Ustaz Wan Sulaiman pembangun PAS Kelantan

Pada 1968 Perikatan berusaha menumbang kerajaan PAS Kelantan melalui pintu belakang.
- Advertisement -
KEBANGKITAN politik Islam di Kelantan bermula apabila Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, Naib Yang Dipertua Agung PAS mengadakan lawatan kerja ke Kelantan dalam bulan September 1952. Dalam rangka lawatan ini, beberapa siri penerangan tentang dasar, tujuan dan hala tuju perjuangan PAS ini, majlis pertama diadakah pada 9 September 1952 di Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh, iaitu di rumah Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh, seorang guru agama Sekolah Majlis.
 
Sejarah penubuhan dan perkembangan PAS Pasir Puteh tidak boleh dipisahkan daripada tokoh besarnya, Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim yang juga ipar kepada Ustaz Adam Kamil Mohd Salleh. Setelah Ustaz Adam Kamil memimpin PAS Pasir Puteh antara 1954 hingga 1957, Ustaz Wan Sulaiman mengambil kepemimpinan PAS Pasir Puteh sebagai Yang Dipertua mulai 1957 hingga 1983. Beliau bukan sahaja menjadi watak penting dalam perkembangan PAS Pasir Puteh, tetapi juga PAS Kelantan. Sepanjang tempoh PAS memerintah Kelantan kali pertama (1959-1978), PAS Pasir Puteh berada di bawah kepemimpinan beliau sepenuhnya.
 
Ustaz Wan Sulaiman adalah seorang tokoh yang lahir dalam keluarga ternama di Pasir Puteh. Ayahnya, Haji Ibrahim adalah penghulu mukim Tebing Tinggi pada zaman British dan merupakan seorang yang berharta dan berpengaruh. Antara anak Penghulu Haji Ibrahim yang terkenal ialah Haji Wan Ismail Ibrahim, seorang peguam yang pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan antara 1974-1977 dan pernah menjadi Bendahari Agung PAS pada zaman Dato’ Mohd Asri Haji Muda. Manakala Ustaz Adam Kamil, Yang Dipertua PAS Cawangan Pasir Puteh yang pertama itu adalah menantunya.
 
Ustaz Wan Sulaiman dilahirkan di Kampung Padang Siam, Pasir Puteh dalam tahun 1919, iaitu empat tahun selepas peristiwa Musuh Tok Janggut yang membangkitkan perjuangan politik Islam di Pasir Puteh itu. Salah satu sumbangan besar Penghulu Haji Ibrahim ialah penyediaan pendidikan yang berkualiti dalam membina anak-anaknya. Ustaz Wan Sulaiman pada awalnya memasuki Sekolah Melayu Pasir Puteh (sekarang Sekolah Lelaki Pasir Puteh) pada 1926 hingga 1931. Antara bekas pelajar sekolah ini yang terkenal ialah Haji Mohd Daud Abdul Samad, bekas Menteri Besar PAS Terengganu (1959-1961). Setelah itu, beliau diberikan didikan agama oleh ayahnya.
 
Pada 1932, beliau dihantar ke Pondok Bukit Abal dan berguru dengan Tuan Guru Haji Awang selama dua tahun, sebelum memasuki Pondok Kenali. Seketika berada di pondok ini, Tok Kenali meninggal dunia dan beliau berpindah ke Masjid Muhammadi untuk berguru dengan Tuan Guru Haji Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Yaakub Legor, Tuan Guru Haji Saad Kangkung dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Pada akhir 1934, beliau memasuki pengajian tinggi di Kuliah al-Attas, Johor Bahru sehingga 1938 yang ketika itu Sheikh Fadhlullah Suhaimi adalah seorang gurunya.
 
Ustaz Wan Sulaiman mula menjadi guru di Madrasah Ibrahimiyah, Padang Pak Amat mulai 1938 hingga 1940, dan menjadi guru agama Majlis pada akhir 1940 dengan mengajar Madradah Muhammadiyah Jalan Merbau (Maahad Muhammadi sekarang) sehingga 1946. Selepas Perang Dunia Kedua, beliau menjadi guru di Madrasah Saniah Pasir Puteh, di samping turut mengajar di Pondok Tuan Guru Haji Wan Hassan Wakaf Bunut dan Pondok al-Balaghul Mubin, Dalam Kemunting sehingga 1951.
 
Kerana kecemerlangan tugasnya, pada tahun 1951, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Zakat Majlis merangkap Nazir Sekolah-sekolah Agama Majlis sehingga 1959. Dalam tahun 1959 itu, beliau selaku Yang Dipertua PAS Pasir Puteh telah meletakkan jawatan dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1959 di DUN Pasir Puteh Tengah. Ekoran kemenangan PAS pada 1959 ini, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kelantan 1959-1964.
 
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Dakwah yang bertanggungjawab ke atas pendidikan Islam, Ustaz Wan Sulaiman bertanggungjawab mengatur pengambilalihan sekolah-sekolah agama di Kelantan, mewujud biasiswa pelajaran agama, mewujudkan Pegawai Muballigh, melantik guru-guru agama di sekolah kerajaan dan membangunkan masjid-surau di seluruh Kelantan. Ustaz Wan Sulaiman juga turut dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) antara 1959 hingga 1964.
 
Walaupun telah melaksanakan tugas dengan cemerlang, namun Ustaz Wan Sulaiman gagal mempertahankan kerusi DUN Pasir Puteh Tengah pada 1964 dan 1969, sebaliknya memenangi kerusi Parlimen Pasir Puteh pada 1969 dan 1974. Beliau menjadi Ahli Parlimen Pasir Puteh antara 1969 hingga 1978. Selepas krisis politik Kelantan pada 1977, beliau tidak lagi bertanding dalam pilihan raya umum. Namun tetap berkhidmat sebagai Ahli Majlis MAIK semenjak 1964 dan menjadi Ahli Jawatankuasa JASA (sekarang YIK) yang ditubuhkan pada 1974.
 
Krisis politik yang melanda Kelantan pada 1978 kemudiannya membawa kepada perpecahan PAS kali kedua pada 1983. Dato’ Mohd Asri Haji Muda yang menubuhkan Hamim telah mendapat sokongan daripada Ustaz Wan Sulaiman. Semenjak menyertai Hamim pada 1983, beliau tidak lagi aktif berpolitik sehingga akhir hayatnya pada 25 November 2004. Sepanjang penglibatan beliau bersama PAS semenjak 1952 hingga 1983, sumbangan beliau sangat besar kepada PAS Kelantan dan Kerajaan PAS Kelantan khususnya, dan pembangunan umat Islam secara umumnya.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Januari 2018  – HARAKAHDAILY 3/1/2018
 
 
- Advertisement -