Kelantan kaji akan saman Husam

- Advertisement -

KERAJAAN Kelantan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Husam Musa.

- Advertisement -

Tindakan undang-undang yang bakal diambil itu berikutan kenyataan Husam yang dianggap sebagai fitnah berhubung pembatalan kontrak pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan negeri dengan pemaju.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata pada masa yang sama tindakan undang-undang juga bakal dilakukan terhadap pihak yang mengeluarkan kertas pembatalan kontrak itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Husam yang mendakwa  kerajaan negeri telah menamatkan kontrak pembinaan lebuh raya itu dengan pemaju.

Hanifa seterusnya berkata, Husam turut menunjukkan dokumen yang ditandatangani oleh menteri besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, pada program dialog yang dihadirinya baru-baru ini.

Jelasnya, dokumen itu mengenai perjanjian penting antara kerajaan negeri dengan syarikat pemaju Lebuh Raya Rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa kehairanan bagaimana dokumen penting itu boleh terlepas.

“Kita juga sedang teliti jika dokumen itu disebarkan dengan apa cara sekalipun oleh syarikat atau pegawai untuk diambil tindakan.

“Ini  kerana mereka telah membocorkan maklumat,” katanya.

Pada masa yang sama Hanifa memaklumkan lebuh raya itu kini diteruskan oleh pemaju lain yang dilantik kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 3/1/2017

- Advertisement -