2018 dan masa depan umat Islam (Bah.4)

- Advertisement -
HEGEMONI DAJJAL
 
PERTEMBUNGAN antara Islam dan Yahudi akan berlanjutan sehinggalah tiba saat munculnya pemimpin yang ditunggu oleh kedua pihak. Orang Islam percaya turunnya al-Masih Isa bin Maryam sebagai pemimpin umat ini selain khalifah al-Mahdi. Yahudi pula percaya kemunculan pemimpin daripada bangsa mereka bergelar al-Masih Dajjal.
 
Cerita berkenaan Dajjal diberitakan oleh Nabi Muhammad S.A.W menerusi hadis-hadis yang begitu banyak sehingga mencapai darjat mutawatir (maknawi). Oleh itu sebagai Muslim, kita bukan sahaja perlu beriman dengan kemunculan Dajjal, bahkan perlu mengambil tahu mengenai Dajjal bagi mengelakkan diri terjerumus ke dalam fitnah yang dibawanya.
 
Zahir Dajjal
 
Dajjal merupakan kesinambungan daripada eskatologi peristiwa Malhamah yang disusun pada bahagian lepas. Tempoh antara berlakunya Malhamah dan munculnya Dajjal sangat dekat sebagaimana hadis Nabi S.A.W:
بين الملحمة وفتح المدينة ست سنين ويخرج المسيح الدجال في السابعة
“Tempoh diantara berlakunya Malhamah dan pembukaan kota (Constantinople) adalah enam tahun. Dajjal akan muncul pada tahun ke tujuh.”
[HR Abu Daud]
 
Sabda Rasulullah S.A.W menjelaskan tempat kemunculan Dajjal:
الدجال يخرج من أرض بالمشرق يقال لها: خراسان
“Dajjal bakal muncul di bumi sebelah Timur dipanggil Khurasan”
[HR Tirmizi & Ibnu Majah]
 
Khurasan merujuk kepada wilayah antara Afghanistan, Turkmenistan dan Iran. Dari segi geo-politik, negara ini adalah sasaran utama kuasa Barat. Mereka menimbulkan kekacauan dan berjaya campu rtangan dalam politik.
 
Afghanistan secara khusus menjadi medan perang utama bagi kuasa Barat dikepalai oleh Amerika selepas tragedi 11 September 2001 di Washington. Tindakan Amerika mendapat restu PBB. Badan antarabangsa itu turut membentuk International Security Assistance Force (ISAF) khusus bagi misi pencerobohan Afghanistan, melibatkan NATO dan negara-negara bersekutu lain.
 
Iran pula menghadapi saat-saat getir dalam pentadbiran mereka sejak revolusi 1979. Kebangkitan rakyat menentang kerajaan didokong oleh Amerika dan Saudi. Israel turut menggesa UK campurtangan dalam menyokong protes di Iran. Walaupun Kerajaan Iran meminta rakyat supaya bertenang, tetapi masih belum ada tanda-tanda keadaan itu bakal reda.
 
Oleh kerana Kerajaan Iran beraliran Syiah, maka misi Barat terhadap negara tersebut akan menjadi lebih mudah. Terlebih dahulu Amerika telah berjaya mencapai kata sepakat majoriti negara umat Islam menerusi Riyadh Summit 2017 untuk memerangi Iran yang dianggap sebagai pengganas. Sidang Liga Arab di Kaherah beberapa bulan selepas itu mengulang perkara sama. Dianggarkan negara-negara umat Islam bakal dilibatkan dalam misi ketenteraan menghadapi Iran sedikit masa lagi.
 
Dalam satu hadis yang lain, Nabi menyebutkan lokasi kemunculan Dajjal diantara Syria dan Iraq. Sabda Rasulullah S.A,W:
إنه خارج خلة بين الشام والعراق
“Dia (Dajjal) keluar diantara Syam dan Iraq.”
[HR Muslim]
 
Syam dan Iraq merupakan kawasan bergolak umat Islam. Di sana terdapat tentera yang bergelar ISIS\ISIL\IS. Mereka adalah ciptaan Amerika dan dibiayai oleh negara-negara proksi Amerika seperti Saudi, UAE dan Qatar. Dicop sebagai pengganas yang perlu dihapuskan, maka Amerika dan kuasa Barat mendapat lesen untuk menceroboh Iraq dan Syria atas nama memerangi keganasan.
 
