Memahami salur galur sejarah Yahudi-Zionis

- Advertisement -

KONFLIK yang berlaku di Palestin antara Arab dan Israel telah berlarutan sejak sekian lama. Jika dihitung dari tarikh rasmi penubuhan Negara Israel pada 15 Mei 1948, kita akan dapati bahawa konflik ini telah berlarutan lebih enam dekad. Manakala jika ditinjau dari sejarah Palestin moden, ia telah jatuh ke tangan British pada tahun 1917.

- Advertisement -

Hal ini berlaku ketika pentadbiran Kerajaan Turki Uthmaniyyah telah dikalahkan oleh tentera British di bawah pimpinan Jeneral Allenby. Kira-kira tiga tahun selepas itu, League of Nations – Liga Bangsa-bangsa (sebelum ditukar menjadi United Nations – Bangsa-bangsa Bersatu, telah memberi mandat kepada pihak British untuk mentadbir Palestin.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Kebanyakan para sarjana telah sepakat mengatakan bibit-bibit kejatuhan Palestin itu bermula sejak akhir abad ke-19 masihi disebabkan oleh kelemahan pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu. Ia turut ditambah dengan kewujudan agenda zionis selepas tertubuhnya secara rasmi Pertubuhan Zionis Dunia (World Zionist Organization) pada tahun 1897.

Umat Islam di Palestin tidak pernah duduk diam selama negara mereka ditakluk oleh pemerintahan British. Perjuangan mencari keadilan dan membebaskan negara mereka dari cengkaman pihak luar terus dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat termasuk para ulama’.

Hasrat zionis menakluk Palestin berjaya dikembangkan setelah pemerintahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah menjadi lemah dan tidak dapat mempertahankan tanah umat Islam. Walaupun Sultan Abdul Hamid II tidak membenarkan permintaan untuk mewujudkan Negara Israel di Palestin, tetapi beliau tidak dapat menghalang lobi zionis yang cukup kuat di England.

Golongan Zionis merancang dengan rapi strategi bagi menjayakan agenda mereka dengan cara melobi untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap mereka. Strategi yang digunakan dengan bekerja berdasarkan undang-undang sesuatu negara juga menunjukkan betapa licik dan teliti pergerakan mereka sehingga tidak mahu dilihat sebagai penentang kepada sesebuah negara.

Apabila perkara ini dapat dijayakan, maka negara-negara yang ada di dunia ini mula bersimpati terhadap golongan Yahudi. Atas kejayaan mereka melobi inilah menyebabkan simpati kuasa besar ketika itu, iaitu Britain, menyokong penubuhan sebuah negara untuk Yahudi melalui Deklarasi Balfour yang dikeluarkan pada 2 November 1917.

Pada tahun 1987, telah berlaku kebangkitan besar-besaran rakyat Palestin untuk membela diri dari penindasan berterusan. Kebangkitan rakyat ini masyhur dengan nama intifadah pertama yang berlangsung sehingga tahun 1993 dan kembali reda apabila perjanjian Oslo ditandatangani.

Perjanjian itu dibuat untuk berdamai dan meredakan kemarahan rakyat Palestin dan seterusnya membolehkan rakyat Israel hidup seperti sediakala. Intifadah kedua berlaku pada tahun 2000, bermula pada 29 September. Ia berlaku selepas kesucian Masjid al-Aqsa dicemari dengan kehadiran Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pada 28 September 2000 dengan diiringi oleh 1000 tentera Israel.

Lawatan secara sengaja itu telah membangkitkan intifadah kedua rakyat Palestin. Mereka bangkit menentang tindakan yang dibuat oleh Ariel Sharon itu yang mana ia telah mencemarkan tempat umat Islam dan dengan sengaja menaikkan kemarahan umat Islam.

