Konvensyen Ummah himpunkan 300 NGO

- Advertisement -

JULUNG kalinya Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan mengadakan Konvensyen Kebangkitan Ummah pada 13 Januari ini bertempat di Pusat Islam, Dewan Muktamar, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Objektif utama konvensyen yang akan melibatkan lebih 300 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Melayu dan Islam diadakan bertujuan menyatukan umat Islam daripada pelbagai bidang, latar belakang dan organisasi dengan satu matlamat memperkasakan agenda Islam dan Melayu.

Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya berkata tujuh bidang kritikal akan dibentangkan pada program selama seharian bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang pada hari tersebut.

“Tujuh bidang, sudut ekonomi akan dibentangkan oleh saudara Ahmad Yazid Othman selaku CEO (MTem), pendidikan oleh Dato’ Rauf mantan Timbalan Pengarah Pendidikan Malaysia, Presiden PPIM, Dato’ Nazim Johan untuk bidang sosial, undang-undang oleh NGO Ijtihad, Dato’ Wan Ahmad Fauzi.

Dakwah akan dibentangkan oleh Dato’ Wan Mohd Sheikh Aziz iaitu wakil daripada NGO Rabithah manakala isu tanah rezab dan hak orang Melayu oleh Puan Sarah Sulaiman dan wakil belia adalah daripada Presiden GAMIS, iaitu Muhammad Faizuddin Zai,” katanya pada sidang media Konvensyen Kebangkitan Ummah semalam.

Tambah beliau, satu resolusi juga akan dibuat selepas daripada konvensyen tersebut dengan penyenaraian tuntutan-tuntutan diserahkan kepada pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang resolusi terbabit diharapkan menjadikan agenda dalam kempen parti-parti politk pada PRU ke-14. – HARAKAHDAILY 4/1/2018

- Advertisement -