Pendidikan rendah berorientasikan Islam: SRITI jadi produk hebat

- Advertisement -

SESI baru persekolahan 2018 kini muncul dengan kesuraman ekonomi negara dan pelbagai masalah yang menyelimuti sosio politik tanah air ini. Apa sahaja isu yang melanda negara, namun pendidikan adalah wahana penting untuk menjadi agen perubahan dan agen transformasi sosial. Pendidikanlah yang akan membentuk karektor sesebuah bangsa dan negara. Kesilapan dalam sektor pendidikan akan menjadikan bangsa dan negara menerima implikasi jangka panjang yang fatal. Ibu bapa yang mencari sistem pendidikan alternatif telah memilih SRITI, yang merupakan kesinambungan daripada pendidikan prasekolah PASTI yang sangat cemerlang mendidik pelajar.

- Advertisement -

PAS telah melangkah setapak lagi dalam menggerakkan institusi pendidikan apabila jentera partinya telah menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SRI). Kesedaran untuk menubuhkan sekolah-sekolah rendah Islam ini adalah kerana permintaan ibu bapa untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak selepas melalui pendidikan pra sekolah di PASTI. Walau bagaimanapun tidak semua pelajar PASTI meneruskan pendidikan di SRI kerana faktor keterbatasan peluang dan juga keinginan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan.

PAS juga disaingi oleh beberapa pertubuhan Islam lain di negara ini, yang turut menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi menampung keperluan pendidikan Islam di negara ini dan juga dengan matlamat menyemai kecintaan kepada Islam semenjak usia yang awal. Begitu juga Sekolah-sekolah Rendah Islam ini turut ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di seluruh negara.

Menurut Ustaz Fauzi Husain, penubuhan Sekolah Rendah Islam seperti yang diwujudkan di Kedah mempunyai pertalian dengan kewujudan PASTI, contohnya penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum yang diinspirasikan daripada nama Darul Ulum di Mekah. Penubuhan sekolah-sekolah ini juga berkait rapat dengan usul-usul muktamar Dewan Pemuda PAS yang mendesak kepimpinan PAS untuk mewujudkan sekolah-sekolah mereka sendiri sebagai alternatif kepada sekolah aliran kebangsaan yang tidak menekankan pendidikan Islam dan syakhsiah pelajar.

PAS di semua peringkat telah berusaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi mengembangkan sistem pendidikan Islam di negara ini dan mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli mereka sendiri. PAS juga telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS bagi menyelaraskan kurikulum dan pemantauan yang berterusan terhadap sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh PAS di semua peringkat atau ahli mereka secara individu.

Di antara Sekolah Rendah Islam yang ditubuhkan oleh PAS ialah Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Sekolah Rendah Madinatul Ilmi (Kelantan), Sekolah Rendah Islam Al-Ummah (Wilayah Persekutuan), Sekolah Rendah Islam at-Taqwa, Sekolah Rendah Islam al-Islah, Sekolah Rendah Islam Ehsan, Sekolah Rendah Islam Darul Mujahidin, Sekolah Rendah Islam Darul Bayan dan sebagainya.

Menurut Dr Abu Bakar Abdullah, Dewan Ulamak PAS Terengganu telah menyelaraskan sekolah rendah Islam milik PAS Terengganu yang dikenali sebagai ‘DAR’. Setiap PAS kawasan di Terengganu diarahkan untuk membangunkan sekolah rendah Islam di kawasan mereka sebagai kesinambungan kepada pendidikan prasekolah milik PAS yang telah aktif berfungsi di negeri tersebut.

Di antara sekolah rendah terawal yang didirikan oleh PAS ialah Madrasah Islahiah di Kampung Memali, Baling, Kedah. Institusi pendidikan Islam ini telah diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau dan rakan-rakannya yang terdiri daripada aktivis pemuda PAS telah membangunkan sebuah pusat pendidikan umum untuk masyarakat dewasa dan pendidikan formal untuk kanak-kanak. Pendidikan prasekolah yang ditubuhkan, manakala pendidikan rendah pula bermula pada tahun 1985.

Madrasah Islahiah ini telah menjadi pusat kegiatan PAS di Baling pada tahun 1980-an dan namanya menjadi masyhur selepas berlaku tragedi berdarah di Memali pada 19 November tahun 1985. Sekolah ini akhirnya berkembang menjadi Sekolah Menengah Islam dan telah mengeluarkan ribuan pelajar, ramai pelajarnya telah melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di Pakistan dan Mesir.

Di Pulau Pinang, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah Sekolah Rendah Islam bagi menampung anak-anak ahli PAS yang tamat belajar di PASTI. Usaha-usaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum telah dibuat dengan bersungguh-sungguh termasuk kempen kepada ahli-ahli PAS di Pulau Pinang pada tahun 2004.

Pimpinan Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Dato’ Abu Bakar Chik juga telah menguasahakan penubuhan Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP), iaitu sebuah sekolah rendah yang bersifat cemerlang. Penubuhan SRIP ini telah diusahakan dengan menggunakan sebuah syarikat iaitu Ilmu, Iman, Amal Sdn. Bhd. SRIP yang pertama telah ditubuhkan di Melawati, seterusnya berkembang ke Shah Alam, Kuala Terengganu.

Kepimpinan pemuda PAS Malaysia di bawah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta penggantinya Ustaz Khalil Abdul Hadi telah menggerakkan dengan lebih terarah perkembangan sekolah rendah Islam di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, iaitu dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah. Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan sistem serta merangka sistem pengajian dan menggerakkan pengoperasian setiap SRITI di seluruh negara, di mana pada awal Januari ini sebanyak 102 buah SRITI ditubuhkan di seluruh negara. PAS mempunyai sejarah yang cemerlang dalam menggerakkan pendidikan di negara ini dengan mempunyai jaringan daripada prasekolah sehinggalah kolej universiti. Semoga harakatul ummah ini terus menjadi pilihan kepada rakyat negara ini mendapatkan perkhidmatan pendidikan berorientasikan Islam dan terus memacu kegemilangan pendidikan alternatif buat rakyat dalam carut marut kehidupan berbahana sekular pragmatis. – HARAKAHDAILY 3/1/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat.

- Advertisement -