Malangnya, kedatangan mereka hanya mengeruhkan lagi keadaan di sana. Umat Islam berbantaian sesama sendiri antara Sunni dan Syiah, antara Arab dan Kurdi, antara kerajaan dan rakyat, dan antara sesama kumpulan-kumpulan militan.
 
Perkembangan ini selari dengan hadis yang menyatakan bahawa Dajjal akan muncul disaat umat Islam berpecah belah. Sabda Rasulullah S.A.W:
إِنَّ الأَعْوَرَ الدَّجَّالَ مَسِيحَ الضَّلاَلَةِ يَخْرُجُ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ فِي زَمَانِ اخْتِلاَفٍ مِنَ النَّاسِ وَفُرْقَةٍ
“Sesungguhnya al-Masih Dajjal yang sesat akan keluar daripada arah timur, pada waktu perselisihan dan perbalahan berlaku.”
[HR Ibn Hibban]
 
Pengikut Dajjal
 
Dajjal merupakan pemimpin yang ditunggu oleh bangsa Yahudi yang mengenalinya sebagai The Messiah. Apabila Dajjal muncul, mereka lantas menjadi pengikutnya yang setia. Sabda Rasulullah S.A.W:
يتبع الدجال من يهود أصبهان سبعون ألفاً عليهم الطيالسة
“Dajjal bakal diikuti oleh Yahudi daripada Esfahan seramai 70000 orang. Mereka memakai ‘selendang’.”
[HR Muslim]
 
Esfahan merupakan lokasi yang terletak di tengah Iran. Ramai beranggapan bahawa ini menunjukkan Iran bakal menjadi pengikut kepada Dajjal. Hujah ini mengapikan lagi sentimen antara Sunni dan Syiah. Tetapi jika dikaji secara teliti, terdapat banyak andaian lain yang perlu diambil kira.
 
Walaupun keberadaan Yahudi di Esfahan bermula sebelum permulaan Empayar Parsi, tetapi dari masa ke semasa, jumlah Yahudi di sana semakin mengecil. Ketika penubuhan negara Israel, jumlah mereka masih sekitar 150,000 orang. Namun kemudian berhijrah keluar sedikit demi sedikit ke Israel, Amerika dan Eropah. Jumlah mereka menurun mendadak selepas Revolusi Iran 1979, menyebabkan kini tidak sampai 30,000 yang tinggal di seluruh Iran. Di Esfahan secara khusus, Yahudi kini tinggal sekitar 1500 orang sahaja.
 
Menurut Syeikh Imran Hosein pada tahun 2012, beliau berpendapat akan berlaku peperangan di Iran yang menyebabkan kerajaannya bertukar daripada anti-Israel kepada pro-Israel. Maka saat ini adalah masanya di mana Yahudi akan kembali mendiami Iran terutamanya Esfahan bagi menunggu kedatangan Dajjal.
 
Terdapat juga pandangan bahawa yang dimaksudkan dengan Yahudi daripada Esfahan adalah mereka-mereka yang telah berhijrah keluar dari Esfahan suatu masa dahulu. Kebanyakan mereka kini berada di Israel, Amerika dan Eropah barat. Kemungkinan juga merekalah pengikut Dajjal yang dimaksudkan.
 
