PAS ajar Surianarayanan dosa, pahala

- Advertisement -

ADA getar dalam tutur kata lelaki ini kerana cuba menahan sebak apabila berbicara mengenai layanan pimpinan PAS terhadap beliau. Beliau amat terharu kerana sikap yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin PAS terhadap beliau tidak pernah dirasainya sewaktu bersama Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Berkongsi momen-momen yang tidak dapat dilupakannya dan  turut menjadi memori indah sepanjang perjalanan karier politiknya, Surianarayanan A/L Sannasy Naidu menyifatkan sikap yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin PAS itulah yang sewajarnya dimiliki mereka yang bergelar pemimpin.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Masih terbayang di mata Naib Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat (Kaum India) ini bagaimana Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS yang lain  melayan beliau dan empat orang rakan sewaktu menikmati hidangan  dalam satu majlis di Terengganu.

“Kami daripada DHPP dijemput untuk menghadiri satu majlis anjuran PAS di Terengganu tetapi hujan lebat menyebabkan kami tidak dapat sampai ‘on time’. Saya tiba dalam pukul 9.30 dan disambut Tuan Guru Abdul Hadi dan ahli-ahli PAS.

“Saya amat terkejut kerana semua di dalam majlis itu termasuk Tuan Guru sendiri tidak menjamah hidangan yang telah disediakan hanya kerana untuk menunggu kami. Paling mengharukan apabila Tuan Guru sendiri  turut bersila bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk menjamah hidangan,”ujarnya sambil menahan sebak.

Beliau  terkejut kerana seorang yang bergelar Presiden PAS dan ulama melayan beliau dan rakan-rakan dengan begitu baik, sedangkan mereka bukan Islam.

“Saya tidak pernah dihormati seperti  ini semasa saya memegang jawatan di dalam MIC mahupun Hindraf. Sewaktu itu saya dapat rasakan betapa beruntungnya saya berada di dalam PAS,”ujar lelaki berusia 53 tahun ini yang mesra disapa Suria.

Beliau juga tidak dapat melupakan saat-saat manis apabila berpeluang berceramah  sepentas bersama-sama Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Nik Mat sewaktu Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang  pada 2009.

Beliau bukan sahaja teruja dengan sambutan kira-kira 45,000 orang di kawasan padang ceramah tetapi juga terharu dengan sapaan Tok Guru Nik Aziz  yang mengalu-alukan kehadiran beliau untuk turut bersama-sama menyampaikan maklumat dan penerangan mengenai PAS kepada orang ramai.

Jika sebelum penyertaannya di dalam DHPP atau sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS (KPP), anak kelahiran Ladang Manikavasagam, Sungai Kerawai, Teluk Intan, Perak ini tidak pernah mengetahui mengenai kemurnian agama Islam.

“Saya menyertai PAS kerana melihat sikap hormat PAS yang berpegang dengan agama Islam amat menghormati rakyat tanpa membezakan kaum, tidak seperti parti pembangkang yang lain. Inilah keunikan PAS yang berpegang dengan agama Islam,”ujarnya yang pernah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Pusat dan Ahli Majlis Tertinggi Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) Pusat.

Bapa kepada enam orang anak ini juga amat mengkagumi keperibadian yang ditunjukkan pemimpin-pemimpin PAS. Malah beliau turut menganggap Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man  sebagai ‘guru agamanya’.

“Dato’ Tuan saya telah anggap seperti abang saya sendiri kerana beliau bukan sahaja mendidik saya  bagaimana seorang pemimpin itu perlu rapat dan memahami permasalahan rakyat tetapi turut memberi ilmu tentang agama Islam kepada saya.

“Secara tidak langsung Dato’ Tuan banyak mengajar saya tetang dosa dan pahala, apa yang kita boleh buat dan apa yang kita tidak boleh lakukan.  Sebelum ini tidak ada pemimpin BN yang beragama Islam menceritakan kepada saya tentang perkara ini,”ujarnya lagi.

Sebelum mengakhiri pertemuannya dengan Harakah, Suria menaruh harapan walaupun sebelum ini ada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan menyatakan keahlian DHPP khususnya dalam kalangan kaum India telah beralih kepada parti lain, PAS tetap akan mendapat tempat di hati golongan bukan Islam.

Malah katanya, dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional dan DHPP memberi penerangan  kepada masyarakat bukan Islam, mereka  ‘membuka mata’ melihat kepincangan yang dilakukan pemimpin negara hari ini yang menyebabkan kehidupan rakyat semakin terhimpit.{/mprestriction}

- Advertisement -