Rakyat Palestin bangkit memprotes pada keesokannya, selepas Solat Jumaat mereka menentang tentera Israel yang menyebabkan lebih 200 orang Islam cedera dan sekurang-kurangnya empat orang maut. Kebangkitan kedua ini telah berlangsung agak lama sehinggalah ada beberapa usaha damai yang ingin dilakukan seperti Road Map 2002, 2005 dan Persidangan Annapolis pada tahun 2007.

Keganasan Israel berterusan secara besar-besaran berlaku apabila mereka menyerang Gaza pada akhir 2008 hingga 22 Januari 2009 yang telah meranapkan sebuah daerah kecil dengan begitu dahsyat sekali. Mereka menyerang tidak kira masa dan ketika, tidak menghiraukan sekolah, rumah ibadah, dan apa sahaja bangunan yang ada, semuanya menjadi sasaran pengeboman.

Rakyat yang terkorban kerana serangan itu mencecah ribuan orang. Israel melakukan keganasan ini untuk memerangi Hamas yang memerintah Gaza bermula Mac 2006. Mereka menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas yang harus diperangi. Mereka juga melobi barat supaya tidak memberi bantuan kewangan kepada kerajaan Hamas tersebut.

Dalam dunia kontemporari ini, kita dapat melihat bahawa Palestin berada di bawah penguasaan Yahudi yang telah menubuhkan Negara Israel di atas tanah yang dirampas daripada penduduk Arab terutamanya penduduk Islam.

Umat Islam menganggap Palestin sebagai satu rantau penting. Hal ini berdasarkan kepada nas dan juga sejarah. Dalam hadis juga ada ditegaskan bahawa bumi Palestin sebagai antara tempat yang mesti diutamakan oleh umat Islam. Hadis tersebut antara lain difahami;

“Jangan kamu keluar melainkan untuk melawat tiga tempat ibadat iaitu Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, dan Masjid al-Aqsa”. (Sahih al-Bukhari)

Merujuk kepada hadis ini, dapat difahami bahawa Masjid al-Aqsa merupakan tempat ketiga suci bagi umat Islam selepas Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi. Rantau ini cukup bersejarah bagi umat Islam dengan kesan-kesan peninggalan para anbiya’ terdahulu. Kelebihan-kelebihan yang ada padanya juga menjadikan ia begitu penting dan signifikan bagi umat Islam.

Tidak ada sebab bagi golongan Zionis-Yahudi dan para Orientalis bersungguh-sungguh menafikan kewujudan dan kepentingan rantau ini kepada umat Islam. Para Orientalis moden cuba untuk merampas hak umat Islam ini secara argumentasi akademik, yang mana jika dilihat secara objektif, argumentasi akademik mereka tiada asas yang kukuh.

Umat Islam mesti sedar bahawa Baitul Maqdis dan bumi Palestin ini sungguh bermakna dan mempunyai kaitan yang panjang dalam Islam. Baitul Maqdis merupakan tempat berlakunya peristiwa penting Isra’ dan Mi’raj, iaitu ketika Nabi SAW dipanggil menjadi tetamu Allah SWT, Baitul Maqdis menjadi perantara dalam peristiwa ini. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 1; “Maha  Suci  Allah  yang  telah  memperjalankan  hamba-Nya  pada malam  hari dari    al-Masjid    al-Haram    ke    al-Masjid    al-Aqsa  yang diberkati persekitarannya, untuk ditunjukkan tanda-tanda kebesaran-Nya, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.”

Allah SWT boleh sahaja menjemput Nabi SAW terus dari Mekah tanpa perlu ke Baitul Maqdis. Tetapi hakikat perjalanan dan persinggahan Nabi SAW ke Baitul Maqdis itu telah memberikan impak yang besar justeru membuktikan bahawa ia merupakan satu rantau yang sangat penting dalam Islam.

Syeikh Yusuf al-Qaradawi, dalam al-Quds fi al-Wa’yi al-Islami, menyebutkan bahawa Allah SWT menjadikan Baitul Maqdis sebagai persinggahan terakhir Nabi SAW di bumi sebelum baginda menjalani fasa kedua Mi’raj. Malah, perjalanan pulang turut melalui Baitul Maqdis.