Selain Yahudi, pengikutnya juga merupakan orang-orang kafir dan Munafiq. Secara lebih khusus, mereka adalah kalangan penduduk Madinah sebagaimana hadis Nabi S.A.W:
“لَيْسَ مِنْ بَلَدٍ إِلَّا سَيَطَؤُهُ الدَّجَّالُ ، إِلَّا مَكَّةَ ، وَالْمَدِينَةَ لَيْسَ لَهُ مِنْ نِقَابِهَا نَقْبٌ إِلَّا عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ صَافِّينَ يَحْرُسُونَهَا ، ثُمَّ تَرْجُفُ الْمَدِينَةُ بِأَهْلِهَا ثَلَاثَ رَجَفَاتٍ ، فَيُخْرِجُ اللَّهُ كُلَّ كَافِرٍ وَمُنَافِقٍ”
“Tiada tempat yang selamat daripada Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Tiada mana-mana terowong dan lubang melainkan ada malaikat berbaris menjaganya. Kemudian Madinah mengalami gegaran sebanyak tiga kali, mengakibatkan semua orang kafir dan munafik keluar mendapatkan Dajjal.”
[HR Bukhari & Muslim]
 
New World Order
 
Sebagaimana disebutkan dalam hadis terdahulu, tiada tempat yang tidak didatangi oleh Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Menunjukkan betapa berkuasanya dia ketika itu. Fitnahnya bakal melanda semua manusia. Sesiapa yang tidak kuat iman, bakal tertipu oleh Dajjal.
 
Sabda Rasulullah S.A.W:
يخرج الدجال في خفة من الدين ، وإدبار من العلم ، وله أربعون يوما يسيحها ، اليوم منها كالسنة ، واليوم كالشهر ، واليوم كالجمعة ، ثم سائر أيامه مثل أيامكم ، وله حمار يركبه عرض ما بين أذنيه أربعون ذراعا ، يأتي الناس فيقول : أنا ربكم وإن ربكم ليس بأعور ، مكتوب بين عينيه ك ف ر يقرأه كل مؤمن كاتب وغير كاتب ، يمر بكل ماء ومنهل إلا المدينة ومكة حرمهما الله عليه ، وقامت الملائكة بأبوابهما
“Dajjal akan muncul pada saat orang meringankan urusan agama dan tidak mementingkan ilmu. Dia menguasai dunia selama 40 hari. Sehari umpama setahun, sehari umpana sebulan, sehari umpama seminggu dan hari-hari lain umpama hari biasa kamu. Dia memiliki keldai tunggangan. Lebar telinganya adalah empat puluh hasta.  Dia mendatangi manusia dan berkata: “akulah tuhanmu”, sedangkan tuhan tidak cacat sebelah matanya. Tertulis diantara kedua matanya ;Kaf Fa Ra’, boleh dibaca oleh orang beriman walaupun buta huruf. Mendatangi setiap laut dan darat kecuali Mekah dan Madinah. Kerana Malaikat mengawal pintu kedua kota tersebut.”
[HR Ahmad & al-Hakim]
 
Seorang penulis televangelist Pat Robertson pernah mengeluarkan satu buku bertajuk The New World Order. Buku ini memperincikan tentang teori konspirasi menakluk dunia yang dijayakan oleh Amerika. Terdapat tangan-tangan belakang yang mengawal polisi negara kuasa dunia itu yang berkait dengan agenda Iluminati, Freemason, CIA, Mossad dan beberapa pertubuhan peringkat antarabangsa lain.
 
Banyak kritikan dihalakan kepada kandungan buku ini. Tetapi yang jelas, Barat sememangnya cuba menguasai politik dunia sejak era kolonialisme lagi. Propaganda Order Dunia Baru dipopularkan secara meluas oleh ramai politikus Barat. Terma lain yang digunakan adalah One World Government dan juga Globalisasi.
 
Dari Petrodollar ke Cryptocurrency
 
Proksi yahudi, Amerika kini memperhambakan dunia melalui undang-undang antarabangsa yang mengharamkan urusniaga menggunakan emas sebagai wang. Julai 1944, telah diadakan Persidangan Kewangan PBB yang menghasilkan beberapa resolusi Kapitalis. Selain pengharaman emas, turut diperkenalkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia (World Bank) dan Pasaran Matawang Asing (ForEx).
 
Sistem ini dikenali sebagai Sistem Kewangan Bretton Woods. Amerika yang ketika itu memiliki rizab emas terbesar dunia berjaya memartabatkan dollar sebagai matawang yang diperakui seluruh dunia (hard currency).
 
