaik semula, muamalat, berjual beli, buka tanah, sampai kepada memerintah negara, mendirikan kerajaan.
 
Oleh kerana mendirikan kerajaan ini terpaksa berlawan dengan pihak yang berkuasa, yang memerintah di zaman Nabi dan bila-bila masa sahaja yang tidak mahu kepada Al-Quranul Karim, menyebabkan kerja ini sangat payah. Bukan sahaja payah nak ikut, payah nak faham. 
 
Padahal Nabi kita Muhammad S.A.W telah berhijrah daripada Makkah ke Madinah. Nabi pergi ke Madinah bukan kerana nak pergi ke laut, Nabi nak tanam kelapa sawit, nak tanam getah, nak berniaga. Pergi ke Madinah kerana nak mendirikan kerajaan Islam.
 
Di sana ada orang Islam, ada orang kafir, orang kafir pun ada, orang Yahudi, orang Musyrikin Arab, Kristian, semuanya ada. Ada di antara mereka yang terima kerajaan Islam, ada di antara mereka yang menolak sehingga berperang dengan Nabi kita Muhammad S.A.W, akhirnya mencapai kemenangan. 
 
Dan Allah Taala menurunkan Quran sebanyak 30 juzuk yang sangat tebal kita baca sendiri. Dalam Quran ini semuanya ada, termasuklah undang-undang negara, undang-undang antarabangsa, ekonomi, politik, semua ada dalam Quran. Dan Nabi kita telah menyempurnakan ajaran Allah. Allah Taala menyempurnakan agama Islam.
 
Islam memerintah 1300 tahun
 
Lalu Allah mematikan Nabi kita Muhammad S.A.W, diwafatkan. Bila Nabi wafat, Nabi tidak menentukan siapa ganti dia. Maka para Sahabat R.A bermesyuarat. Sebaik sahaja lepas sembahyang jenazah Nabi, terus pergi mesyuarat. Hanya beberapa orang sahaja yang pergi ke kubur, Saidina Ali anak beranak, beberapa orang sahaja yang berada di kubur.
 
Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Uthman, Abu Ubaidah, Sahabat-sahabat yang besar tak ada di kubur, kerana apa? Mesyuarat! Mesyuarat untuk pilih siapa yang ganti Nabi untuk memerintah negara. 
 
Ada tiga calon. Orang Madinah mencalonkan Sa’ad bin Ubadah. Anak beranak Nabi mencalonkan Saidina Ali K.W. Kalangan Quraisy Muhajirin mencalonkan Saidina Abu Bakar R.A.
 
Oleh kerana Nabi bersabda:
 
الأئمة من قريش
“Pemimpin daripada Quraisy.”
 
Disebut hadis ini. Sahabat Nabi bila sebut Hadis, terima hadis. Quraisy ialah kaum yang ramai, yang paling ramai sekali, walaupun ada Ansar, ada macam-macam puak, Quraisy adalah paling ramai sekali, maka dipilih daripada Quraisy, Abu Bakar R.A. 
 
Islam memerintah selama 1300 tahun, 1300 tahun. Memerintah negara daripada atas Barat Afrika, sampai Sepanyol. Sampai Moscow di Rusia hari ini, dekat Xinjiang, sempadan China, termasuklah Tanah Melayu ke Indonesia, di bawah jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah, Kerajaan Islam yang paling akhir. Kerajaan Uthmaniyyah ini orang Turki. Pusatnya di Istanbul. 
 
Musuh cari jalan jatuhkan Islam
 
Musuh-musuh Islam daripada Yahudi, daripada Kristian, daripada Musyrikin, terus-menerus menyerang Islam, bukan sahaja menyerang dengan cakap, termasuklah menyerang dengan bala tentera. Mereka mencari jalan bagaimana nak menjatuhkan Islam. 
 