Di Baitul Maqdis juga merupakan tempat pengiktirafan Nabi sebagai rahmatan lil ‘alamin yang mana baginda telah menjadi imam solat kepada seluruh anbiya’ yang membuktikan bahawa baginda merupakan nabi yang terakhir dan ajarannya merangkumi semua ajaran nabi-nabi terdahulu.

Baitul Maqdis juga merupakan kiblat pertama umat Islam. Nabi dan para sahabat menghadap kiblat di Baitul Maqdis selama kira-kira 16 hingga 17 bulan selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Hal ini turut membuktikan bahawa umat Islam tidak boleh memandang remeh soal Baitul Maqdis dan Palestin ini kerana ia bukan isu masyarakat Arab semata-mata tetapi ia merupakan isu umat Islam seluruh dunia. Justeru, apakah wajar kita membiarkan tempat yang menjadi kiblat pertama kita suatu masa dahulu ditakluk dan dicengkam dalam tangan Zionis-Yahudi?

Kemudian, menurut al-Kaylani, Allah SWT ketika membenarkan Nabi Muhammad SAW bertukar kiblat ke Mekah, sebenarnya menunjukkan adanya hubungan erat antara Mekah dengan Baitul Maqdis. Hubungan saling berkaitan antara kedua tempat ini secara spritiual, yang mana hubungan itu telah diperteguh oleh nabi secara fizikal sebelum ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu.

Dari segi sejarah pula, sudah terbukti bahawa apabila Palestin berada di bawah pemerintahan Islam, rantau tersebut berada dalam keadaan aman. Hal ini dapat dibuktikan ketika zaman Saidina Umar al-Khattab, dan juga ketika Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan Kota Baitul Maqdis. Lebih menarik lagi ialah, Baitul Maqdis ketika itu terus didiami oleh masyarakat pelbagai agama.

Hal ini jelas membuktikan sikap agama Islam terhadap agama lain, dan sikap toleransi pemimpin yang berpegang teguh kepada Islam, lantas diberikan jaminan keselamatan kepada mereka dalam satu dokumen yang dikenali sebagai al-‘Uhda al-‘Umariyyah, iaitu jaimnan Umar terhadap keselamatan penduduk Aelia (Baitul Maqdis) pada ketika itu.

Telah sekian banyak resolusi yang telah dikeluarkan oleh PBB dan Majlis Keselamatan (Security Council) terhadap Israel, tetapi betapa angkuhnya Israel dan tidak mahu mengikut apa yang telah diputuskan di peringkat antarabangsa.

Walaupun ada beberapa resolusi PBB itu merujuk kepada penubuhan dua Negara Israel – Palestin, tetapi pematuhan Israel ke atas resolusi PBB itu mesti dijadikan syarat supaya mereka benar-benar boleh menjalankan apa yang telah diputuskan di peringkat antarabangsa.

Tindakan Zionis-Yahudi yang berterusan menunjukkan keangkuhan mereka dan tidak mahu tunduk kepada apa yang telah diputuskan di peringkat antarabangsa, tidak lain hanyalah membakar semangat intifadah rakyat Palestin.

Selagi mereka tidak mahu patuh, selagi itulah umat Islam akan terus berjuang menentang kezaliman mereka dan seterusnya berjuang mengembalikan keamanan seperti yang telah mereka kecapi sebelum ini di bawah pemerintahan Islam.

Kuasa besar yang menguasai dunia pada hari ini, Amerika Syarikat dan sekutunya sanggup melakukan apa sahaja dalam memerangi umat Islam. Mereka mencanangkan perang ke atas pengganas (war on terrorism) yang akhirnya matlamat utama mereka tidak lain ialah untuk melumpuhkan Islam.