Malangnya, Dollar telah dicetak sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira nilai emas yang dimiliki. Pada tahu 1970, sistem Bretton Woods mengalami kejatuhan apabila negara-negara bermula daripada Perancis menebus emas daripada Amerika serentak. Bagi menangani masalah itu, pada tahun 1973 diperkenalkan pula sistem kewangan Petrodollar. Ianya adalah hasil perjanjian antara Saudi dan Amerika yang kemudian diikuti oleh Negara-negara Teluk (GCC) dan kemudiannya negara pengeksport petroleum (OPEC). Sistem ini telah menggantikan emas kepada petrol sebagai penentu nilai matawang dollar. Kedudukan dollar semakin kukuh hingga Amerika menjadi kuasa ekonomi terulung.
 
Kini timbul teori mengatakan Israel akan mengambil alih peranan Amerika menguasai dunia secara langsung, dengan bertukarnya sistem kewangan Petrodollar kepada sistem berbentuk digital (cryptocurrencies). Sistem yang dipusatkan kepada kawalan satu pihak sahaja yang boleh dimanipulasi sewenang-wenangnya. Transaksi yang berlaku di seluruh dunia pada setiap tahap dapat dipantau dengan mudah.
 
Penguasaan Yahudi terhadap matawang dunia menjadikan manusia terpaksa memperhambakan diri kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dengan monopoli kewangan, Yahudi mampu menundukkan seluruh dunia dengan umpanan material dan fatamorgana kesenangan. Inilah mukaddimah penguasaan Dajjal.
 
Baitul Maqdis dan Dajjal
 
Sekiranya hanya Makkah dan Madinah yang terselamat daripada Dajjal, maka Baitul Maqdis sendiri tidak terselamat daripadanya. Cita-cita Yahudi mendirikan Kuil Nabi Sulaiman bagi menjadi pusat pemerintahan Dajjal bakal menjadi kenyataan. Israel Raya yang dicita-citakan pada wilayah antara Sungai Nil dan Sungai Furat sedang giat diusahakan. Bibit-bibitnya penguasaan Baitul Maqdis secara unilateral sudah kita lihat sekarang, apabila Amerika sudah berani mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.
 
Perkara ini disokong dengan hadis yang menyebut secara spesifik akan kedudukan Dajjal ketika kemunculannya. Sabda Rasulullah S.A.W:
 
حتى يأتي المدينة فيغلب على خارجها ويمنع داخلها ، ثم يأتي إيليا فيحاصر عصابة من المسلمين
“Sehingga dia mendatangi Madinah maka dia menguasai setiap orang yang keluar daripadanya dan menghalang setiap orang cuba memasukinya. Kemudian dia pergi ke Iliya (Baitul Maqdis) maka dia mengepung satu pasukan Islam.”
[HR Ahmad & al-Hakim]
 
Kebinasaan Dajjal
 
Selepas empat puluh hari berkuasa, akhirnya hayat Dajjal dan kaum Yahudi akan berakhir. Sabda Rasulullah S.A.W:
أنَّهُ إذا خرج مسيحُ الضَّلالةِ الأعورُ الكذَّابُ نزل عيسَى ابنُ مريمَ على المنارةِ البيضاءِ شرقيَّ دِمشقَ بين مَهْرودَتَيْنِ ، واضعَا يديهِ على منكبيْ ملَكينِ ، فإذا رآهُ الدَّجَّالُ انماعَ كما ينماعُ المِلحُ في الماءِ ، فيدركهُ فيقتلهُ بالحَربةِ عندَ بابِ لُدٍّ الشَّرقيِّ على بضع عشرةَ خطواتٍ منه
“Apabila muncul al-Masih yang sesat dan cacat matanya lagi pendusta, turunlah Nabi Isa bin Maryam di atas menara putih sebelah timur kota Dimashq di iringi dua malaikat yang indah. Baginda meletakkan tangannya ke atas bahu dua malaikat. Apabila Dajjal melihatnya maka menggelupurlah dia seperti garam yang larut di dalam air. Maka Nabi Isa mendapatkan Dajjal lalu dibunuh  menggunakan senjata tajam di timur Bab Lud. Jaraknya hanya beberapa langkah daripadanya.”
[Sahih menurut Ibn Taimiyah]
 
Bab Ludd merupakan sebuah kawasan di dalam jajahan Israel. Menunjukkan juga bahawa Dajjal menguasai kawasan berkenaan pada tempoh kekuasaannya.
 