Barangkali kita belajar di sekolah, Marco Polo, Vasco Da Gama, macam-macam nama ini, mereka ini adalah pengembara-pengembara Barat yang menjajah dunia sehingga mereka menemui barisan belakang dunia Islam, iaitulah Alam Melayu, mereka tidak boleh menjatuhkan Turki. Mereka takluk negeri yang jauh-jauh dulu. 
 
Tahun 1511, Portugis berjaya menakluk Melaka. Jatuh Melaka, masa itu kapal terbang tak ada, telefon tak ada, wireless tak ada, Melaka kecil sahaja. Selepas Melaka ditakluk, mari Belanda, mari Belanda, mari Inggeris, mereka menakluk Alam Melayu, mereka menakluk negeri-negeri di Afrika sampai ke India. 
 
Dan ulama-ulama kita berjuang menentang penjajah bersama dengan Sultan. Ada Sultan yang berjuang menentang penjajah, antaranya ialah Tuan Ali Haji daripada Sulawesi, Diponegoro, Sultan Diponegoro daripada Jogja Indonesia, Sultan Abdul Samad Selangor, Sultan Zainal Abidin, ini antara Sultan yang menentang penjajah, yang melawan penjajah. 
 
Sehingga mereka berusaha untuk mengambil balik Melaka, ambil balik Melaka. Maka marilah orang-orang Jawa naik di Johor, orang Bugis daripada Sulawesi, orang Banjar daripada Kalimantan, orang Minangkabau daripada Sumatera, orang Aceh mari ke Tanah Melayu berjuang menentang penjajah. 
 
Sampai hari ini ada keturunan Jawa, keturunan Bugis, keturunan Banjar, di Johor ada, Negeri Sembilan ada, di Perak ada, Aceh banyak di Kedah. Mereka mari di sini bukan nak tanam getah, tanah tempat dia luas, bukan nak tanam nyior, nak ke laut ikan banyak tempat dia. Mereka mari kerana berjuang menentang penjajah. Ini tidak diajar di sekolah, tak ada dalam buku sekolah, tak diajar, kita tak tahu cerita ini.
 
Sehingga Sultan Aceh menghantar kapal pergi ke Turki di Istanbul, dibawa rempah untuk nak hadiah kepada Khalifah Uthmaniyah di Turki. Oleh kerana perjalanan dengan kapal layar jauh, habis pitih, jual rempah tengah jalan, tinggal seraut tangan je, seraut tangan tinggal rempah. Ini cerita, sehingga dibawa rempah seraut sembah ke Sultan Uthmaniyyah, sebagai hadiah. 
 
Turki menghantar kapal mari ke Aceh, hantar kapal perang, Turki ini kuat mari ke Aceh. Masa itu kapal layar lah, dia menghantar pakar-pakar untuk membuat bedil, meriam ke Aceh, sampai hari ini ada keturunan Turki di Aceh. 
 
Tetapi Turki pun kena serang, kena serang Rusia, kena serang itu. Oleh kerana perjalanan masa itu jauh, orang Islam terlalu ramai, akhirnya 100 tahun yang lalu, mereka telah berjaya, ringkas ceritanya menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah. 
 
Jatuh Kerajaan Uthmaniyyah ini melalui tipu daya, hasutan, dihasut Arab, biar orang Arablah jadi khalifah pula, jangan orang Turki, orang Arab layak jadi khalifah. 
 
Lawrence, Lawrence ini ialah salah seorang pegawai tinggi intelligent British membantu Ibnu Su’ud yang duduk di Najd, di Timur Arab Saudi hari ini, dan McMahon Gabenor British di Mesir membantu Syarif Husain Raja Makkah, Raja Makkah. Dicadangkan Raja Makkah ini jadi khalifah, suka nak jadi khalifah ini, Orang Putih sokong. 
 
Maka, Ibnu Su’ud menyerang Riyadh, ditubuhkan Kerajaan Saudi. Ketua-ketua Kabilah menyokong untuk menentang Turki. Syarif Husain mengisytiharkan perang ini di Makkah, start di Makkah. Dengan Makkah ini orang Islam naik semangatlah nak jatuhkan Turki, Orang Putih bagi senjata. Maka jatuhlah Turki. 
 