Hakikatnya, merekalah yang menyebarkan keganasan di seluruh pelusuk dunia, lebih-lebih lagi di negara-negara Islam. Walaupun pada era pemerintahan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 ada menunjukkan sikap berlembut dengan Islam, tetapi ia bukanlah suatu kepastian yang nyata dan boleh diharapkan serta ia belum tentu mengubah polisi luar negara tersebut.

Apa yang diharapkan ialah umat Islam di mana jua mereka berada dapat bersatu di bawah panji-panji Islam mencari jalan sendiri menyelesaikan masalah yang sudah berlarut sejak sekian lama. Sempadan geografi moden tidak dapat memutuskan silaturrahim antara sesama muslim!

Seperti yang diketahui, Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, termasuklah siyasah. Menjadi satu kehairanan apabila bukan Islam takut umat Islam berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan oleh orang bukan Islam dengan situasi tersebut, tetapi itulah haikatnya.

Dalam hal ini, Lord Cromer, seorang bekas Gabenor Mesir dan Sudan pernah mengungkapkan bahawa, “England is prepared to give independence to all her colonies, when there exist a generation of intelectuals who have been inbued with Western values, ready to take over the administration, but we will not allow the setting up of an Islamic state even for a second”.

Hal ini menunjukkan secara jelas bahawa kuasa besar barat tidak mahu sesebuah negara itu kembali kepada corak pemerintahan Islam kerana mereka bimbang ia akan menghancurkan barat itu sendiri. Lantas, pergolakan antara Israel-Palestin turut terkesan kerana kuasa barat ini mahu mengungguli kawasan Timur Tengah yang kaya dengan hasil petroleum itu.

Sepanjang keterlibatan Amerika dalam isu ini, pergolakan tidak pernah berhenti, malah ia menjadi lebih kronik lagi. Minda mereka sama dengan apa yang telah diungkapkan oleh Lord Cromer tersebut. Tambah memedihkan, Amerika turut menggunakan veto bagi membenarkan Israel terus membina nuklear yang jelas bercanggah dengan resolusi 242, yang mahukan kawasan Timur Tengah bebas dari nuklear.

Sikap double standard yang ditunjukkan ini tidak akan membawa kepada kedamaian yang dicari. Oleh sebab itu, wajar untuk menyelesaikan konflik yang berlaku tanpa penglibatan pihak yang mempunyai banyak kepentingan peribadi, melainkan sekiranya mereka betul-betul ikhlas mahu mewujudkan keadilan dan keamanan sejagat.

Sebahagian sarjana melihat bahawa matlamat utama daripada penubuhan zionis ialah untuk mendirikan kerajaan Israel Raya. Sebenarnya, umum mengetahui bahawa pendokong utama zionis terdiri daripada mereka yang berfahaman Nasionalis Sekular. Oleh sebab itu, sebahagian Yahudi menyatakan bahawa fahaman Zionis terutama untuk menubuhkan negara itu tiada kena mengena dengan agama mereka.

Oleh sebab itu, ada dari kalangan Rabbi Yahudi membantah kewujudan Negara Israel itu sendiri. Namun, pihak sekularis Yahudi pula berbeza pandangan. Bagi golongan sekularis yahudi, disebabkan mereka tidak mempunyai sebuah negara yang merdeka, perasaan rendah diri dan rasa diri mereka dihina menyebabkan mereka mengimpikan sebuah negara mereka sendiri. Mereka juga ditindas di negara-negara barat. Sehinggalah mereka ini dibunuh oleh pemimpin Jerman ketika itu, Adolf Hitler.

Akibat daripada itu, segelintir para pemimpin mereka telah memilih bumi Palestin sebagai tempat untuk menubuhkan sebuah negara sekular yahudi. Fahaman ini telah mendominasikan seluruh bangsa yahudi sehinggakan Zionisme telah mewarnai kehidupan beragama mereka.