Hadis ini menjadi berita gembira buat umat Islam bahawa masa depan adalah milik kita. Walau sehebat manapun musuh, yakinlah bahawa mereka tidak mampu melawan kuasa tuhan. Allah telah menjanjikan kemenangan buat golongan yang memperjuangkan Islam.
 
Nabi S.A.W juga memberikan berita bahawa akan tiba masa Yahudi akan dihapuskan. Seluruh alam bersatu menentang mereka. Sabda Rasulullah S.A.W:
لا تقوم الساعة حتى تقاتلوا اليهود حتى يختبئ اليهودي وراء الحجر والشجر فيقول الحجر والشجر: يا مسلم يا عبد الله هذا يهودي خلفي فتعال فاقتله، إلا الغرقد
“Tidak akan berlaku kiamat sehingga Yahudi diperangi, sehingga mereka bersembunyi di balik pokok dan batu. Maka berkatalah pokok dan kayu: “Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakangku, datanglah dan bunuhlah dia.” Kecuali Gharqad.”
[HR Bukhari & Muslim]
 
Khilafah Tertegak
 
Kejatuhan hegemoni Dajjal bermakna kejatuhan kuasa dunia pada waktu itu. Ia sekali gus memaksudkan bahawa Islam bakal mengambil alih tampuk pemerintahan dunia. Al-Mahdi bakal menjadi al-Imam dengan maksud pemimpin kerajaan. Khilafah Islam bakal tertegak di bawah kepimpinan al-Mahdi, kemudian diteruskan oleh Nabi Isa A.S. Ini adalah janji Allah sebelum berlakunya kiamat.
 
Khilafah persis Khulafa ar-Rasyidin bakal muncul sekali lagi memayungi umat Islam. Ini disebut jelas daripada hadis yang berbunyi:
تكون النبوة فيكم ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون ملكًا عاضًا فيكون ما شاء الله أن يكون، ثم يرفعها إذا شاء الله أن يرفعها، ثم تكون ملكًا جبرية فتكون ما شاء الله أن تكون، ثم يرفعها الله إذا شاء أن يرفعها، ثم تكون خلافة على منهاج النبوة
“Tempoh sistem kenabian pada kamu akan berlanjutan hingga tempoh yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengangkatnya pada masa yang Dia kehendaki. Kemudian tertegak sistem khilafah di atas manhaj kenabian, dan berlanjutan hingga tempoh yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengangkatnya pada masa yang Dia kehendaki. Kemudian tertubuh sistem monarki dan berlanjutan hingga tempoh yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengangkatnya pada masa yang Dia kehendaki. Kemudian tertubuh pula sistem rebuplik dan berlanjutan hingga tempoh yang Allah kehendaki, kemudian Allah akan mengangkatnya pada masa yang Dia kehendaki. Kemudian tertegak kembali sistem khilafah di atas manhaj kenabian.”
[HR Ahmad]
 
Kenapa perlu bercerita mengenai Dajjal?
 
Kerana Nabi S.A.W bersabda:
لا يخرج الدجال حتى يذهل الناس عن ذكره
“Tidak akan muncul Dajjal melainkan setelah manusia lalai dari membicarakan tentangnya.”
[HR Ahmad dan sahih menurut al-Haithami]
 
Juga kerana Nabi S.A.W bersabda:
يخرج الدجال في خفة من الدين ، وإدبار من العلم
“Dajjal akan muncul pada saat orang meringankan urusan agama dan tidak mementingkan ilmu.”
[HR Ahmad & al-Hakim]
 
21 Rabiul Awwal 1439
8 Januari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 9/1/2018
- Advertisement -