Lepas Turki jatuh, habis negeri Islam dijajah oleh penjajah, ditakluk, tidak ada lagi Kerajaan Islam. Dan ulama-ulama kita seluruh dunia bangkit untuk balik semula menubuhkan kumpulan Islam ini. 
 
Lalu ditubuhkan pertubuhan Islam di Pulau Penyengat Riau, kemudian Sarekat Islam di Indonesia, Haji Abdul Rahman Limbong tubuh cawangan dia di Terengganu ini, diharamkan oleh British. Hizbul Muslimin diharamkan oleh British, sehingga tahun 1951 ditubuhkan PAS.
 
Oleh kerana Allah Taala jadikan tidak ada kerajaan yang kekal dalam dunia, kerajaan akan jatuh, tak kekal. Kerajaan Islam pun jatuh, kerajaan Firaun pun jatuh, Namrud pun jatuh, kerajaan Nabi Sulaiman pun tak selama-lama. Allah Taala jatuhkan kerajaan dengan berlakunya peperangan, perang dunia yang kedua antara Jepun, Jerman, Itali menentang British, Amerika, Perancis, Negeri-Negeri Eropah.
 
Oleh kerana Jepun dengan Jerman kuat, British Amerika puak-puak ini menggunakan anak-anak negeri, menggunakan anak-anak negeri jadi askar untuk lawan Jepun, untuk lawan Jerman, orang Arab lawan Jerman, lawan Jerman. Kita ini lawan Jepun, banyak jadi askar Melayu. Orang Putih puji kita, melelehlah orang Melayu ini berani sangat, dia duduk di belakang, kita duduk depan. Dia rebus kita macam ubi berlawan dengan Jepun, ramai mati ramai.
 
Orang Arab berlawan dengan Jerman, sehingga mereka yang mati dalam perang dunia itu banyak orang Islam, Orang Putih tak ramai mati, berlawan dengan Jepun. Orang Putih tukang sorak je, dia duduk di belakang, kena tipu dia. 
 
Melantik kerajaan adalah ujian
 
Mereka telah menjanjikan untuk memberi kemerdekaan selepas menang. Maka diberi kemerdekaan. Tetapi kemerdekaan itu, negaranya bukan negara Islam, negara mengikut cara mereka, diberi merdeka, Indonesia merdeka, kita merdeka, semuanya merdeka.
 
Pemerintahannya ialah mengikut cara yang Orang Putih tinggal, tak boleh cara Islam. Tetapi mereka membenarkan cara demokrasi, cara pilihan raya untuk pilih kerajaan. Maka ulama kita menubuhkan PAS. PAS ditubuhkan untuk masuk pilihan raya, untuk membolehkan kita mendirikan kerajaan. 
 
Walaupun di Malaysia ini orang Islam 60 peratus, Cina 25 peratus je, India dengan macam-macam hat baki, orang Islam 60 peratus. Tapi pilihan raya kalah, kalah Islam. Pasal apa? Banyak orang Islam jahil, tak tahu bahawa memerintah negeri cara Islam ini wajib.
 
Banyak orang kita ini masih lagi duduk ingat jadi Islam ini sembahyang dah, puasa dah, pitih banyak, pergi haji umrah acap-acap kali, siapa dia memerintah serupa dia je. Bahkan banyak kalangan kita pilihan raya ini tak penting mana, pilihan raya tak mustahak, pilihan raya tak usah caralah. Kita buat pilihan raya, orang lain naik. Orang lain itu siapa dia naik? Orang yang memerintah tidak dengan cara Islam. 
 