Fahaman ini telah membawa kepada perubahan yang besar dalam pemikiran bangsa yahudi sehinggakan mereka menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara (the ends justify the means). Mereka membunuh rakyat Palestin, menghalau serta merampas harta dan menjadikannya milik yahudi dengan menggunakan kekerasan melampau.

Fahaman sekular ini mesti dikikis daripada pemahaman kaum yahudi. Masyarakat perlu diwar-warkan tentang idea songsang dan agenda zionis ini yang telah menyebabkan banyak huru-hara berlaku di zaman moden ini. Seorang Rabbi bernama Israel David Wyce memberi amaran dengan jelas bahawa kewujudan Negara Israel bercanggah dengan insipirasi yahudi dan ia jelas “against God, against Torah, and against the Jewish religion”.

Oleh kerana isu Palestin ini merupakan isu umat sejagat, maka setiap jaringan-jaringan yang sedang berusaha dalam memberi kesedaran tentang isu Palestin di rantau Nusantara ini perlu diperkukuh dan diperkasa. Tidak boleh tidak, kekuatan gagasan hubungan serantau perlu dioptimakan atas memperkasa sesama umat.

Namun, kita harus berhati-hati serta perlu membersihkan diri daripada dijadikan alat untuk sesuatu agenda politik pihak-pihak tertentu yang bakal merugikan idealisme perjuangan Islam. Dalam melihat soal pemerkasaan ini juga, kita seharusnya membebaskan diri daripada kemelut fanatik kepuakan yang melanda umat Islam.

Dalam soal ini, badan-badan yang ada perlu melihat setiap perkara menggunakan pendekatan bird eyes – melihat kepada matlamat yang lebih besar serta menilai elemen negatif dan positif setiap pihak yang terbabit. Cukup dengan pengalaman sejarah yang menyaksikan umat Islam bergaduh sesama sendiri sehingga melupakan isu utama agenda pembangunan ummah dan lupa terhadap musuh umat Islam yang sebenar.

Menyantuni konflik Palestin ini bukanlah suatu perkara yang mudah dan menanganinya pula bukan perkara yang boleh berlaku tanpa usaha. Ia menuntut seluruh tenaga untuk memugar kesedaran ummah dalam memastikan penindasan yang berlaku ke atas umat Islam ini tidak akan berterusan selamanya.

Usaha-usaha kesedaran – walau sekecil manapun usaha tersebut – sungguh akan membuahkan sesuatu yang pasti akan menggegarkan bumi yang dijajah Israel itu. Umat Islam dengan kekuatan aikdahnya, tidak akan membiarkan rakan-rakan mereka terus dirundung nasib malang. Ingatlah! Allah Maha berkuasa terhadap segala urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

RUJUKAN

1-Abdul Ghani Samsudin dan Mohd Roslan Mohd Nor (2008), Beberapa Langkah Awal untuk Pembebasan al-Aqsa, kertas kerja yang dibentangkan di al-Aqsha International Conference pada 21 Ogos 2008, anjuran Center of Middle East Studies (COMES), di Auditorium Adhyana Wisma Antara Jakarta, Indonesia.
2-Dolobran, Lloyd of, and Gleichen, Edward (1993), Egypt Since Cromer, Journal of the Royal African Society, Vol. 32, no. 127, (Apr), Oxford University Press.
3-Al-Kaylani, Ibrahim Zayd (1999), Markaziyyah al-Quds wa al-Makanatuha fi al-Islam, Journal of Islamic Jerusalem Studies, Vol. 2, no. 2, Summer, UK: Islamic Research Academy.
4-Al-Qaradawi, Yusuf (1997), al-Quds fi al-Wa’yi al-Islami, dalam Journal of Islamic Jerusalem Studies, Vol. 1, no. 1, Winter 1997, UK: Islamic Research Academy.
5-Jewish Rabbi: Israel a state against God!
6-http://www.arabicnews.com/ansub/Daily/Day/020509/2002050924.html {/mprestriction}

- Advertisement -