Naik dengan cara pilihan raya, naik dengan cara pilihan raya. Bila kita tak terlibat dalam pilihan raya menyebabkan orang lain naik, hukum Islam tak berjalan, dosa tak? Mereka yang terlibat itu berdosalah, yang tak terlibat itu tak berdosa. Allah Taala tak tanya mengapa kita tak menang? Allah Taala tanya kita buat kerja ke tak? Allah Taala jadikan kerja Islam ini kerja yang payah.
 
Nabi Nuh A.S sampai 950 tahun baru menang. Nabi Musa A.S puluh-puluh tahun baru menang. Pasal apa Allah Taala buat begitu sedangkan Allah Taala Maha Berkuasa? Allah Taala:
 
كُنْ فَيَكُونُ
 
Tuhan kata “Jadi!”, (maka) jadi selalu. Pasal apa Tuhan tak buat begitu? Sebab Tuhan letak manusia di atas muka bumi ini, Tuhan letak sementara, Tuhan nak uji manusia di atas muka bumi. Kehidupan yang sebenar selama-lama di hari akhirat. Allah Taala uji bukan sahaja sembahyang, bukan sahaja puasa, bukan sahaja haji, zakat, termasuklah uji melantik kerajaan yang memerintah, Allah Taala uji.
 
Dengan sebab itu pada hari kiamat, Tuhan panggil manusia bukan sahaja dengan sembahyang, bukan sahaja dengan puasa, bukan sahaja dengan haji. Tuhan panggil dengan ketua yang dipilih dia ikut di atas dunia ini. 
 
 
 إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
“Wahai tuhan kami, atas dunia dulu, kami ikut pemimpin-pemimpin kami, mereka lah yang telah menyesatkan kami.”
(al-Ahzab: 67)
 
Menunjukkan ini semua akan dibawa pada hari akhirat.
 
Pentingnya mengundi
 
Apa yang membimbangkan kita, 60 peratus orang Islam di negeri kita ini, 40 peratus adalah orang muda, adalah orang muda. Sebahagiannya muslimat. Mereka merasakan tak penting, tak mahu mengundi, lak begitu sahaja. Hidup dalam leka, sedangkan orang bukan Islam mengundi, orang Cina kerja balak di Sarawak balik mengundi di Perak, balik mengundi orang Cina, dia 20 peratus je. Dia duduk dalam hutan, balik mengundi. Kita tak penting mengundi ini, lak begitu. Akhirnya kita tak mengundi, dia mengundi, dia pilih kerajaan. 
 
Maka jadilah apa yang kita rasa pada hari ini, harga barang naik, cukai naik, macam-macam, sedangkan Tuhan beri hasil negeri kita banyak, mengapa jadi begini? Sebab urus tak kena, tadbir tak kena, banyak orang tak ada kerja, tadbir tak kena. Sedangkan Tuhan jadikan manusia ini makin ramai makin nak kepada makanan banyak, rumah banyak, kerja banyak.
 
Bila kerja banyak, hasilnya banyak. Ini tak, manusia banyak, jadi kerja tak banyak, jadi begitu. Barang tak banyak menyebabkan naikkan harga barang. Ini kerana urus tadbir tak ikut cara Islam yang kita kena sedar dan kita kena faham.
 
Perubahan orang Islam-Melayu
 
Alhamdulillah, pada mula-mula tahun 50-an dulu, masa PAS mula-mula berjuang, banyak kalangan orang Melayu ini, duduk kata kalau memerintah Islam ini huru-hara, memerintah Islam ini hukum Hudud banyak orang kena kerat tangan, banyak orang kena rejam, tak cukup batu nak rejam orang, duduk kira itu je. 
 
Memanglah hukum Islam ada hat itu, tapi banyak lagi hukum-hukum Islam hat yang lain. Hukum-hukum itu nak menakutkan orang yang buat jahat, nak takutkan orang mencuri, nak jatuh hukum payah, tapi orang yang mencuri takut. Nak jatuh hukum kena saksinya, kena banyak keterangan dia, tapi menyebabkan orang gerun, ini undang-undang Islam. 
 
Puluh tahun nak bertemu kena kerat tangan payah, kerana nak jatuh hukum payah, tapi menyebabkan orang gerun. Perompak pun takut, ini menyebabkan gerun. Hukum Islam kena sebat 100 kali, 100 kali itu macam sebat macam cikgu sekolah je, tapi undang-undang manusia ini 6 kali, sekali sebat nak mati. Dengar 100 itu orang gerun. 
 
Setelah kita menerangkan, menyebabkan peringkat awal dulu banyak orang Islam orang Melayu ini menghina hukum Islam. Dia tak tahu color, menghina hukum Islam ini jadi kafir, jadi murtad, tapi dah kerana dia jahil, jahil tak jadi kafir kerana dia jahil. Kebanyakannya jahil, tak tahu dengan sebab kejahilan. 
 
Kalau dia tahu, tak boleh. Banyak yang jahil tak tahu color. Bila kita menerangkan batas-batas iman dan kufur, walaupun orang kita kena tangkap, orang kita kena macam-macam, Ustaz Ibrahim Libya kena bunuh di Memali, kita sabar, kita terus menerangkan apa dia hukum Islam.
 
Hari ini orang Umno pun senyap, tak bercakap dah, tak hina dah hukum Islam. Bahkan bila kita nak bawa Undang-undang 355 di Parlimen, sebahagian besar orang Umno dia sudah sokong, sudah sokong, tinggal belas-belas orang je yang tidak sokong daripada 88 orang. Tetapi tak cukup, undi tak cukup lagi, ini yang berlakunya.
 
Menandakan sudah berubah, perubahan sudah berlaku. Dengan sebab itu, kita kena ramai lagi calon-calon kita yang menang ramai lagi. Bagi negeri Terengganu, kita memerintah dua kali 1959 sekali, 1999 sekali. (Tahun) 1959, kita menang dulu daripada Kelantan, Terengganu negeri yang pertama menang. Dua tahun setengah je jatuh. 1999 kita memerintah pula, bila kita memerintah, kita dulu undang-undang Islam, hapus cukai pintu, bagi tanah sampai 60 ribu lot bagi tanah, sehingga hasil kita bertambah naik, bertambah. Menyebabkan Kerajaan Pusat takut kerana Terengganu lebih kuat daripada Kelantan, urus tadbir kita.
 
Kelantan banyak gangguan sangat. Terengganu mudah. Bila mudah, dia guling kita tahun 2004, menyebabkan mereka guna pitih, rampas minyak, macam-macam, padahal menyalahi peraturan, menyalahi peraturan, dia buat. Terengganu kita boleh menang, boleh kerana kita pernah menang dan jumlah orang Islam sangat besar, cuma nak jaga tipu dia, itu sahajalah yang kita kena buat. 
 
Pahala perjuangan 700 ganda
 
Malam ini kita rasmikan markaz kita, markaz ini adalah pusat kegiatan kita salah satu daripada kerja jamaah, kerja jamaah yang kita beri sumbangan. Dan kita kena sedar bahawa kerja jamaah ini kerja perjuangan Islam ini pahala dia sangat besar. Kalau derma dekat orang, sedekah, derma ke masjid, 10 kali ganda, derma kepada perjuangan, 700 kali ganda. 
 
Jaga malam, berzikir, menangis, dalam masa 24 jam. Kita duduk sekejap je dalam perjuangan, berlipat kali ganda kelebihannya. Pasal apa jadi begitu? Sebabnya perjuangan Islam ini orang tak berapa nampak, payah orang nak mari. Dengan sebab itulah Tuhan jadikan kelebihannya lebih besar daripada ibadat-ibadat yang lain kerana Kerajaan Islam ini jadi payung kepada semua amal-amal Islam yang lain. 
 
 
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Presiden PAS sempena Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Rudhua, Marang, Terengganu pada 8 Januari 2018) – HARAKAHDAILY 9/1/2018
- Advertisement -